Selamat Datang ke ...

Selamat Datang ke ...

Khabar dari Situ Sana Sini

Wednesday, June 23, 2010

PKR tidak boleh menjadi sebuah parti yang berdasarkan kepada personaliti.


KUALA LUMPUR: Kenyataan terus terang Datuk Zaid Ibrahim mengenai kelemahan dalam kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipersetujui para pengamat politik di Malaysia, demikian lapor sebuah laman berita di sana, semalam.

Dalam satu wawancara dengan laman berita Free Malaysia Today (FMT), Datuk Zaid menekankan bahawa kekurangan pemimpin boleh dipercayai dalam PKR dan peranan bukan presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam parti itu merupakan halangan utama bagi peta laluan PKR pada masa depan.

Anggota majlis kepimpinan pusat PKR akur bahawa isu-isu tersebut bukan baru, tetapi ia perlu ditangani dengan segera dalam pemilihan parti itu Disember ini.

'(Pandangan) Zaid memang amat betul berhubung kepimpinan PKR yang amat lemah itu,' kata Profesor James Chin dari Universiti Monash di Kuala Lumpur kepada FMT.

'Kelemahan ini telah lama wujud tetapi hanya meletup selepas 2008 apabila beberapa 'tokoh berwatak aneh' yang telah dicalonkan memenangi (pilihan raya) dan mencetuskan ribut api yang besar dalam parti itu,' jelasnya.

'Masalah PKR tidak pernah berkaitan dengan sumber tetapi orang yang mengendalikannya. Anwar perlu memutuskan mengenai struktur kepimpinan dan pemimpin utamanya, dan kemudian memberikan kuasa kepada para pemimpin itu untuk memilih orang-orang mereka sendiri,' tegas beliau.

Sementara itu, Pengarah Pusat Inisiatif Dasar (CPI), Dr Lim Teck Ghee, dan pengamat bebas, Encik Khoo Kay Peng, akur dengan pengamatan Datuk Zaid itu bahawa masanya bertepatan bagi Datuk Seri Anwar memegang jawatan presiden PKR kerana beliau kini adalah ahli politik sepenuh masa.

Encik Khoo, bagaimanapun, memberi amaran kepada PKR terhadap pendekatannya yang terlalu bersandarkan kepada ketokohan Datuk Seri Anwar sehingga boleh menghadapi risiko kecairan dalam ideologi parti tersebut.

'PKR tidak boleh menjadi sebuah parti yang berdasarkan kepada personaliti,' tegasnya.

Orang ramai sudah mula meragui kesatuan dan keutuhan Pakatan Rakyat tanpa Anwar.

'Malah, PKR semakin mudah berpuas hati kerana Anwar dan tidak khuatir terhadap mewujudkan kepimpinan lapisan kedua,' kata beliau sambil menambah bahawa jika Datuk Seri Anwar tidak dapat menjadi perdana menteri seterusnya, 'siapa lagi yang boleh PKR atau Pakatan ketengahkan'.

Tuesday, June 15, 2010

Keganasan di Kyrgyzstan agenda Amerika dan Russia ?


KINI Asia Tengah diancam kebimbangan berikutan tindakan gerombolan kaum Kyrgyz membakar desa puak Uzbek dan membunuh penduduknya kelmarin.

Dalam pada itu, rusuhan kaum terus mencengkam kawasan-kawasan baru di selatan Kyrgyzstan.

Tampaknya pemerintah Kyrgyzstan agak lemah dalam menghadapi gejolak terbesar ini.

Sebelum ini, Russia dan China telah menzahirkan rasa bimbang mengenai perkembangan di republik termiskin (pendapatan setiap rakyat hanya AS$740 setahun) di Asia Tengah.

Seluas dua pertiga Malaysia dengan 5.6 juta penduduk, republik ini penting kerana menampung markas tentera Amerika Syarikat dan Russia.

