Selamat Datang ke ...

Selamat Datang ke ...

Khabar dari Situ Sana Sini

Friday, January 28, 2011

PRK Tenang - Kempen PR semakin dapat sambutan pengundi Cina


LABIS: Harapan Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dengan sekurang-kurangnya majoriti 5,000 undi dalam pilihan raya kecil Ahad ini mungkin lebih sukar.

Ini kerana momentum kempen Parti Tindakan Demokratik (DAP) - salah satu komponen Pakatan Rakyat (PR) - di kalangan pengundi berbangsa Cina di kawasan undi itu kini kelihatan semakin rancak, demikian menurut laporan sebuah laman berita tempatan.

The Malaysian Insider semalam melaporkan ia difahamkan bahawa anggota Umno yang berkempen bagi pihak parti komponen BN itu, yang pada mulanya yakin dapat menambat hati majoriti pengundi Melayu di Tenang, kini mulai menyalahkan Presiden Persatuan Cina Malaysia (MCA), Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, kerana gagal menyekat pengaruh DAP yang semakin bertambah sejak hari penamaan calon.

'Saya fikir mereka telah memperkecilkan pengaruh Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng terhadap masyarakat Cina. Mereka menarik minat pengundi di sini dan tidak seperti PAS (Parti Islam SeMalaysia), ceramah-ceramah DAP hanya dihadiri oleh penduduk setempat,' kata seorang pegawai Umno yang bercakap atas syarat namanya tidak didedahkan.

Penasihat DAP, Encik Lim Kit Siang, dan anak beliau, Encik Lim Guan Eng, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung parti itu, menghabiskan masa sehari suntuk memberi ceramah dalam dua perhimpunan PR di Labis Tengah.

Kededua perhimpunan itu, yang diadakan pada malam Isnin dan Selasa, menarik kehadiran sekurang-kurangnya 300 penduduk setempat, yang boleh dianggap sebagai satu jumlah agak besar dalam kempen pilihan raya DUN Tenang itu.

Malah, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, turut menyampaikan ceramah pada satu acara ceramah DAP malam kelmarin - sebagai satu isyarat adanya perpaduan antara dua parti komponen PR itu.

Ketibaan beliau di kawasan undi Labis Tengah telah diumumkan oleh Ahli Parlimen DAP Serdang, Cik Teo Nie Ching, yang mengucapkan terima kasih kepada Datuk Nik Abdul Aziz kerana mempertahankan beliau semasa beliau dikritik kerana melawat ke sebuah masjid baru-baru ini.

'Pilihannya amat mudah di sini, undilah Cikgu Normala,' kata Datuk Nik Abdul Aziz merujuk kepada calon PAS, Cik Normala Sudirman.

Mursyidul Am PAS itu berada di Tenang, semalam, untuk membantu kempen calon partinya itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, semasa membuat kunjungan rumah ke rumah penduduk di beberapa kampung di sekitar Pekan Ayer Panas, di sini, pula dipetik oleh laporan agensi berita Bernama, semalam, sebagai berkata para pengundi DUN Tenang perlu menolak pembangkang yang hanya tahu melempar tohmahan dan bercakaran sesama sendiri tanpa mempedulikan tentang pembangunan negara.

'Jangan buat pilihan yang salah pada 30 Januari ini, pastikan kita undi BN. Pembangkang hanya tahu bercakaran sesama sendiri dan tidak pernah membuat sebarang sumbangan kepada rakyat dan negara,' katanya, sambil menambah, hanya BN yang mampu melaksanakan program pembangunan demi kebaikan rakyat.

Sementara itu, kawasan DUN Tenang dilanda hujan dan banjir kilat di beberapa kawasan semalam, tetapi ia tidak melembapkan semangat berkempen kededua parti. -- Agensi

Monday, January 24, 2011

PRK Tenang - Isu 'diboikot' & adab bersalaman terus hangat.


LABIS: Sedang kempen pilihan raya kecil ke-14 Malaysia di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang memasuki hari keduanya semalam, calon-calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) masing-masing cuba menolak pelbagai dakwaan terhadap diri mereka.


Calon Umno-BN, Encik Mohd Azahar Ibrahim, menolak bulat-bulat dakwaan bahawa beliau 'diboikot' kepimpinan Umno Labis ekoran daripada pemilihannya sebagai calon pilihan raya kecil DUN itu.


Calon Parti Islam SeMalaysia (PAS), Cik Normala Sudirman, atau lebih mesra dipanggil 'Cikgu Mala', pula menganggap serangan parti lawan terhadap keengganan beliau bersalaman dengan lelaki sebagai satu isu yang remeh.


Semasa ditemui wartawan selepas mengadakan lawatan di Pasar Awam Labis di sini pagi semalam, Encik Mohd Azahar menyifatkan dakwaan itu tidak benar dan fitnah semata kerana ada pihak yang mahu menjejaskan imej beliau.


'Tak ada... tak ada... itu satu fitnah. Itu adalah politik, kalau lihat, ramai yang ikut saya. Dakwaan itu tidak benar, ia adat politik,' kata beliau.


Sebelum ini, ada desas-desus yang mengatakan Umno Labis tidak menyokong pemilihan Encik Mohd Azahar sebagai calon tetapi hal itu juga dinafikan Ketua Wanita Umno Labis, Cik Haslinda Salleh, dan Setiausaha Umno Labis, Encik Abdul Razak Abdul Rashid.


Kedua-dua mereka pernah disebut-sebut berpeluang menjadi calon, menurut laporan laman berita The Malaysian Insider.


Satu blog pro-PR baru-baru ini menyebut pemangku Ketua Umno Labis, Encik Rusdin Mahamud, dan Cik Haslinda 'naik angin' dengan pemilihan Encik Mohd Azahar itu.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, menafikan Encik Mohd Azahar diboikot kepimpinan Umno Labis.


'Dakwaan yang mengatakan Umno Labis tak sokong, tidak betul. Beliau (Encik Mohd Azahar) mendapat sokongan daripada semua barisan kepimpinan. Itu saya nafikan apabila kata beliau diboikot. Saya nak kata dakwaan kata bahagian (Umno Labis) tak sokong adalah satu fitnah,' kata Datuk Ahmad.


Sementara itu, Cik Normala pula dipetik laman berita mStar Online sebagai berkata tindakan beliau enggan bersalaman dengan pengundi lelaki itu tidak seharusnya dijadikan isu kempen.
'Perkara ini tidak sepatutnya menjadi isu. Selepas 53 tahun kita merdeka saya lihat Barisan Nasional dan parti komponennya gagal memahami isu bagaimana adab bersalaman seorang wanita Muslim dengan orang lain.


'Sebagai seorang wanita Islam kami memang tidak bersalaman dengan seorang lelaki. Kalau dengan masyarakat Cina wanita memang tidak ada masalah,' tegasnya pada sidang media harian PAS di markas parti itu, di sini, kelmarin.


Perkara tersebut didakwa menjadi isu di kalangan pengundi Cina di DUN Tenang.


Ahad ini, para penduduk DUN Tenang akan keluar mengundi untuk melantik wakil rakyat mereka. -- Agensi

Sunday, January 23, 2011

PRK DUN Tenang: BN vs PR


LABIS - Gelanggang kempen kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dibuka secara rasmi dengan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), mengulangi pertarungan pilihan raya tiga tahun lalu.

BN menurunkan Encik Mohd Azahar Ibrahim, 38 tahun, bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, manakala Parti Islam SeMalaysia (PAS), yang mewakili PR, mencalonkan Ketua Dewan Muslimat Labis dan bekas guru, Cik Normala Sudirman, 38 tahun.

Pegawai pengurus pilihan raya, Encik Md Asri Amir, mengesahkan hanya dua orang mengemukakan borang penamaan calon dan kedua-dua mereka disahkan sebagai calon pilihan raya kecil yang ke-14 itu pada 11.20 pagi semalam.

Pengundian akan berlangsung pada Ahad depan.

Keputusan pilihan raya kecil itu, meskipun tidak akan memberi kesan ke atas kedudukan di DUN tersebut, telah dilihat sebagai bakal menentukan tarikh pilihan raya umum Malaysia ke-13 kelak, yang disebut-sebut akan diadakan tahun ini.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha, pada 17 Disember lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis.

Datuk Sulaiman menewaskan calon PAS, Encik Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi pada pilihan raya umum 2008. -- Agensi.

Thursday, January 13, 2011

Pilihanraya ke-13 mungkin suku akhir 2011 ?


KUALA LUMPUR: Pentadbiran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, dipercayai sedang menimbangkan kemungkinan mengadakan pilihan raya umum tergemparnya hanya pada suku keempat tahun ini.

Ini dikatakan bagi membolehkan projek-projek transformasi ekonomi di negara itu membuahkan hasil, meskipun pendedahan daripada sumber-sumber dalaman parti sebelum ini pernah menyatakan bahawa ia mungkin diadakan dalam enam bulan pertama tahun ini, lapor sebuah laman berita tempatan, The Malaysian Insider, semalam.

Kelmarin, Datuk Seri Najib mengumumkan 19 lagi projek permulaan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang akan menjana pelaburan hampir RM67 bilion, di samping menambah Hasil Kasar Negara (GNP) sebanyak RM36 bilion, serta mewujudkan 35,000 pekerjaan baru di negara itu.

Sebanyak 18 projek telah diumumkan sejak ETP dilancarkan pada 25 Oktober lalu.

Pertimbangan itu dilihat hasil pertemuan Datuk Seri Najib dengan para ahli parlimen (AP) Barisan Nasional (BN) di sini hujung minggu lalu.

Para AP BN dan pegawai Umno yang mengadakan pertemuan dengan beliau memberitahu The Malaysian Insider bahawa presiden Umno itu lebih cenderung mengadakan pilihan raya umum ke-13 hanya selepas projek besar seperti MRT dan pembangunan Sungei Besi dimulakan.

Ditanya sama ada pertemuan itu boleh diambil kira sebagai satu petanda pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tidak lama lagi, Datuk Seri Najib, pada sidang media Sabtu lalu, berkata usaha tersebut sebahagian daripada proses transformasi politik yang telah dimulakan.

'Kami ambil keputusan (ini) di mana saya umumkan dalam Perhimpunan Agung Umno. Kami akan lancarkan program yang berbentuk transformasi politik bagi menunjukkan kesungguhan kepimpinan BN daripada peringkat tertinggi sampailah ke peringkat akar umbi dengan pelbagai kaedah dan program,' katanya.

Bulan lalu, Datuk Seri Najib, yang juga Menteri Kewangan Malaysia, memberitahu bahawa pelaksanaan projek MRT akan menjana pendapatan negara kasar antara RM3 bilion dengan RM4 bilion bermula awal tahun depan sehingga ia siap dibina pada 2020.

Difahamkan, ketika pertemuan hujung minggu lalu, Datuk Seri Najib telah meminta para AP menyenaraikan projek-projek di kawasan mereka yang masih belum dilaksanakan.

Malah, Datuk Seri Najib juga meminta para AP memaklumkan beliau janji pilihan raya umum 2008 yang masih belum dipenuhi.

Para pegawai yang rapat dengan perbincangan itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa Datuk Seri Najib ada memaklumkan kepada para AP bahawa beliau akan membantu mereka memastikan janji-janji kempen 2008 dan projek ditunaikan sebelum mengadakan pilihan raya umum ke-13. -- Agensi

Monday, January 10, 2011

Pilihanraya Umum ke-13 tidak lama lagi?


KUALA LUMPUR: Pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan para ahli parlimen Barisan Nasional kelmarin, telah mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan satu pilihan umum kilat diadakan tahun ini.

Datuk Seri Najib, yang juga merupakan pengerusi BN, tidak perlu mengadakan pilihan raya umum ke-13 negara itu sehingga 2013.

Namun, kejayaan BN dalam beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini telah 'menyemarakkan' lagi spekulasi tentang pilihan raya itu.

Beliau, yang menjadi perdana menteri pada April 2009 selepas BN kalah teruk pada 2008 sehingga memaksa penyandang sebelumnya bersara lebih awal, bagaimanapun menolak tanggapan tersebut.

Sebaliknya, Datuk Seri Najib berkata, pertemuannya dengan 112 ahli parlimen BN itu lebih difokuskan pada usaha mengukuhkan BN, yang selepas setengah abad berkuasa, dilanda reputasi sebagai parti yang korup dan tidak berkesan.

'Saya nak kata bahawa ini merupakan proses transformasi politik.

'Pilihan raya itu sebahagian daripada apa yang terpaksa kita lalui. Tapi lebih besar daripada itu adalah hasrat kita untuk menampilkan BN sebagai parti yang mendahulukan rakyat,' kata beliau, yang juga Presiden Umno, seperti yang dipetik dalam satu laporan akhbar The New Sunday Times (NST) semalam.

Bagaimanapun, beberapa ahli parlimen yang ditemui selepas pertemuan dengan perdana menteri Malaysia itu, dalam kumpulan tiga orang melaporkan kemajuan di kawasan masing-masing, berkata mereka percaya ia merupakan antara persediaan menghadapi pilihan raya.

'Beliau sedang mengumpulkan maklumat untuk memastikan bahawa maklumat daripada kami sejajar dengan apa yang beliau ada. Beliau berkongsi maklumat dengan kami dan mendengar pandangan kami.

'Beliau mahu kami menyelesaikan semua isu sebelum pilihan raya. Mungkin, beliau akan memanggil pilihan raya mengejut,' kata Ahli Parlimen (AP) Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, dalam satu laporan akhbar The Sunday Star.

AP Keningau, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, pula dipetik oleh akhbar yang sama sebagai berkata, semua orang tahu bahawa mesyuarat itu adalah sebahagian daripada persediaan bagi pilihan raya lebih awal.

'Perdana menteri sedang menimbangkan permintaan bagi program-progam yang boleh memanfaatkan setiap kawasan undi,' kata beliau selepas mesyuarat itu.

Parti campuran yang memerintah Malaysia itu telah pun mengadakan satu konvensyen pada Disember lalu. Sumber-sumber dalaman berkata perbincangan tertumpu kepada isu bagaimana memenangi semula sokongan yang terhakis pada pilihan raya umum 2008, apabila BN kehilangan pentadbiran lima negeri di negara itu dan penguasaan dua pertiganya dalam parlimen kepada pihak pembangkang.

Sementara itu, pakatan pembangkang Malaysia juga sedang menghadapi masalahnya sendiri sejak mencapai kejayaan pada pilihan raya 2008 itu.

Mereka semakin terbenam dalam lubuk masalahnya sendiri termasuk berlakunya pergeseran di antara anggota parti dan sering dialihkan perhatiannya kepada kes liwat pemimpin mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang didakwa mereka sebagai bermotifkan politik. -- Agensi

Thursday, January 6, 2011

Koroner Azmil menolak keputusan bahawa kematian mendiang Teoh Beng Hock adalah kerana bunuh diri


SHAH ALAM: Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian mendiang Teoh Beng Hock, pembantu politik kepada seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor, sebagai penghakiman terbuka.

Koroner Azmil Muntapha Abas berkata tidak dapat dipastikan sama ada mendiang dibunuh atau membunuh diri.

Mendiang, 30 tahun, setiausaha politik kepada Encik Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai 2009, selepas beliau memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 plaza itu.

Setelah banyak menuding jari dan tuduhan, pejabat Peguam Negara mengarahkan inkues itu diadakan bagi menyiasat kematian mendiang, yang membangkitkan beberapa persoalan, termasuk bagaimana, bila dan cara beliau menemui ajal dan yang paling penting, sama ada beliau membunuh diri atau dibunuh.

Laporan meluas menyatakan beliau mati beberapa jam selepas disoal siasat oleh SPRM mengenai dakwaan menyalah guna peruntukan kerajaan Selangor.

Pada awalnya inkues itu dijadual diselesaikan dalam masa sebulan tetapi ia berlarutan sehingga 4 November lalu.

Koroner Mahkamah itu mendengar keterangan daripada 37 saksi, termasuk seorang pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand, yang dijemput oleh kerajaan Selangor. Dr Pornthip menimbulkan tengkarah apabila beliau mendakwa mendiang mungkin dibunuh.

Mayat mendiang kemudian digali semula untuk bedah siasat kedua.

'Saya menolak keputusan bahawa kematian adalah kerana bunuh diri,' kata Koroner Azmil semalam.

Beliau berkata masih ada isu yang belum diselesaikan berhubung hujah bunuh diri dan menegaskan bahawa menentukannya secara telahan tidak boleh diterima.

Koroner Azmil berkata ada bukti mencukupi untuk menunjukkan bahawa kecederaan pada leher mendiang berlaku sebelum beliau jatuh.

Namun, tidak ada bukti untuk mengesahkan bahawa kecederaan itu menyumbang kepada kematiannya.

Beliau berkata juga tidak ada pihak ketiga terbabit dengan kematian mendiang.

Mahkamah sesak dengan penyokong dan media bagi mendengar keputusan inkues itu.

Para penyokong mendiang menaikkan kain rentang serta melaungkan 'Justice for Beng Hock' (Keadilan bagi Beng Hock). -- Agensi.

Tuesday, January 4, 2011

Undang-undang jelas sebut SUK dilantik suruhanjaya perkhidmatan

Shah Alam: Kerajaan negeri Selangor mungkin menghadapi masalah yang lebih rumit berbanding jalan buntu yang dihadapinya sekarang jika ia memutuskan membawa isu pelantikan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri itu ke mahkamah, menurut mantan hakim Datuk N. H. Chan.

Sambil merujuk kepada Seksyen 52 perlembagaan negeri Selangor, Datuk Chan dipetik oleh laporan laman berita The Malaysian Insider semalam sebagai berkata, undang-undang dengan jelas menyebut SUK dilantik oleh suruhanjaya perkhidmatan bukannya menteri besar ataupun sultan sebagaimana diperkatakan oleh sesetengah pihak.

'Sebagaimana anda boleh lihat, Seksyen 52 (1) adalah jelas, ia secara spesifik mengatakan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri harus dibuat oleh suruhanjaya perkhidmatan yang sewajarnya memilih kalangan anggota perkhidmatan awam.

'Dia bukan dilantik oleh sesiapa; bukan juga oleh sultan, malah bukan oleh perdana menteri tetapi oleh sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan yang calon Setiausaha Kerajaan Negeri ialah anggota perkhidmatan awam,' jelas beliau.

Oleh itu, kata beliau, kemungkinan perkara yang akan dicabar berkaitan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri ialah ia tidak dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkaitan.

Justeru, mantan hakim Mahkamah Rayuan itu berkata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), harus berhati-hati dalam menentukan suruhanjaya perkhidmatan yang dimaksudkan sebelum memulakan sebarang tindakan mahkamah bagi menyelesaikan pertikaian berkaitan pelantikan bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Khusrin Munawi, sebagai penyandang jawatan tersebut.

Datuk Khusrin pula dilaporkan mula masuk ke pejabatnya pagi semalam.

'Jika beliau menyaman suruhanjaya perkhidmatan yang salah, mereka akan kalah seratus peratus. Kes itu akan ditolak serta-merta,' tegas Datuk Chan ketika dihubungi di Ipoh, Perak.

Seorang lagi bekas hakim Mahkamah Persekutuan memberitahu The Malaysian Insider bahawa suruhanjaya perkhidmatan yang dimaksudkan dalam perlembagaan negeri Selangor itu ialah Jabatan Perkhidmatan Awam, dan ketuanya ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan.

Bagaimanapun, Datuk Chan enggan mengulas pandangan itu.

Laman berita Malaysiakini semalam melaporkan bahawa Datuk Khusrin tiba untuk bertugas di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pada 6.45 pagi semalam tetapi mengelak daripada menemui sekumpulan wartawan yang menunggunya sejak awal pagi.

Sementara itu, kerajaan negeri Selangor berkata ia mencadangkan agar diadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif termasuk SUK negeri kepada Menteri Besarnya dan Sultan Selangor.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau akan menulis surat kepada Speaker DUN bagi memaklumkan mengenai cadangannya itu selepas menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi semalam. -- Agensi