Selamat Datang ke ...

Selamat Datang ke ...

Khabar dari Situ Sana Sini

Friday, February 26, 2010

Salam Maulidur Rasul 1431H


Pihak admin KarpetKuning mengucapkan Salam Maulidur Rasul buat semua pengunjung blog ini...

"Ya Rasulullah hadirmu dinanti...
pemergianmu ditangisi..."

Selawat ke atas Nabi S.A.W merupakan salah satu cara menunjukkan kita rindu dan mengingatinya...
Ya Rasulullah... kami memohon syafaat darimu...



Wednesday, February 24, 2010

Presiden PAS dakwa pelaksanaan hukuman sebat ke atas tiga wanita di Penjara Kajang tidak ikut syariah.


PETALING JAYA: Pakatan Rakyat (PR) menyifatkan pelaksanaan hukuman sebat terhadap tiga wanita Islam baru-baru ini sebagai tindakan yang memalukan umat Islam secara keseluruhannya.

Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mendakwa proses pelaksanaan hukuman itu tidak mengikut undang-undang syariah sebenar, demikian lapor laman berita mStar Online semalam.

'Apa yang berlaku memalukan umat Islam kerana proses perjalanannya tidak mengikut syariah Islam.

'Mahkamah Syariah masih lagi dibelenggu oleh peraturan yang tidak membebaskan mereka melaksanakan undang-undang syariah yang sebenar,' katanya pada sidang media selepas satu mesyuarat Majlis Pimpinan PR di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pendirian Pakatan Rakyat berhubung isu hukuman sebat ke atas tiga wanita di Penjara Kajang, Selangor, pada 9 Februari lalu.

Ketiga-tiga wanita berusia antara 18 tahun dengan 20-an tahun itu menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang Syariah dengan disaksikan 13 orang, termasuk Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), serta pegawai dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri, atas kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah.

Mengulas lanjut, Datuk Abdul Hadi berkata proses kehakiman perlu menjadi perkara asas dalam menentukan sesuatu hukuman.

'Apabila kita bincang mengenai hukuman sebat, yang penting ialah proses kehakiman, bagaimana pengakuan dibuat. Adakah ia dibuat dengan rela, bagaimana mereka melakukan kesalahan itu, adakah kerana kejahilannya... banyak aspek yang perlu diambil kira,' jelasnya dalam laporan mStar Online itu.

Selain itu, Datuk Abdul Hadi turut mendakwa Barisan Nasional (BN) sengaja menjadikan isu hukuman sebat Syariah berkenaan sebagai agenda 'politik murahan' untuk meraih sokongan pengundi masyarakat Islam.

Sementara itu, agensi berita The Associated Press (AP) semalam melaporkan bahawa Malaysia mungkin menganjurkan satu sidang antarabangsa mengenai isu hukuman sebat dan sama ada ia hukuman sesuai untuk wanita di bawah Syariah.

Ia memetik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dalam satu kenyataannya semalam sebagai berkata beliau akan cuba mendapatkan kelulusan kabinet bagi mengadakan sidang itu.

Datuk Seri Shahrizat berkata beliau merancang mengundang menteri dari negara-negara majoriti penduduk Islam, ahli-ahli akademik dan pakar-pakar agama untuk bertukar-tukar 'idea dan pengalaman berhubung dengan pelaksanaan undang-undang Syariah'. -- Agensi

Wednesday, February 17, 2010

Tiada perarakan sempena Maulidur Rasul di Kelantan.



KUALA LUMPUR: Kelantan tidak akan menganjurkan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini.

Ini meskipun beberapa pemimpin Umno dan pertubuhan bukan milik kerajaan (NGO) di Malaysia baru-baru ini mendakwa kerajaan Pulau Pinang pimpinan Pakatan Rakyat (PR) sebagai 'anti-Islam' kerana didakwa merancang membatalkan acara itu bulan ini, lapor laman berita The Malaysian Insider semalam.