Kini sebahagian besar Osh, bandar kedua terbesar di Kyrgyzstan, telah musnah. Para penjarah pula mengambil kesempatan mencuri - kebanyakannya makanan.

Gerombolan lelaki Kyrgyz menguasai sebahagian besar bandar Osh semalam, manakala beberapa anggota puak Uzbek yang masih berada di bandar yang mempunyai 250,000 penduduk itu berlindung di kawasan kejiranan masing-masing.

Turut menjadi serangan kaum ialah kota Jalal-Abad, di selatan Kyrgyzstan. Malah para perusuh merampas juga sebuah kereta kebal dan senjata-senjata automatik di sebuah unit tentera dan menyerang balai polis di sekitar kawasan itu, sambil cuba mendapatkan lebih banyak senjata.

Polis dan tentera serba salah menghadapi perusuh. Ini kerana terdapat dakwaan mereka bertindak selepas Presiden Kurmanbek Bakiyev digulingkan pada April lalu dan kini bersuaka di Belarus.

Encik Bakiyev mendakwa menjadi penghulu kaum majoriti Uzbek. Namun beliau gagal memerintah kerana masalah rasuah dan silap tadbir sejak 2005.

Kyrgyztan merupakan bekas republik yang merdeka selepas empayar komunis, Soviet Union, berkecai pada 1991. Majoriti penduduknya Muslim yang cuba kembali ke akar Islam. Akibatnya berlaku semacam pendakwahan semula yang melibatkan golongan radikal termasuk kumpulan Hizbut Tahrir, sebuah badan yang cuba membangun khilafah di negara majoriti Muslim.

Presiden sementara Kyrgyzstan yang dinilai sebagai seorang wanita waja, Cik Roza Otunbayeva, menyalahkan keluarga Encik Bakiyev kerana mencetuskan pergolakan di Osh. Menurutnya, gerakan perusuh cuba menghalang pungutan suara bagi meminda Perlembagaan pada 27 Jun ini dan pilihan raya baru yang dijadualkan pada Oktober.

Encik Bakiyev telah menafikan pelibatannya.

Cik Otunbayeva dipilih oleh pemerintah sementara yang dibentuk selepas Encik Bakiyev disingkirkan oleh pemberontakan rakyat pada April lalu.

Pada Mei, Cik Otunbayeva menjadi presiden eksekutif dengan mencantumkan kuasa presiden dan perdana menteri.

Pimpinan baru negara itu kebanyakan daripada pembangkang. Pihaknya berjanji akan menyemak perlembagaan agar lebih demokratik yang ditentukan rakyat. Pilihan raya pada Oktober ini bertujuan merubah haluan Kyrgyzstan.

Pemerintah sementara itu telah berikrar akan mengheret Encik Bakiyev ke pengadilan kerana mengarahkan penembakan ke atas penunjuk perasaan April lalu.

Cik Otunbayeva, 60 tahun, telah menyandang pelbagai jawatan dalam Parti Komunis Kyrgyzstan dalam zaman Soviet. Selepas watannya merdeka pada 1992, beliau menjadi menteri luar dan meletak jawatan pada 1997 selepas berselisih faham dengan presiden ketika itu, Encik Askar Akayev.

Beliau kemudian menjadi duta ke Britain sehingga Encik Akayev dijatuhkan pada 2005. Beliau menjadi menteri luar buat seketika ketika pemerintahan Presiden Bakiyev. Namun beliau kemudian menyertai pembangkang Parti Demokratik Sosial sejak 2007.

Kyrgyzstan ada minyak, gas dan perlombongan emas. Namun ia amat bergantung pada ihsan jiran-jirannya.

Kaum Kyrgyz membentuk 70 peratus penduduk dan selebihnya ialah kaum Uzbek (15 peratus) yang tertumpu di Lembah Ferghana di selatan. Bakinya pula kaum Russia (Kristian) yang tinggal di utara terutama ibu kota Bishkek.

