Selamat Datang ke ...

Selamat Datang ke ...

Khabar dari Situ Sana Sini

Friday, July 16, 2010

Harga Naik 5-dalam-1: Terima Kasih PM !!!



KUALA LUMPUR, 16 Julai — Pakatan Rakyat (PR) mempertikaikan langkah pelarasan subsidi diumumkan semalam, yang mengakibatkan empat produk keperluan asas mengalami kenaikan harga dengan menggesa kerajaan mengkaji semula pemberian subsidi kepada pengeluar tenaga bebas (IPP).

Dua komponen PR iaitu PKR dan PAS berpendapat kerajaan wajar mengumumkan potongan subsidi kepada syarikat besar, antaranya IPP berbanding mengurangkan subsidi bagi pengguna biasa yang merupakan ramai jumlahnya.

Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perlu mengumumkan penambahbaikan drastik kepada kaedah dan sistem perolehan yang diamalkan kerajaan agar lebih telus dan mendapatkan nilai terbaik untuk rakyat.

Selain itu kata beliau, kerajaan perlu menstrukturkan semula pemberian subsidi gas kepada IPP agar penjimatan ini dapat disalurkan kepada rakyat.

“(Kerajaan juga perlu) mengawal selia prestasi syarikat berkaitan kerajaan dan agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga dana awam bagi mengelakkan kerugian berbilion ringgit yang ditanggung rakyat; dan yang terpenting,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Anwar yang juga Penasihat PKR berkata, kerajaan perlu membuktikan keikhlasan dalam perang menentang rasuah dengan menghentikan campur tangan politik dalam SPRM dan Jabatan Peguam Negara.

“Rakyat akan ternanti-nanti tindakan susulan Perdana Menteri jika benar Barisan Nasional ikhlas dalam menangani kekusutan ekonomi negara.

“Jika tidak, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula semalam hanyalah sambungan kepada rentetan penindasan rakyat berpendapatan rendah demi golongan elit dan kroni,” kata beliau lagi.

Kata Anwar, walaupun Dewan Rakyat telah bersidang sejak 7 Jun lalu dan berakhir semalam, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula langsung tidak dibincangkan.

“Pengumuman ini membuktikan Perdana Menteri dan kabinetnya tidak menghormati kedudukan Dewan Rakyat sebagai sidang tertinggi yang mewakili rakyat Malaysia. Datuk Seri Najib sedar ahli Parlimen baik dari Pakatan Rakyat mahupun dari Barisan Nasional tidak akan menyokong beliau kerana tindakan menaikkan harga tanpa menyediakan bantuan lain kepada rakyat adalah kebijakan yang tidak prihatin terhadap rakyat keseluruhannya.

“Hakikatnya, kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini adalah tidak bertanggungjawab kerana tidak ada tindakan proaktif untuk menyediakan mekanisme bantuan kepada golongan yang paling terkesan dengan kenaikan ini, sebelum pengumuman dibuat,” katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, kerajaan persekutuan telah mengumumkan rancangan pemotongan subsidi ini sejak 2008 lagi atas alasan untuk menstrukturkan semula pemberian subsidi agar ia lebih memihak kepada golongan yang memerlukan.

“Sehingga kini, rakyat masih tertunggu-tunggu mekanisme bantuan tersebut. Pada masa yang sama, kenaikan demi kenaikan diumumkan.

“Kenaikan harga gula sebanyak 28 peratus sejak awal tahun ini (kenaikan 20 sen pada 1 Januari lalu). diikuti kenaikan 20 sen berikutnya semalam) sudah tentu akan mempunyai kesan kepada harga makanan,” kata beliau.

Kesan berganda daripada kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini, menurut bekas menteri kewangan ini, akan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah di bawah RM2,000 sebulan, yang mana 75 peratus adalah Bumiputera yang kononnya dibela oleh Barisan Nasional.

Sasaran penjimatan sebanyak RM750 juta yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri adalah sedikit berbanding dengan keborosan dan pembaziran yang berlaku akibat kelalaian Barisan Nasional, katanya.

“Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri telah mencecah RM3.8 bilion pada tahun 2009 dan dijangka mengatasi peruntukan RM3.9 bilion bagi tahun 2010. Ini termasuklah perbelanjaan Sekretariat Mantan Perdana Menteri dan Sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri,” katanya.

Malah, kata Anwar, penjimatan RM750 juta itu tidak setanding dengan kerugian yang ditanggung rakyat apabila konglomerat milik rakyat iaitu Sime Darby mengalami kerugian sebanyak RM946 juta dan menerima pula pampasan dari kerajaan berjumlah RM700 juta.

