Selamat Datang ke ...

Selamat Datang ke ...

Khabar dari Situ Sana Sini

Monday, April 18, 2011

Kemenangan 15 kerusi bukti Pakatan Rakyat berjaya kukuhkan kedudukan di Sarawak.


KUALA LUMPUR: Walaupun hanya menang 15 kerusi, penganalisis politik berpendapat ia adalah satu keputusan yang tidak dijangkakan dan menunjukkan Pakatan Rakyat (PR) berjaya mengukuhkan kedudukannya di Sarawak.

Bagaimanapun, para penganalisis berkata hanya Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang menunjukkan peningkatan sokongan yang memberangsangkan berbanding Parti Keadikan Rakyat (PKR) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS).

PR memperoleh kemenangan di 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan DAP menyumbang 12 kemenangan, PKR tiga manakala PAS tidak memperoleh sebarang kerusi.

Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerajaan negeri Sarawak dengan memperoleh kemenangan lebih dua pertiga iaitu 55 kerusi DUN.

Calon Bebas memenangi satu kerusi.

'Bagi Pakatan Rakyat, mereka mengukuhkan lagi kedudukan terutamanya DAP, yang telah mendapat 12 kerusi berbanding sebelum ini, enam. Ini menunjukkan pengundi masih bersama Pakatan di kawasan bandar.

'Peningkatan sokongan ini menunjukkan BN perlu melakukan sesuatu untuk menyekat sokongan kepada Pakatan Rakyat,' kata pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian.

Katanya, walaupun PR merupakan parti dari Semenanjung, jumlah kerusi yang dimenangi perikatan tiga parti itu menunjukkan perubahan sudah berlaku.

'Peningkatan ini juga mungkin menunjukkan pengundi mahukan keseimbangan dalam DUN Sarawak. Namun begitu, nampaknya bukan semua pengundi masih boleh menerima parti yang berasal dari Semenanjung Malaysia,' katanya.

Jelas Dr Sivamurugan, faktor utama kemenangan besar BN adalah sumbangan yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang membantu jentera parti itu.

'Tapi cabarannya adalah memastikan apa yang dijanjikan semasa kempen dilaksanakan supaya momentum itu dapat dikekalkan dalam pilihan raya umum ke-13.

'Mungkin pengundi di Sarawak mahu memberikan satu lagi peluang kepada BN supaya jurang antara bandar dengan luar bandar dapat dikurangkan terutamanya jurang antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri selain mahu melihat Najib melakukan lebih banyak perubahan,' katanya.

Bagi Profesor Madya Dr Samsul Adabi Mamat, DAP membuktikan parti itu berjaya mendapatkan sokongan pengundi Cina di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Jelasnya, keputusan yang diperoleh PR itu masih belum dapat menyaingi BN yang mempunyai pengaruh kuat di Sarawak.

'Saya melihat daripada keputusan itu secara keseluruhannya memang BN dapat majoriti dua pertiga dan ini menunjukkan kemenangan besar BN. Namun, kalau kita melihat kawasan yang dimenangi DAP, ia menunjukkan peningkatan parti itu, begitu juga dengan PKR.

'Ini menunjukkan peningkatan kepada PR dalam pilihan raya Sarawak ini. Tapi secara keseluruhan, BN masih berada dalam keadaan cukup selesa,' katanya.

Sementara itu, PKR bercadang memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin setelah calonnya, Dr Michael Teo Yu Keng, kalah dengan majoriti tipis 58 undi kepada Datuk Lee Kim Shin daripada BN.

Naib Presiden PKR, Encik Tian Chua, menyuarakan rasa tidak puas hatinya berikutan keengganan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Encik Chai Ko Het, mengira semula undi di pusat penjumlahan undi malam tadi.

'Kami tidak puas hati, beliau (Encik Chai) tidak memberi kami sebarang alasan yang kukuh berikutan keengganannya itu,' katanya.

