Selamat Datang ke ...

Selamat Datang ke ...

Khabar dari Situ Sana Sini

Tuesday, September 14, 2010

Perkara 29A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan melantik dan mengesahkan Pemangku Raja Kelantan menaiki Takhta


KOTA BHARU: Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, 40 tahun, dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru, semalam.

Pengisytiharan pemasyhuran itu diumumkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di Balai Rong Seri Istana Balai Besar di sini sekitar 12.30 tengah hari semalam.

'Maka dengan ini diisytiharkan mengikut perkara 29A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan melantik dan mengesahkan Pemangku Raja Kelantan menaiki Takhta menggantikan Ayahanda Baginda berkuatkuasa hari ini,' kata beliau seperti laporan Bernama.

Datuk Nik Aziz berkata Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang dipengerusikan Tengku Abdul Halim telah bermesyuarat pada 9 pagi semalam di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Darul Naim, bagi membuat keputusan tersebut.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias, semalam berkata Majlis Perajaan Negeri berpendapat keadaan Tuanku Ismail Petra memerlukan seorang pengganti dipilih dan dilantik menjadi Raja bagi menggantikannya mengikut Perkara 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Datuk Nik Aziz, sebagai mewakili rakyat Kelantan, melafazkan taat setia terhadap Tuanku Muhammad Faris Petra.

Beliau berharap pelantikan itu dapat menyelesaikan kemelut istana yang berlarutan sejak Sultan Kelantan terdahulu, Tuanku Ismail Petra, kurang sihat lebih setahun lalu.

'Sekiranya ada lagi tukul dan pahat-pahat berbunyi, kita harap simpan dalam peti masing-masing,' kata beliau kepada pemberita di Istana Negeri, Kubang Kerian, semalam.

Tengku Muhammad Faris menggantikan ayahandanya menerusi satu pindaan kepada perlembagaan negeri Kelantan yang menyatakan Sultan tidak akan lagi menjadi raja jika beliau tidak berdaya memerintah bagi tempoh melebihi satu tahun.

Tuanku Ismail Petra, 60 tahun, diserang angin ahmar pada Mei 2009.

Peguamnya, Encik Rashid Zulkifli, berkata mereka akan mencabar penyingkiran baginda di mahkamah, seperti laporan AFP.

Kakak sulung Tuanku Ismail Petra, Tengku Merjan Yahya Petra, semalam berkata apa yang berlaku merupakan satu rampasan kuasa.

Menurutnya, berdasarkan perlembagaan negeri Kelantan, peralihan kuasa hanya boleh berlaku jika Sultan yang asal mangkat, meninggalkan negeri lebih setahun tanpa alasan munasabah atau meletak jawatan secara sukarela, lapor agensi berita Xinhua.

Tengku Merjan berkata adalah melanggar perlembagaan untuk mengisytihar seorang raja baru padahal adinda beliau masih hidup.

'Sebarang percubaan untuk menyingkirkan Sultan dengan cara yang lain mirip kepada satu rampasan kuasa,' kata beliau seperti laporan AFP semalam.

Beliau menggesa kerajaan pusat supaya campur tangan dalam krisis tersebut. -- Agensi.