Oleh itu katanya, langkah membebankan rakyat atas alasan mengurangkan defisit dan menggunakan penjimatan untuk menampung keborosan kerajaan seperti ini perlu dihentikan segera.

“Di mana letaknya maruah seorang Perdana Menteri yang mengambil wang rakyat atas nama penstrukturan subsidi dan digunakan untuk membayar perunding asing seperti APCO sehingga mencecah RM77 juta setahun semata-mata untuk menaikkan imej beliau, sedangkan bayaran kepada APCO itu hampir sama jumlahnya dengan anggaran penjimatan subsidi gula sebanyak RM126 juta,” katanya.

Pun begitu, Anwar tidak menolak bulat-bulat kaedah penstrukturan semula subsidi untuk memastikan lebih banyak bantuan sampai terus kepada golongan 75 peratus di bawah pendapatan isi rumah RM2,000 sebulan.

“Penjimatan dari pengurangan subsidi sepatutnya disalurkan terus kepada golongan ini melalui mekanisme-mekanisme yang perlu diumumkan serentak dengan kenaikan harga.

“Saya menuntut supaya Perdana Menteri mengumumkan secepat mungkin bagaimanakah penjimatan RM750 juta ini akan dibelanjakan untuk rakyat.

“Nasihat saya supaya penjimatan ini disalurkan dalam bentuk kenaikan peruntukan untuk institusi pengajian tinggi, pelaburan baru dalam bidang pendidikan dan bantuan kebajikan terus kepada golongan berpendapatan di bawah RM2,000 agar penjimatan itu sampai terus kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya juga merasakan kerajaan perlu segera mengambil langkah mengurangkan subsidi kepada syarikat-syarikat besar termasuk IPP.

“Fokus yang boleh diberi perhatian ialah mengurangkan subsidi yang disalurkan kepada IPP, kerajaan perlu melihat pada subsidi yang diberikan kepada syarikat-syarikat besar,” kata beliau ketika ditemui pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau menolak idea agar diadakan demonstrasi membantah pengurangan subsidi dan menaikkan harga yang diumumkan semalam.

“Kita ada banyak lagi isu-isu besar yang perlu ditangani seperti demokrasi politik,” katanya lagi. -- TMI

Monday, July 12, 2010

Piala Dunia 2010 telah mendedahkan Afrika Selatan yang baru kepada seluruh dunia.


JOHANNESBURG: Dengan bangganya, ia mempamerkan pencapaian modennya.

Ia juga membuktikan pandangan stereotaip dan senario yang mengerikan di negara itu sebagai tidak benar.

Gambar pemain-pemain bola sepak terbaik dunia, peminat yang kesukaan dan stadium-stadium terkemuka menjadi tajuk berita yang biasanya dibayangi dasar apartied Afrika Selatan yang menyakitkan, kes-kes jenayah yang berleluasa serta kemiskinan yang masih menghantui jutaan penduduk.

'Dunia telah melihat negara ini dengan pandangan yang berbeza,' kata Presiden Jacob Zuma dengan bangganya.

Piala Dunia yang pertama di benua Afrika ini juga telah merangsang negara lain di benua itu, yang sering diceritakan sebagai berada dalam keadaan berputus asa sedang 17 negara menandakan 50 tahun merdeka daripada kuasa penjajah Eropah.

Akhbar-akhbar di seluruh dunia telah mengisytiharkan bahawa Piala Dunia itu sebagai 'satu kemenangan untuk semua Afrika', 'satu perayaan besar yang berjaya', dan sebuah 'Piala yang dianjurkan dengan begitu baik sekali'.

Pada masa yang sama, para selebriti yang ke negara itu juga tidak henti-henti memujinya.

Di Afrika Selatan sendiri, pengalaman itu telah dibandingkan dengan kegembiraan yang dialami 20 tahun lalu apabila Nelson Mandela melangkah keluar dari penjara aparteid dan memimpin negara itu ke arah demokrasi sepenuhnya, dengan beliau memenangi pilihan raya dalam 1994.

'Untuk mempersembah sebuah Afrika Selatan yang baru yang kami impikan apabila Mandela keluar dari penjara dalam 1990 menjadi kenyataan dalam 2010 adalah sesuatu yang istimewa,' kata penganjur terkemuka Piala Dunia, Danny Jordaan, seorang veteran perjuangan demokrasi.

Selepas kejohanan dimulakan pada 11 Jun, amaran dari luar negara bahawa pelancong memerlukan jaket kalis tikaman dan pengawal peribadi segera hilang dan digantikan oleh imej sebuah negara berbilang bangsa meraikan bersama di bandar-bandar moden.

'Perasaan bangga kenegaraan yang diluahkan dan kesatuan yang ditunjukkan oleh semua warga Afrika Selatan daripada kejohanan ini merupakan faedah yang tidak ternilai harganya,' kata Presiden Zuma.

Di negara yang purata rakyatnya berusia 25 tahun, kebanyakan warga Afrika Selatan yang hidup hari ini tidak mempunyai pengalaman luas mengenai aparteid - dasar yang memisah-misahkan bangsa secara paksa.

Namun, perbezaan itu masih wujud.

Jenayah masih lagi merupakan masalah, dengan purata 50 kes pembunuhan berlaku setiap hari.

Tetapi kebanyakan jenayah yang ganas berlaku di kalangan warga yang paling miskin dan di kota-kota miskin, jauh dari tempat tumpuan pelancong.

Warga miskin Afrika Selatan juga terkial-kial untuk menikmati pendidikan, menggunakan khidmat awam dan mendapat pekerjaan - yang mengakibatkan negara itu mempunyai perbezaan yang terbesar di dunia antara yang kaya dengan yang miskin.

Bagi golongan pertengahan dan atas, Piala Dunia mewujudkan insentif untuk bergaul tanpa batasan bangsa, untuk menaiki kereta api dan bas bersama, untuk menyanyi dan meniup vuvuzela di dalam stadium.

Selepas Piala Dunia, kebanyakan orang akan kembali ke kehidupan biasa mereka dan sedikit sahaja yang menjangka dapat melihat wajah-wajah berkulit putih di kalangan kawasan penduduk kulit hitam.

'Selepas ini, senyap sahaja dan tidak akan ada kulit putih lagi di Soweto,' kata Evans Shivambu, di satu perbarisan selamat tinggal untuk kejohanan tersebut. -- AFP.

Friday, July 9, 2010

Carrefour akan terus beroperasi.

Oleh Atiyyah Mohd Said

CAWANGAN pasar raya Carrefour akan terus beroperasi seperti biasa di Singapura dan Malaysia, kata firma runcit berpangkalan di Perancis itu dalam kenyataannya malam kelmarin.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyentuh atau menafikan desas- desus bahawa firma peruncit kedua terbesar di Eropah itu akan menjual perniagaannya di kededua negara tersebut. Baru-baru ini, timbul beberapa laporan bahawa Carrefour merancang menjual bisnesnya di Asia, khususnya di Singapura, Malaysia dan Thailand.

Laporan-laporan itu berkata, rangkaian pasar raya itu mungkin menjual operasinya di Asia Tenggara sehingga AS$1 bilion. 'Carrefour Malaysia dan Singapura menafikan sebarang penutupan kedai di Malaysia dan Singapura dan mengingatkan bahawa perniagaan berjalan seperti biasa untuk setiap cawangan,' kata kenyataan yang dikeluarkan syarikat tersebut lewat kelmarin.

Kenyataan itu juga membayangkan bahawa perniagaan di Malaysia sedang berkembang baik dengan lebih banyak pasar raya akan dibuka pada tahun ini. 'Pada 2010 sahaja, empat pasar raya Carrefour baru dibuka di Malaysia dan empat pasar raya lagi dijadualkan dibuka menjelang akhir tahun ini,' kata kenyataan itu lagi.

Semasa dihubungi Ekoniaga, jurucakap Carrefour enggan mengulas lebih lanjut mengenai isu itu.

Difahamkan bahawa operasi Carrefour di Singapura, yang dipercayai bernilai sehingga AS$400 juta, menarik minat rangkaian pasar raya Britain, Tesco. Menurut laporan awal, operasinya di Singapura, yang menggajikan sekitar 600 pekerja, mencatat penjualan sekitar $200 juta setahun.

Difahamkan juga bahawa Tesco, yang turut mempunyai cawangan di Malaysia, termasuk Johor; firma Hongkong Dairy Farm International Holdings Ltd; dan beberapa pasar raya Jepun seperti Aeon berminat membeli rangkaian Carrefour di Malaysia.

Sementara itu, firma rangkaian pasar raya Thailand, Big C Supercenter, dan Tesco dikatakan berminat membeli aset Carrefour di Thailand. Buat masa ini, Carrefour mempunyai dua cawangan di Singapura, 22 di Malaysia dan 40 di Thailand.

Carrefour juga dilaporkan akan mengekalkan unitnya di China dan Indonesia yang dipercayai akan terus dikembangkan lagi.

Carrefour Indonesia, yang mempunyai 75 cawangan, diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Encik Shafie Shamsuddin, yang sebelum ini memimpin operasi Carrefour di Malaysia dan Singapura. Operasi Carrefour di Asia dilaporkan menyumbang sekitar 7.5 peratus daripada jumlah keseluruhan penjualan bersihnya tahun lalu. Ini berbanding 13.7 peratus untuk pasaran Amerika Latin dan 35.4 peratus di Eropah, sementara Perancis menjana penjualan tertinggi sebanyak 43 peratus. -- Agensi

Wednesday, July 7, 2010

Carrefour akan tutup operasi di Singapura, Malaysia dan Thailand.


Oleh Atiyyah Mohd Said

FIRMA runcit kedua terbesar Eropah, Carrefour, merancang untuk keluar daripada pasaran Singapura, Malaysia dan Thailand. Namun, Carrefour akan terus mengekalkan dan mengembangkan lagi operasi di Indonesia, China dan India.

Menurut laporan agensi Bloomberg dan Reuters, penjualan aset Carrefour di ketiga-tiga negara itu dianggarkan mencapai sekitar AS$800 juta hingga AS$1 bilion. Sumber-sumber agensi itu berkata Tesco, firma rangkaian pasar raya Britain, berminat mendapatkan aset Carrefour di Singapura. Carrefour mempunyai dua cawangan di Suntec City dan di Plaza Singapura. Ia menggajikan 600 pekerja di Singapura.

Semasa dihubungi Ekoniaga bagi mengesahkan berita tersebut semalam, jurucakap Carrefour di Singapura enggan mengulas mengenai laporan tersebut. 'Kami tidak ada sebarang komen mengenai berita ini,' ujar jurucakap itu. Difahamkan, operasi Carrefour di Singapura bernilai antara AS$350 juta dengan AS$400 juta. Menurut laporan awal, cawangan Carrefour di Singapura mencatat penjualan sekitar $200 juta setahun.

Selain di Singapura, Carrefour juga merancang menutup 17 cawangan di Malaysia yang juga dianggarkan bernilai AS$350 juta hingga AS$400 juta. Tesco, firma Hongkong Dairy Farm International Holdings Ltd, dan beberapa pasar raya Jepun seperti Aeon pula difahamkan berminat membeli rangkaian Carrefour di Malaysia. Tesco memang mempunyai cawangan di Malaysia, termasuk di Johor.

Carrefour juga mempunyai 30 cawangan di Thailand yang dianggarkan bernilai sekitar AS$500 juta hingga AS$600 juta. Firma rangkaian pasar raya Thailand, Big C Supercenter, dan Tesco dikatakan berminat membeli aset Carrefour di Thailand.

Laporan itu berkata lagi, peruncit yang berpangkalan di Perancis itu akan menimbangkan untuk menjual unit-unitnya secara berasingan kerana para pembeli berpotensi tidak mungkin berminat membuat tawaran bagi ketiga-tiga unit tersebut. Laporan Bloomberg itu juga berkata Carrefour merancang untuk mengekalkan unit-unitnya di China dan Indonesia. Ia juga merancang untuk menambah 13 cawangannya di Indonesia yang buat masa ini mempunyai 75 cawangan.

Operasi Carrefour di Indonesia kini diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Encik Shafie Shamsuddin, yang sebelum ini bertanggungjawab ke atas cawangan Carrefour di Malaysia dan Singapura. Encik Shafie gagal dihubungi Ekoniaga semalam. Difahamkan beliau berada di Perancis ketika ini.

Sejak beberapa tahun lalu, Carrefour telah mengundurkan diri daripada pasaran Jepun dan Korea untuk menumpukan perhatian terhadap pasaran lebih besar dan pesat berkembang seperti India.

Difahamkan Carrefour kini sedang bekerjasama dengan bank pelaburan Goldman Sachs dan UBS berkaitan penjualan itu yang dijangka menarik minat pembeli korporat dan syarikat ekuiti swasta.

Asia merupakan pasaran paling kecil untuk Carrefour dari segi penjualan pada tahun lalu - menyumbang sekitar 7.5 peratus daripada jumlah keseluruhan perniagaannya, menurut laman web syarikat itu.

Perancis merupakan pasaran terbesar dengan menjana penjualan 43 peratus disusuli Eropah sebanyak 36 peratus. Firma Perancis itu, seperti kebanyakkan peruncit lain di Eropah dan Amerika, dikatakan sedang bergelut ekoran keadaan ekonomi yang mencabar di rantau itu. Lantaran itu, menurut sumber-sumber terdekat, aset itu mungkin tampil menarik oleh peruncit global lain yang ingin melebarkan sayap ke Asia. -- Agensi