Datuk Lee memperoleh sejumlah 7,334 undi dan mengalahkan Dr Teo yang meraih 7,276 undi. -- Agensi.

Saturday, April 16, 2011

Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10: Persaingan paling sengit dalam sejarah.


Oleh Darwis Said

SLOGAN mana yang bakal dipilih lebih 979,700 rakyat Sarawak pada kotak undi pagi ini: 'transformasi' atau 'ubah'?

Dua slogan yang hampir sama maknanya itu dijadikan modal untuk menambat hati pengundi oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) dalam kempen mereka sejak 10 hari lalu dbagi pilihan raya negeri Sarawak ke-10.

Seramai 18,363 daripada pengundi berdaftar itu telah mengundi melalui pos Rabu lalu.

Sarawak mempunyai 71 kerusi dewan negeri. Sebanyak 27 daripadanya dalam kawasan undi kaum Melayu/ Melanau; 20 dalam kawasan kaum Iban; 15 dalam kawasan majoriti Cina; enam dalam kawasan kaum Bidayuh; dan tiga dalam kawasan Orang Ulu.

Mengimbas keputusan pilihan raya negeri itu pada 2006, parti pembangkang - ketika itu belum ada PR - hanya berdaya menang sembilan kerusi.

Tiga daripadanya dimenangi dengan majoriti kurang 1,000 undi (kawasan undi Kota Sentosa, Engkilili dan Ngemah); dua dengan majoriti antara 1,001 hingga 2,000 undi (Padungan dan Kidurong); dua dengan majoriti antara 3,001 hingga 4,000 undi (Batu Lintang dan Meradong); dan dua dengan majoriti 4001 hingga 5,000 undi (Pending dan Bukit Assek).

Kebanyakan kerusi yang dimenangi pembangkang - Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang keduaduanya kini di bawah bendera PR bersama Parti Islam SeMalaysia (PAS) - dan Parti Nasional Sarawak (Snap) ialah di kawasan majoriti pengundi Cina.

Dua lagi adalah kawasan majoriti kaum Iban - Engkilili dan Ngemah. Kerusi Ngemah pula dimenangi calon bebas.

Baki lebih 60 kerusi - sekitar 88 peratus - dimenangi BN Sarawak, yang parti komponennya ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progesif Sarawak (SPDP).

Kebanyakannya di kawasan undi Melayu/Melanau serta kawasan kaum dayak lain di luar bandar dan bahagian pedalaman Sarawak.

Seramai 213 calon daripada BN, PR, Snap dan calon bebas akan bertanding bagi merebut 71 kerusi dalam pilihan raya kali ini.

Isu utama

Sedang BN dan PR memukul cangang dengan agenda pembangunan masing-masing melalui slogan 'transformasi' dan 'ubah', kempen pilihan raya kali ini tertumpu pada tengkarah yang menyelubungi pentadbiran Ketua Menteri yang juga pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang didakwa rasuah, mengamalkan kronisme dan menyalah guna kuasanya dan enggan melepaskan jawatannya setelah 30 tahun berkuasa.

'Taib Mahmud berkeras enggan menyediakan bagi sekutu-sekutunya satu tarikh tetap bagi peletakan jawatan beliau. Sedang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) secara terbuka berkata ketua menteri itu akan meletak jawatan selepas pilihan raya, Taib sendiri berkata beliau tidak akan meninggalkan jawatannya sehingga sekitar pertengahan tempoh mandat akan datang,' kata Zamil Kanan Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas), Dr Ooi Kee Beng.

'Encik Taib mungkin tidak akan kalah tapi satu kemajuan besar oleh Pakatan Rakyat di Sarawak tiga tahun selepas 'kemenangannya' dalam pilihan raya umum lalu akan memastikan ia mempunyai laluan lebih licin ke pilihan raya umum Malaysia akan datang,' tambah beliau.