Masalah berpuak-puak antara Kyrgyz dan Uzbek sering terjurus dalam soal berebut tanah dan perumahan. Puak Kyrgyz dihalau dari Uzbekitan ekoran rusuhan di kota Andijan pada 2005.

Keganasan dua puak ini berlaku di Osh pada 1990. Kini kota itu menjadi kubu penyokong Bakiyev.

Kyrgyzstan pula menjadi medan persaingan antara Amerika dan Russia untuk menguasai Asia Tengah yang kaya sumber tenaga.

Amerika telah membina pangkalan udaranya di Lapangan Terbang Antarabangsa Manas dekat kota Bishkek pada akhir 2001 untuk mendukung operasi tenteranya di Afghanistan. Presiden Bakiyev telah mengancam menutup pangkalan Amerika itu pada Oktober 2008 selepas bersetuju menerima pinjaman dana Russia. Namun beliau bertukar fikiran selepas Amerika menaikkan sewa pangkalan menjadi tiga kali lipat.

Namun Encik Bakiyev akhirnya membenarkan Russia membina pangkalan tentera yang kedua - kononnya untuk mengimbangi kehadiran tentera Amerika.

Apakah Kyrgyzstan menjadi catur kuasa besar atau kesilapan para pemimpinnya yang berebut kuasa? Atau kegelisahan ini hanya mengundang gerakan penjihad untuk berkembang?

Wednesday, June 2, 2010

Transkrip perbualan Ashwad & Zaiful (Astro AWANI)



Zaiful :Ini berita terbaru yang kami terima tentang Misi Bantuan ke Gaza di mana wartawan Astro Awani dan jurukamera Astro Awani, Ashwad Ismail dan Shamsul Kamal Abdul Latip telah pun dibebaskan oleh Israel hari ini dan kedua-duanya dan seratus lagi dihantar pulang ke sempadan Jordan menaiki 3 bas menerusi pintu sempadan Allenby yang bersempadanan dengan Jordan.

Dan di talian sekarang ini secara langsung dari Jordan, kita bersama dengan Ashwad Ismail, wartawan Astro Awani. Assalamualaikum Ashwad

Ashwad, satu perkembangan, satu berita yang amat menggembirakan bagi kami di Astro Awani dan saya pasti seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti siaran ini secara langsung. Pertama sekali bagaimana, apa yang Ashwad dapat kongsikan bersama kami di sini.

Ashwad : Apa yang saya dapat kongsikan bersama penonton, pertama sekali saya berterima kasih kepada kerajaan Malaysia, Duta Malaysia di Jordan dan seluruh masyarakat antarabangsa sebenarnya yang banyak berusaha untuk pembebasan ini. Dan apa yang dapat saya laporkan kesemua 12 krew ataupun kesemua 12 wakil Malaysia yang dalam misi bantuan ke Gaza ini semuanya selamat, semuanya agak keletihanan dan dehydrated. Dan pada masa sama, mesej yang sama juga seperti yang saya katakan iaitu berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya dikhabarkan, semuanya membuat doa selamat dan mejalankan solat hajat semata-mata bagi memastikan keselamatan kami terjamin.

Dan sedikit sebanyak, apa yang dapat saya kongsikan, mesej saya pendek saja iaitu dalam masa 24 hingga 28 jam ketika berada dalam tahanan Isreal. Apa yang saya dapat simpulkan, 28 jam itu saya boleh rasakan pengalaman konflik 6 dekad Israel-Palestin, kesengsaraan Palestin di bawah kekejaman rejim Zionist dalam masa 28 jam dan ternyata tidak dapat digalas dengan segala apa yang ada pada kita.

Dan ketika berlakunya rampasan kapal, mereka bertindak seakan berdepan dengan ketenteraan, padahal pada masa sama, kita hanyalah orang awam

Zaiful :Saya ingin tanyakan kali terakhir kita bersama ataupun kali terakhir Astro Awani dapat berhubung dengan Ashwad adalah ketika Ahad malam dan selepas itu, mungkin Ashwad dapat imbas kembali apa yang berlaku selepas itu

Ashwad :Ketika saya habis, saya berlintas langsung melalui siaran langsung untuk Awani 745, dan malam itu saya menghantar email kepada barisan editor kita di Astro Awani untuk bersiap sedia untuk Awani 745 keesokan harinya pada hari Isnin.

