Selamat Datang ke ...

Selamat Datang ke ...

Khabar dari Situ Sana Sini

Wednesday, March 16, 2011

Tokyo - paras radiasi lebih tinggi daripada biasa telah dikesan tetapi belum sampai tahap bahaya.


SENDAI: Letupan dan kebakaran di loji nuklear Jepun yang rosak akibat gempa bumi Jumaat lalu telah mengeluarkan radiasi pada tahap bahaya semalam, menyebabkan pasaran saham jatuh teruk dan orang ramai menyerbu pasar- pasar raya kerana panik.

Saham Tokyo, yang menjunam kelmarin dalam penjualan terburu-buru hingga menyebabkan indeks seluruh dunia terjejas, jatuh lagi 14 peratus semalam sebelum mengurangkan beberapa kerugian dan berakhir dengan kejatuhan 10.55 peratus.

Di pekan-pekan dan bandar-bandar, penduduk ketakutan memborong makanan dan air minum hingga mendorong pemerintah Jepun mengeluarkan amaran pembelian panik itu boleh menjejas keupayaannya menyampaikan bantuan ke kawasan-kawasan terjejas teruk oleh gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu.

Namun penduduk Tokyo yang ketakutan tetap memenuhi kereta api untuk keluar dari bandar itu atau terburu-buru membeli pelitup muka dan keperluan kecemasan kerana takut terkena radiasi.

Paras radiasi di sekeliling loji Fukushima Nombor 1 di pantai timur telah 'naik dengan banyak', kata Perdana Menteri Naoto Kan.

Ketua jurucakapnya berkata paras itu sudah sampai peringkat membahayakan kesihatan.

Di Tokyo, pihak berkuasa juga berkata paras radiasi lebih tinggi daripada biasa telah dikesan di ibu kota itu, tetapi belum sampai tahap bahaya.

Encik Kan memberi amaran kepada penduduk yang tinggal dalam lingkungan 10 kilometer di luar satu zon lingkungan penghalang 20 kilometer di sekeliling loji itu supaya jangan keluar rumah.

Kebakaran itu, yang akhirnya dapat dipadamkan dengan bantuan askar Amerika Syarikat, terjadi di reaktor nombor 4 loji itu, bererti empat daripada enam reaktor di loji itu kini bermasalah. Suhu di dua lagi reaktor pula dilaporkan semakin naik.

Paras radiasi di loji itu dan di bandar Tokyo kemudian menurun, kata ketua jurucakap pemerintah, Encik Yukio Edano.

Agensi cuaca Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata angin yang bertiup membawa bahan radioaktif ke arah laut, dan 'tidak ada implikasi' bagi Jepun atau negaranegara berdekatan.

Pihak Berkuasa Keselamatan Nuklear Perancis berkata bencana itu kini di paras enam dalam kiraan tujuh mata bagi tahap kehebatan kemalangan nuklear antarabangsa.

Ia yang kedua hebat selepas Chernobyl, di bekas Soviet Union, pada pada 1986.

Krisis itu juga mendorong Russia dan Jerman menilai semula sektor nuklear mereka, dengan Berlin berkata ia mungkin menghentikan tujuh reaktor nuklearnya selama tiga bulan sementara menunggu penyiasatan keselamatan.

Jepun terpaksa juga menghadapi kerosakan amat teruk akibat gempa itu dan tsunami, yang membinasakan daerah besar di pantai timur lautnya.

Angka kematian rasmi kini 2,424 orang, menurut polis, tetapi para pegawai berkata sekurang-kurangnya 10,000 orang mungkin maut.

Lebih 200,000 orang telah dipindahkan dari satu zon penghalang 20 kilometer di sekeliling loji nuklear rosak itu.

Bangunan-bangunan yang menempatkan reaktor 1 dan 3 meletup Sabtu lalu dan kelmarin. Semalam, satu letupan melanda reaktor 2 dan reaktor 4.

Pemerhati nuklear PBB, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), berkata Tokyo telah meminta bantuan pakar selepas gempa itu.

Namun ketua IAEA, Encik Yukiya Amano, cuba menenangkan kebimbangan dunia bahawa keadaan itu boleh mencapai kehebatan tragedi nuklear di Chernobyl. -- AFP.

Sunday, March 13, 2011

Selepas tsunami melanda Jepun ...


FUKUSHIMA (Jepun): Selepas gempa dan tsunami, Jepun semalam diancam bahaya radiasi nuklear pula, ekoran letupan yang merosakkan sebuah loji nuklear negara tersebut.

Letupan itu mencetuskan kebimbangan Jepun akan menghadapi peleburan nuklear, sedang para pegawai cuba membendung apa yang dikhuatiri akan menjadi bencana nuklear paling teruk selepas letupan Chernobyl pada 1986.

Media Jepun menganggarkan, 1,300 orang telah terbunuh dalam gempa dan tsunami itu yang memusnahkan bandar-bandar pesisiran pantai negara itu.

Polis menganggarkan 200 hingga 300 mayat telah dijumpai di bandar Sendai.

Lagi 300 hingga 400 mayat ditemui di Rikuzentakata, sebuah bandar kecil pesisiran pantai yang mempunyai kira-kira 23,000 penduduk.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Encik Yukio Edanom, berkata tiada kenaikan besar paras radiasi selepas letupan di loji nuklearnya tu kerana ia tidak berlaku dalam tempat simpanan reaktor itu.

'Kemudahan reaktor nuklear itu terletak di dalam sebuah mesin simpanan terbuat daripada keluli, yang dikelilingi sebuah bangunan konkrit. Bangunan konkrit ini yang runtuh. Kami dapati mesin simpanan di dalamnya tidak meletup,' kata beliau dalam satu sidang akhbar.

Encik Edano awalnya berkata satu langkah memindahkan para penduduk dalam lingkungan 10 kilometer dari bangunan loji nuklear Daiichi 1 yang berusia 40 tahun itu sudah mencukupi, tapi sejam kemudian, lingkungan itu ditambah kepada 20 kilometer.

Sedutan televisyen menunjukkan wap naik dari loji itu yang terletak 240 kilometer ke utara Tokyo.

Di sepanjang perairan timur laut, pekerja penyelamat menyelongkar runtuhan bangunan serta serpihan kenderaan dan bot yang musnah, mencari jika ada mangsa masih hidup dalam kawasan paling teruk terjejas seperti bandar Sendai, 300 kilometer ke timur laut Tokyo.

Para penduduk yang masih kelihatan bingung, cuba menyimpan air dan berkumpul di dalam khemah-khemah sementara dalam keadaan sejuk yang menggigit.

Gambar dari udara menunjukkan bangunan dan kereta api tercampak di sana sini di dataran-dataran berlumpur, bagaikan permainan kanak-kanak.

'Hampir semua kedai ditutup. Ini antara yang masih dibuka. Saya ke sini untuk beli lampin, air minuman dan makanan,' kata Encik Kunio Iwatsuki, 68 tahun, kepada agensi berita Reuters di Mito, di mana penduduk beratur di luar pasar raya yang rosak, bagi membeli barangan asas.

Di sepanjang pantai, mangsa-mangsa yang terselamat, cuba meredah jalan-jalan hampir musnah.

Gempa bumi dan tsunami itu, dan kini kebocoran nuklear, menimbulkan cabaran terbesar pernah dihadapi Jepun dalam satu generasi ini.

Letupan di loji nuklear keempat Chernobyl telah mengeluarkan beribu-ribu tan debu nuklear beracun hingga ke sejauh Ukraine, Russia dan Belarus. Ia merupakan bencana nuklear paling teruk pernah terjadi.

Letupan di kemudahan nuklear di Jepun itu berlaku sedang operator loji Tokyo Electric Power Co (Tepco) itu bertungkus-lumus cuba mengawal tekanan dalam teras reaktor itu.

Syarikat itu mempunyai sejarah yang tidak tentu dalam industri yang mengalami skandal.

Pada 2002, presiden syarikat pembekal elektrik terbesar negara itu terpaksa meletak jawatan bersama empat lagi eksekutif kanan, kerana bertanggungjawab ke atas apa yang disyaki pemalsuan rekod keselamatan loji nuklear itu.

Awal sebelum itu, operator loji itu telah melepaskan apa yang dikatakannya sedikit wap radioaktif bagi mengurangkan tekanan itu. Katanya, b ahaya sudah berkurang kerana berpuluh-puluh orang sudah berpindah dari kawasan sekeliling.

Wartawan Reuters berada di wilayah Fukushima, kira-kira 70 kilometer dari loji itu.

Media lain telah melaporkan ada kepungan polis di jalan-jalan di kawasan tiu bagi menghalang orang ramai menghampirinya. -- Reuters.

Sementara itu sekitar 10,000 orang didapati hilang di bandar pelabuhan Minamisanriku di Miyagi yang terjejas oleh gempa, lapor televisyen NHK semalam.

Bilangan itu merupakan lebih separuh penduduk bandar di Lautan Pasifik itu yang lebih 17,000 orang.

Pihak berkuasa kini cuba menjejaki orang-orang hilang itu. Ia mengesahkan bahawa sekitar 7,500 orang telah dipindahkan ke 25 tempat perlindungan selepas gempa kelmarin, tetapi kira-kira 10,000 orang masih tidak dapat dihubungi, kata NHK.