Isu itu membimbangkan sekutu-sekutu BN dan diambil kesempatan oleh pembangkang dalam kempen mereka.

Malah, sesetengah anggota dalam parti memerintah telah mula menganggap Tan Sri Abdul Taib sebagai satu liabiliti kepada BN bagi pilihan raya ini, menurut beberapa sumber BN.

Isu tanah, pembalakan tidak sah, taraf pendidikan di sekolah-sekolah Cina, tanggapan umum bahawa kaum Cina dipinggir dan suasana ekonomi masa kini Sarawak turut dimainkan pembangkang.

Dalam hal ini saintis politik Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Dr Bridget Welsh, berpendapat isu setempat akan membayangi isu nasional dalam keputusan pengundi kelak.

Oleh itu, apakah peluang parti-parti yang bertanding?

Peluang BN

Di sebalik aura keyakinan yang ditunjukkan sesetengah pemimpin BN, parti itu sebenarnya kelihatan meragui peluangnya mengekalkan penguasaan dua pertiganya dalam dewan negeri Sarawak.

Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai yang paling sengit dalam sejarah Sarawak

Oleh itu, beliau kelihatan akan berpuas hati jika BN dapat memenanginya dengan 'majoriti yang mudah', manakala kemenangan dengan 'majoriti dua pertiga adalah satu bonus', menurut beberapa laporan media yang menukil beliau baru-baru ini.

Para pengamat politik umumnya meramalkan BN mampu mengekalkan pengaruhnya di bahagian luar bandar dan pedalaman Sarawak - khususnya di kawasan majoriti kaum Melayu/Melanau yang dikuasai PBB.

'BN di seluruh Malaysia lebih banyak bergantung pada sokongan (pengundi) luar bandar, dan kemampuannya mengekalkan kerusi luar bandar itu adalah ujian bagi keupayaannya mengekalkan kuasa di peringkat nasional,' kata Dr Welsh.

Pengundi kawasan bumiputera beragama Islam itu dijangka terus menyokong BN tanpa menghiraukan isu kepimpinan Tan Sri Abdul Taib.

Bagaimanapun, rasa tidak puas hati di kalangan sesetengah pengundi kaum Iban di beberapa kawasan luar bandar dan pedalaman berhubung isu hak tanah dan tanggapan hak mereka sering dipinggirkan mungkin mengekalkan dua kawasan majoriti kaum itu dan tiga lagi - Batang Ai, Kemena dan Pelagus - di bawah penguasaan pembangkang.

Oleh itu, sikap kewaspadaan Datuk Seri Najib itu kerana laluan BN tidak semudah masa lalu dalam kubu tradisionalnya itu.

Peluang PR

PR pula dijangka menguasai kawasan majoriti penduduk Cina, khususnya di tujuh kawasan undi yang pernah dimenangi pembangkang pada 2006, selain empat lagi kawasan di Repok, Dudong, Pelawan dan Pujut.

Kawasan utara Sarawak dijangka menawarkan peluang bagi PR kerana pengundi Cina semakin berasa tidak puas terhadap BN selepas pilihan raya kecil di Sibu.

Hanya 21.5 peratus responden Cina menyokong BN dalam satu tinjauan Merdeka Centre baru-baru ini.

'Kelemahan BN hujung minggu ini bukan parti Encik Taib, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tetapi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang disokong kaum Cina,' kata Dr Ooi.

'SUPP semakin merasakan bahang kempen yang berkesan oleh DAP dan PKR. Ekoran keadaan terdesak itu, ia telah memanggil pemimpin utama Persatuan Cina Malaysia (MCA) dari Malaysia Barat,' jelas beliau merujuk kepada kedatangan presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; setiausaha agungnya, Datuk Seri Kong Cho Ha; dan bekas presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat, ke Sarawak baru-baru ini.

Tambahan pula, 27 kerusi panas dalam pilihan raya kali ini, yang 15 daripadanya ialah kawasan undi majoriti pengundi Cina, kelihatan menawarkan peluang bagi PR, khususnya DAP.

Malah, ada pengamat meramalkan PR berupaya memenangi sekurang-ku rangnya 19 hingga 30 kerusi.

Apakah angin perubahan akan melanda Sarawak, atau rakyatnya terus teguh di belakang BN?

Ini akan terjawab sekitar malam ini.

Thursday, April 14, 2011

PILIHAN RAYA SARAWAK KE-10: BN hadapi cabaran sengit daripada Pakatan Rakyat


KUCHING: Dua hari lagi, pengundi Sarawak akan keluar mengundi tetapi suasana agak meragukan dan kurang senang menyelubungi kem Barisan Nasional (BN).

Menurut beberapa sumber, semuanya itu berpunca daripada sikap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang dikatakan masih enggan menetapkan jadual waktu bagi peralihan kuasa - khususnya peletakan jawatan beliau.

Namun, ada juga beberapa pihak yang berpendapat BN masih berpeluang menang, dengan kehadiran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi BN, dalam sesi-sesi menemui penduduk di beberapa daerah luar bandar kaum Melayu-Dayak dilihat sebagai satu 'faktor tarikan' kepada pengundi.

Beberapa pegawai jentera BN mengakui bahawa keengganan Tan Sri Abdul Taib menetapkan tarikh peletakan jawatannya, di samping keengganannya menerima hakikat bahawa BN kini berhadapan cabaran sengit daripada Pakatan Rakyat (PR), buat kali pertamanya dalam sejarah negeri itu, agak menyukarkan keadaan.

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu genap tiga dekad menjadi ketua menteri Sarawak pada 26 Mac lalu.

PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progesif Sarawak (SPDP) adalah parti komponen BN.

Malah, beberapa pegawai BN juga dikatakan kecewa dengan pendirian Tan Sri Abdul Taib yang tidak mahu menerima hakikat bahawa beliau sebenarnya menjadi punca serangan negatif terhadap kepimpinan perikatan itu di Sarawak.

'Perdana Menteri menawarkan beliau jalan keluar awal untuk membantu mengatasi kerosakan dialami dan juga memberikan laluan untuk menentukan peringkatnya sendiri untuk berhenti (sebagai Ketua Menteri).

'Tetapi beliau tidak mempedulikan masa depan BN sebaliknya hanya kerana kepentingan diri,' kata satu sumber BN kepada laman berita The Malaysian Insider, sambil merujuk kepada jaminan Datuk Seri Najib Ahad lalu bahawa peralihan kepimpinan akan berlaku segera selepas pilihan raya negeri Sarawak ke-10 itu.

Berikutan itu, BN bertindak melakarkan semula strategi pilihan rayanya, dan cuba menumpukan usaha kempennya kepada kerusi-kerusi majoriti kaum Melayu-Dayak, yang selama ini menjadi benteng kukuh parti itu.

Namun, PR juga mencapai kemajuan dalam percubaannya menembusi kawasan luar bandar yang sukar diakses itu sejak beberapa hari lalu. Malah, para pemerhati politik berpendapat PR kini mampu memenangi '20 hingga 30 kerusi'.

Semalam, Datuk Seri Najib dipetik laman berita Malaysiakini sebagai berkata sasaran 'minimum' BN adalah membentuk sebuah kerajaan, manakala penguasaan 'dua pertiga majoriti adalah satu bonus'.

Mengulas, saintis politik daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) yang kini berada di Sarawak, Dr Briget Welsh, berkata isu politik tempatan akan mempengaruhi keputusan pilihan raya Sarawak, Sabtu ini.

'Apabila berlaku perubahan di kawasan luar bandar, ia akan membabitkan perbezaan pandangan di kalangan anggota masyarakat itu (biasanya merupakan sungutan politik terhadap pilihan calon) dan kemarahan terhadap isu tanah setempat,' jelasnya.

Sekitar 45 daripada 71 kerusi dalam pilihan raya negeri Sarawak adalah dari luar bandar.

Sementara itu, sejumlah 18,363 pengundi pos berdaftar - kakitangan tentera, polis dan mereka di luar negara - mula mengundi semalam. -- Agensi.

Wednesday, April 13, 2011

Krisis nuklear Fukushima di Jepun setaraf bencana Chernobyl !!!


TOKYO: Jepun semalam menaikkan tahap krisis di loji nuklearnya yang rosak menjadi setara teruknya dengan bencana nuklear Chernobyl, dari segi keseluruhan kebocoran radiasi yang tinggi dan mencemari udara, air paip, sayursayuran dan air laut.

Para pengawal nuklear Jepun berkata mereka telah menaikkan tahap krisis itu daripada 5 kepada 7, iaitu tahap tertinggi pada satu skala antarabangsa bagi kemalangan nuklear yang diseliakan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Ini selepas penilaian-penilaian baru ke atas kebocoran radiasi dari loji Fukushima Dai-ichi itu sejak ia dilumpuhkan akibat dipukul tsunami pada 11 Mac lalu.

Kedudukan baru itu menandakan satu 'kemalangan besar' yang melibatkan kesan meluas ke atas sekitaran dan kesihatan, menurut IAEA, yang berpangkalan di Vienna.

Namun para pegawai Jepun berkata sebarang kesan ke atas kesihatan hanya sedikit, dan kemudaratan akibat Chernobyl jauh melebihi kesan daripada loji Fukushima itu.

Semakan itu dibuat sehari selepas Jepun meletak lima lagi kawasan dalam senarai tempat yang harus dijauhi bagi mengelakkan pendedahan jangka panjang kepada radiasi.

Kawasan dalam lingkungan 20 kilometer di luar loji itu sudah dikosongkan.

Berita itu dikesali penduduk di Iitate, salah sebuah kawasan yang paras radiasi dalam tanahnya dikesan sebagai tinggi. Desa dengan 6,200 penduduk itu terletak sekitar 40 kilometer dari loji Fukushima itu.

Pegawai Jepun berkata paras radiasi yang bocor dari loji Fukushima itu sejauh ini 10 peratus daripada paras bencana Chernobyl, di bekas Soviet Union pada 1986, tetapi ia akhirnya akan melebihi paras Chernobyl jika krisis itu berterusan.

'Ini mengesahkan semula bahawa bencana ini amat besar. Kami meminta maaf kepada orang awam, penduduk berhampiran loji dan masyarakat dunia kerana kami telah menyebabkan satu kemalangan sebegitu serius,' kata Ketua Setiausaha Kabinet, Encik Yukio Edano.

Namun beliau berkata tiada 'risiko kesihatan secara langsung'.

Perdana Menteri Naoto Kan dalam satu ucapan di televisyen menggesa masyarakat awam supaya jangan cemas, dan meminta mereka menumpukan perhatian pada pemulihan daripada bencana itu.

'Sekarang keadaan reaktorreaktor nuklear di loji Fukushima semakin stabil selangkah demi selangkah. Kebocoran radiasi makin berkurang. Namun kita harus terus berjaga-jaga,' katanya.

Para pegawai Agensi Keselamatan Nuklear dan Perusahaan berkata jumlah terkumpul debu beradioaktif yang keluar ke udara sejak kejadian itu telah mencapai paras insiden Tahap 7.

Faktor-faktor lain termasuk kerosakan pada bangunan loji itu dan radiasi dalam tubuh pekerja.

Loji Fukushima itu rosak apabila tsunami tersebut, yang menyusuli gempa bumi kuat, merosakkan sistem penyejukan dan penjana dieselnya hingga mengakibatkan letupan di tiga reaktor dan kebakaran di reaktor keempat. -- AP.