Tetapi pada jam 11 malam kami sudah bersiap sedia sepenuhnya di mana kami mendapat laporan tentera-tentera Israel dengan segala keperluan pertahanannya mengepung kami daripada sepatutnya 40 batu ke kawasan masuk ke kawasan perairan Israel tetapi mereka memperluaskan ke kawasan ketenteraan hingga 68 batu jadinya setibanya kami dalam kawasan perairan.

Israel mula mengepung 11 malam, 2 pagi Israel mula menghampiri dan 4.30 pagi mereka menyerang dari segenap pelosok , termasuk 14 bot kesemuanya 8 kapal tentera laut, 19 bot tentera navy dan juga komando, 3 helikopter Apache dan sebagainya turun dari dek atas dek tepi, kiri kanan di mana kawasan kita adalah kawasan NGO-NGO kita kawasan kerjasama NGO Malaysia dan Indonesia seramai 24 orang, 20 orang kesemuanya menjadi front liner dibahagikan tepi dek kapal dan mereka diserang bertubi-tubi dan alhamdulillah saya dan jurukamera Shamsul terselamat dari tembakan di mana peluru hidup digunakan.

Hanya di sebelah dua orang Turki di sebelah kiri dan kanan saya ditembak di bahagian tangan dan juga di bahagian bahu. Tapi saya sempat menyelamatkan diri dan merangkak turun dari dek kapal melarikan diri ke kawasan yang lebih selamat di dalamnya. Saya merangkak di kawasan yang berlumuran darah Zaiful dan ternyata pengalaman yang memeritkan untuk kita imbas kembali tetapi jika diperhatikan kami berjaya membuka mata dunia tentang apa yang berlaku dan saya tidak menjangkakan bahawasanya Israel boleh bertindak sedemikian kerana kami membawa orang awam di dalam kapal tetapi tindakan ketenteraan yang dilakukan. Ini satu isytihar perang atas kemanusiaan.

Zaiful : Ashwad, bagaimana dengan keadaan Shamsul?


Ashwad :Shamsul alhamdulillah dalam keadaaan sihat. Kami terpisah sebenarnya, saya dan Shamsul terpisah semenjak saya digari oleh fibre tight atau dalam bahasa Melayunya seakan-akan gari itu tapi diikat tangan kedua-dua belah tangan saya di mana Shamsul diarahkan duduk di tepi dan saya diarahkan turun ke bawah dan kami terpisah sejak itu dan kami dipenjarakan di Beersheba. Kami dibawa ke Ashdod. Dari Ashdod kami dibawa ke penjara di Beersheba dan dari itu kami tidak bertemu. Dan hari ini, kami masuk ke kawasan Jordan di sempadan Jordan Israel alhamdulillah di Jambatan Syem syem kami dipertemukan semula.

Zaiful :Baik pelbagai laporan dikeluarkan media antarabangsa dan juga kenyataan yang dikeluarkan Isreal sendiri, Israel mengatakan, menuduh terdapat senjata tajam dan sebagainya yang digunakan yang memaksa askar mereka untuk melepaskan tembakan dan sebagainya. Ashwad yang berada dalam kapal ketika itu, apa reaksi Ashwad pada kenyataan ini.

Ashwad :Bukan senjata tajam yang digunakan tetapi hanyalah air untuk mengelak mereka menyerang ke atas kapal. Meriam, bukan meriam air sebaliknya hanyalah pili bomba digunakan dari mengelak komando-komando mereka dari naik ke atas kapal melalui bot-bot kecil yang telah pun mengepung Mavi Marmara. Jadi saya tidak nampak apa senjata tajam yang digunakan. Melainkan mereka sudah mula melepaskan tembakan, itulah senjata yang terpaksa mereka gunakan iaitu besi-besi yang terdapat di atas kapal bukan senjata berbentuk pisau, parang, pedang samurai dan sebagainya tetapi menggunakan pisau sahaja.

