Selamat Datang ke ...

Selamat Datang ke ...

Khabar dari Situ Sana Sini

Monday, July 23, 2012

PRU ke 13 Sebtember ini?


KUALA LUMPUR: Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dijangka mengadakan pilihan raya mengejut pada September ini. Ini boleh berlaku sebelum Hari Malaysia, jika rancangan membubarkan parlimen bulan depan menjadi kenyataan, kata sumber-sumber dalaman dan para penganalisis. Laman berita The Malaysian Insider (TMI) semalam melaporkan bahawa pihaknya difahamkan bahawa penasihat dan pembantu perdana menteri Malaysia itu telah memberitahu beberapa orang mengenai rancangan mengadakan pilihan raya umum ke-13 Malaysia - tempoh antara Hari Raya Aidilfitri pada 19 Ogos ini dengan hari pembentangan bajet pada 28 September ini. Hari Malaysia pula adalah pada 16 September ini.


"Pilihan raya mengejut adalah sebelum 16 September supaya memberi masa yang cukup bagi membentangkan bajet 2013 pada 28 September jika BN (Barisan Nasional) masih menguasai Putrajaya," kata seorang sumber kepada TMI.

Bagaimanapun, beliau menambah bahawa Hari Pembentangan Bajet Malaysia, yang secara tradisinya diadakan pada Jumaat dan pada akhir Oktober, kali ini dipercepatkan disebabkan oleh perayaan Aidilfitri. Lebih 60 peratus daripada penduduk Malaysia beragama Islam, manakala Islam pula adalah agama rasmi di negara itu.

Sumber lain pula memberitahu laman beria yang sama bahawa mengadakan pilihan raya pada September ini juga membolehkan penganut Islam menunaikan fardu haji, yang dijadualkan pada 26 Oktober ini. "Kami dengar pilihan raya mengejut pada September ini dan ini dijadikan faktor dalam analisis kami," kata seorang penganalisis pasaran saham Singapura kepada TMI, sambil menarik perhatian kepada perjumpaan antara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia dengan wakil-wakil parti politik di negara itu, minggu lalu.

Bagaimanapun, seorang tokoh politik veteran Umno, Tan Sri Abdul Aziz Tapa, berbeza pandangan dengan andaian tersebut, apabila beliau menjangkakan pilihan raya umum itu bakal diadakan pada tahun depan dan bukan dalam tempoh terdekat ini. "Pilihan raya kali ini tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat atau tahun ini sebaliknya ia lebih elok diadakan pada tahun depan," kata beliau kepada agensi berita rasmi Bernama, di Jasin, Melaka. Tan Sri Abdul Aziz, 89 tahun, menjelaskan bahawa jadual waktu itu akan dapat dimanfaatkan Umno dan BN bagi menyelesaikan masalah rakyat dan meningkatkan hubungan antara pemimpin parti itu dengan rakyat.

Datuk Seri Najib kelihatan mengambil pendekatan berhati-hati dalam mengumumkan tarikh pilihan raya tersebut, walaupun beliau sering meluahkan keyakinannya untuk terus menguasai kerajaan pusat Malaysia dan semua negerinya. Ketika ini, BN menguasai Putrajaya dan sembilan negeri di Malaysia manakala Pakatan Rakyat (PR) menguasai Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Di Pekan, Datuk Seri Najib kelmarin berkata BN masih belum selesai menyiapkan senarai calonnya bagi pilihan raya akan datang. -- Agensi

0 comments: