Selamat Datang ke ...

Selamat Datang ke ...

Khabar dari Situ Sana Sini

Tuesday, August 31, 2010

Rahsia di Sebalik Solat.



Oleh Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim

Kebaikan solat terbukti dalam kajian yang telah dijalankan. Dianggarkan ramai kumpulan sasaran yang akan mendapat manfaat daripada klinik solat ini. Jelas terbukti membongkar kebaikan solat dari perspektif sains benar-benar melangkaui kemungkinan.

Rasullullah s.a.w memerintahkan kaum muslimin agar mengikut cara bersolat baginda seperti dalam hadis Rasulullah yang bersabda:"Solatlah kamu sebagaimana kamu lihat aku solat" - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Hikmah solat dalam kedudukan berikut:

Berdiri
  • Pastikan badan berada dalam satu garis lurus, beban badan di letakkan di kedua-dua kaki.
  • Otot atas belakang badan berada dalam keadaan rehat.
  • Otot-otot kedua tangan berada dalam keadaan istirehat sepenuhnya.

Rukuk
  • Merehatkan sepenuhnya otot bahagian bawah belakang.
  • Meregangkan otot paha dan betis.
  • Melembutkan otot-otot perut dan buah pinggang.
  • Melembutkan ruas tulang belakang untuk mengurangkan kesakitan waktu bersalin.

Sujud
  • Melancarkan aliran darah dan aliran limfa.
  • Membantu proses pengepaman jantung dan mengelakkan (pengerasan salur darah).
  • Menguatkan otot-otot dada.
  • Melancarkan aliran darah ke otak.
  • Memulihkan kedudukan rahim.

Duduk antara dua sujud
  • Melancarakan aliran darah ke kawasan bawah badan.
  • Mengurut otot bahagian bawah badan.
  • Merawat otot-otot yang tercedera selepas bersalin.
  • Merawat buasir.

Duduk tahiyat
  • Posisi kaki seumpama rawatan 'akupunktur' mengurut telapak kaki yang mewakili organ-organ dalam badan.
  • Merawat buasir.
  • Merawat penyakit berkaitan alat kelamin lelaki.

Memusing kepala untuk memberi salam
  • Menguatkan otot leher.
  • Menghilangkan sengal dan lenguh bahagian leher.

Solat Tarawih dan Puasa Terhadap Kompisisi Badan
  • Menguatkan otot dan meningkatkan kadar pembakaran lemak.
  • Lemak kurang dalam salur darah kekenyalan salur darah meningkat dan rintangan berkurang.
  • Puasa tidak akan mengakibatkan nyahhidrasi pada sel tubuh badan.
  • Sebaliknya, kandungan air di dalam sel badan semakin meningkat.
  • Pergerakan Solat Tarawih lebih selama 140 minit dalam satu sesi adalah konsisten dengan tahap senaman sederhana untuk melebihi 150 minit seminggu dan puasa pula merupakan diet yang baik.
  • Aktiviti ini dapat meningkatkan kadar pembakaran lemak sekaligus merendahkan lemak dan nilai glukosa.

Kesimpulan:

Solat umpama senaman ringan dan berpuasa umpama diet yang baik. Kegiatan ini boleh meningkatkan kadar pembakaran basal dan menurunkan kolestrol badan. Justeru ia dapat mengelakkan penyakit jantung, stress, kolestrol dan kegemukan. Pergerakan yang dilakukan semasa solat telah dibuktikan dapat memulihkan fungsi otot-otot dan merawati sakit pinggang. Postur dan pergerakan solat boleh digunakan sebagai salah satu rawatan pemulihan alternatif untuk menyembuhkan atau mengurangkan sakit pinggang, bukan sahaja kepada penghidap sakit pinggang kronik, tetapi juga disyorkan kepada wanita mengandung tanpa mengira bangsa dan agama.

Friday, August 13, 2010

Bulan Ramadhan merupakan antara masa untuk menjernihkan tanggapan kita mengenai agama Islam.


Oleh Mohd Yusof Hassim

Teras berpuasa ialah meraih matlamat - agar lebih bertakwa (Al-Baqarah: 183).

Mengapa sering terdapat segolongan orang yang begitu berani mendedahkan sesuatu perkara yang jelas bertentangan dengan syariat Islam? Boleh dikatakan bahawa hal ini berbalik kepada kefahaman seseorang terhadap hukum-hukum agama dan pegangan akidahnya.

Jika memahami Islam dengan betul maka setiap amalannya akan menjadi baik dan takut untuk melakukan perkara-perkara yang ditegah. Begitu juga sebaliknya. Mereka tahu akan larangan Islam, tetapi mereka lakukan juga. Mengapa ini berlaku? Ini kerana perasaan takut telah hilang di dalam diri mereka. Tidak ada perasaan takwa kepada Allah swt.

Sebenarnya yang mengawal kelakuan seseorang Muslim adalah akidah dan ketakwaannya. Jika perkara ini difikirkan, ia boleh menghalang seseorang daripada melakukan kejahatan.

Makhluk tidak akan kekal. Setiap yang bernyawa akan mati. Itu pun ada orang berani mengatakan bahawa usia masih muda, jauh daripada mati. Hidup hanya sekali, remaja hanya sekali. Justeru, janganlah sesiakan usia muda. Mereka mendakwa bahawa waktu untuk melakukan kebaikan, solat dan ibadah-ibadah lain masih panjang.

Anehnya, mereka juga tahu bahawa maut tidak mengenal usia dan tidak dapat dijangka. Mereka tahu ada orang meninggal dunia walaupun usianya masih muda sedangkan orang tua yang sakit nazak bertahun-tahun tidak mati. Allah swt boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Untuk mematikan makhluk-Nya tidak ada tempoh tertentu, tua atau muda, malah anak kecil pun boleh diambil nyawanya.

Setiap orang yang mengaku dirinya menganuti Islam harus mengetahui akan batas-batas agama. Jika mereka faham dan sedar bahawa dalam Islam ada batasnya, ada tegahannya, mereka harus menjaga batas tersebut dan mematuhi setiap larangan yang diperintah Islam. Mereka boleh menghindari diri daripada terjebak ke dalam gejala sosial jika mereka memahami batasan dan larangan Islam.

Jika golongan dewasa membawa satu cara atau bentuk yang tidak baik, mungkin golongan remaja akan melihatnya sebagai satu perkara yang baik dan menjadi ikutan. Golongan remaja, terutama yang masih di bangku sekolah, memang suka mengikut-ikut apa yang dilakukan idola mereka. Mereka sebenarnya tidak faham apa yang mereka lakukan. Apabila menonton gelagat seseorang artis di layar televisyen atau di media massa yang lain, timbul keinginan untuk mencuba.

Kita tidak boleh meniru sana sini kerana Islam sudah mempunyai adab dan syaratnya. Jika yang baik dari Barat sesuai dengan Islam, maka kita terima. Begitu juga dari yang Timur. Justeru, semua pihak termasuk individu, anggota masyarakat dan pihak bertanggungjawab hendaklah memainkan peranan seiring dalam membela imej Islam.

Inilah pesan Rasulullah saw kepada kita agar senantiasa berpegang dengan tali Allah swt dan tidak membiarkan urusan sesama manusia terabai.