Zaiful :Mungkin Ashwad boleh kongsikan selepas ini apa perancangan dari pihak kedutaan kita di Jordan apa penerbangan, jadual penerbangan pulang dan sebagainya.

Ashwad : Itu kami akan mengadakan satu mesyuarat dan Datuk Malek sendiri akan memberi maklumat dan kami baru saja bertemu dan sebarang maklumat kami akan hubungi Kuala Lumpur.

Zaiful : Mungkin soalan terakhir dari kami di sini, layanan yang diterima Ashwad di Jordan kini dan mungkin pada waktu ketika di Ashdod dan sebagainya.

Ashwad : Layanan yang diterima Zaiful oleh pihak Israel maksud Zaiful?
Seperti yang saya katakan tadi, mesej saya ringkas, saya merasakan konflik 6 dekad Palestin-Israel, bagaimana Palestin ditindas tetapi saya merasakan dalam tempoh 24 hingga 28 jam dan mesej itu saya harap para penonton semua termasuk Zaiful dan ibu bapa saya sudah mendapat mesej itu tak perlu saya huraikan jenis apa yang telah dilakukan ke atas saya

Zaiful : Terima kasih Ashwad, kami menanti kepulangan dan juga rakan-rakan yang lain. Sampaikan salam kami dan ucapan terima kasih dari kami di Astro Awani dan juga keluarga.

Ashwad : Zaiful, sampaikan juga salam kami, saya dan juga Shamsul Kamal pada ibu bapa kami. Cakap kami dalam keadaan sihat walfiat.

Zaiful :Ya, Insya Allah dan terima kasih pada kedutaan kita di sana kerana membantu rakan-rakan kita. Ashwad dan juga rakan-rakan kita NGO dan aktivis yang lain untuk dibawa pulang ke Malaysia secepat mungkin.

Tuesday, June 1, 2010

Rakyat Malaysia yang ditawan Israel dalam Misi Talian Hayat Untuk Gaza di kapal Mavi Marmara.

Berikut senarai nama nama-nama rakyat Malaysia yang menyertai Misi Talian Hayat Untuk Gaza yang berada di kapal Mavi Marmara yang diserang dan ditawan tentera rejim Israel awal pagi semalam.

Maklumat adalah berdasarkan laman web Lifekine4Gaza.

  1. Noorazman Mohd Samsuddin, HaluanPalestin
  2. Dr Mohd Arbai'e Syawal, Haluanalestin
  3. Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad, HaluanPalestin
  4. Al-Hami Husain Suhaimi, HaluanPalestin
  5. Mohd Nizam Mohd Awang, HaluanPalestin
  6. Hasanuddin Mohd Yunus, Aqsa Syarif
  7. Jamuliddin Elias, Yayasan Amal
  8. Dr Selamat Aliman, Jemaah Islah Malaysia (JIM)
  9. Abdul Halim Mohd Redzuan, Muslim Care
  10. Mustafa Mansur, Mapim
  11. Ashwad Ismail, wartawan Astro
  12. Shamsul Kamal Latif, jurukamera Astro

** Nasib mereka masih belum diketahui.


Ya Allah,
Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh2 kami
Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan2 mereka
Ya Allah,
Leburkanlah kumpulan2 mereka
Pecah belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka
Goncangkan pendirian mereka
Dan hantarkanlah anjing2 kamu kepada mereka
Wahai tuhan yang gagah perkasa Wahai tuhan yang penuh raksasa
Wahai tuhan yang bersifat murka
Ya allah Ya allah Ya allah Ya allah,
Wahai tuhan yang menurunkan kitab,
Wahai tuhan yang mengarakkan awan
Wahai tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab
Kalahkan mereka Kalahkan mereka
Kalahkan mereka Dan menangkan kami ke atas mereka.
Amin.

Dunia kutuk tindakan Israel ke atas konvoi bantuan ke Gaza.


BAITULMAQDIS: Komando tentera laut Israel menyerbu enam kapal yang membawa 700 aktivis pro-Palestin dalam satu misi bantuan ke Jaluran Gaza menjelang subuh semalam, menyebabkan 20 orang terkorban dan 50 lagi cedera, kebanyakan mangsa rakyat Turkey.

Tragedi berdarah itu menjerumuskan Israel ke kancah krisis diplomatik menjelang rundingan Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.

Tindakan Israel itu dikutuk masyarakat dunia, terutama oleh Turkey, Syria, Lebanon, Perancis, Pertubuhan Muktamar Islam (OIC) dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ban Ki-moon.

Greece pula menggantung latihan tentera dengan Israel dan membatalkan lawatan panglima tentera udara Israel ke negara itu.

Sekitar 10,000 rakyat Turkey semalam menunjuk perasaan di pusat bandar Istanbul sambil melaung slogan mengutuk Israel.

'Saya mengutuk keras tindakan tentera laut Israel menggunakan kekerasan ke atas konvoi bantuan pertubuhan bukan pemerintah dari 32 negara,' kata Presiden Turkey, Encik Abdullah Gul.

Turkey memanggil pulang dutanya dari Israel. Ekoran itu, Israel menasihati rakyatnya supaya jangan melawat Turkey.

Amerika Syarikat semalam menyatakan rasa kesal di atas korban jiwa akibat serangan itu.

'Amerika mengesali korban jiwa dan kecederaan para mangsa dan sedang berusaha memahami apa yang berlaku,' kata jurucakap Rumah Putih, Encik Bill Burto.

Para duta Israel ke Sweden, Sepanyol, Denmark, Greece dan Mesir dipanggil untuk mesyuarat, manakala Menteri Luar Perancis, Encik Bernard Kouchner, menggesa dijalankan siasatan.

Di Amman, ibu kota Jordan, 1,000 orang menunjuk perasaan membantah tindakan Israel dan menggesa kerajaan memutuskan hubungan dengan Israel.

Menteri Luar Indonesia, Encik Marty Natalegawa, mengutuk serangan Israel dan menggesa masyarakat dunia memastikan Israel memikul tanggungjawab.

Terdapat laporan bercanggah mengenai apa yang berlaku pagi semalam.

Seorang wartawan Al-Jazeera di atas salah sebuah kapal Turkey berkata komando Israel melepaskan tembakan sebelum mereka menaiki kapal.

'Dalam kegelapan malam, komando Israel meluncur turun daripada sebuah helikopter ke kapal penumpang Turkey, Mavi Marmara, dan mula melepaskan tembakan sebaik saja mendarat di dek kapal,' lapor lama web Gerakan Gaza Merdeka (FGM).

Komando Israel berkata mereka hanya melepaskan tembakan selepas diserang aktivis dengan kayu, pisau dan senjata api yang dirampas daripada komando Israel.

Sepuluh askar Israel cedera, dua parah, termasuk seorang yang terkena tembakan, kata tentera Israel. Dua aktivis ditembak mati selepas menembak askar Israel dengan pistol, kata mereka.

'Di atas kapal kami menjumpai senjata yang disiapkan untuk digunakan ke atas askar kami,' kata Timbalan Menteri Luar Israel, Encik Danny Ayalon.

'Israel mengesali korban jiwa dan telah cuba mengelak hal ini daripada berlaku,' kata beliau.

Pasukan keselamatan Israel diletak dalam keadaan berjaga-jaga di seluruh negara.

Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, mengutuk 'pembunuhan' oleh Israel dan mengisytihar perkabungan selama tiga hari di seluruh Tebing Barat.

Beliau menggesa Majlis Keselamatan PBB dan Liga Arab mengadakan sidang tergempar. -- Agensi.