'Kami tidak menganjurkan perarakan sebagaimana amalan sebelum ini.

'Tetapi sudah tentu perarakan diadakan di masjid-masjid di seluruh negeri, yang dianjurkan oleh orang ramai untuk melahirkan kecintaan mereka terhadap Nabi Muhammad,' kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob, daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS).

'Secara rasmi, tiada perarakan yang ditaja oleh kerajaan negeri. Sebaliknya, kami akan adakan syarahan agama di Stadium Sultan Muhammad IV pada 25 Februari ini dan disusuli sembahyang khas.'

Kebanyakan negara Islam menyambut Maulidur Rasul dengan perarakan selepas solat.

Bagaimanapun, Arab Saudi tidak mengadakan perarakan.

Minggu lalu, akhbar Utusan Malaysia melaporkan bahawa kerajaan Pulau Pinang merancang membatalkan perarakan tahun ini, sekali gus mengundang kritikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan juga bekas perdana menteri, Tun Abdullah Badawi, yang juga Ahli Parlimen (AP) Barisan Nasional (BN) di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Laporan dan krtikan itu dinafikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Encik Lim Guan Eng, sambil menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak pernah memutuskan membatalkan acara itu.

Beliau menyifatkan laporan Utusan Malaysia sebagai satu pembohongan.

Dalam kenyataannya, Datuk Ahmad menambah bahawa perarakan itu bukan satu kemestian.

'Umat Islam boleh memilih mengadakan atau tidak. Tetapi yang penting ialah mereka berpegang teguh kepada ajaran yang dibawa Nabi Muhammad,' kata beliau.

'Dan, ia juga tidak diamalkan ketika zaman Nabi.'

Kelmarin, ketika bercakap kepada The Malaysian Insider, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, mempersoalkan keikhlasan Umno, yang didakwa sengaja mempolitikkan isu kononnya Pulau Pinang membatalkan perarakan Maulidur Rasul sedangkan parti itu tidak pernah mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Kedah yang pernah terlepas beberapa kali melakukan demikian sebelum Mac 2008.

Justeru, Datuk Mahfuz berkata pihaknya menganggap serangan ke atas kerajaan negeri Pulau Pinang itu, khususnya terhadap Encik Lim, seolah-olah 'dijadikan modal politik murahan' untuk menjatuhkan PR.


'Kami tidak menganjurkan perarakan sebagaimana amalan sebelum ini. Tetapi sudah tentu perarakan diadakan di masjid-masjid di seluruh negeri, yang dianjurkan oleh orang ramai untuk melahirkan kecintaan mereka terhadap Nabi Muhammad. Secara rasmi, tiada perarakan yang ditaja oleh kerajaan negeri. Sebaliknya, kami akan adakan syarahan agama di Stadium Sultan Muhammad IV pada 25 Februari ini dan disusuli sembahyang khas.

- Datuk Ahmad Yaakob, Timbalan Menteri Besar Kelantan, daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Friday, February 12, 2010

Apakah tidak ada hari kasih sayang dalam Islam?


Oleh M. Zuhal A. Lathif

TREND menyambut Hari Valentine pada minggu kedua bulan Februari kian berlaku di seluruh dunia seperti pada Ahad ini.

Ia dikaitkan dengan detik menyatakan rasa kasih sayang, khasnya bagi yang sedang mabuk cinta.

Menurut Ensiklopedia Britannica, amalan ini berakar daripada kepercayaan Pagan (berhala) di Yunan.

Apakah tidak ada hari kasih sayang dalam Islam?

Ada iaitu setiap detik dan hari.

Setiap orang Islam disuruh membasahkan bibirnya dengan kalimat 'Basmallah' iaitu ungkapan yang menyatakan sifat Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada makhluk-Nya.

Kecuali surah Taubat, seluruh surah Al-Quran bermula dengan Basmallah sejak ibu kitab iaitu Surah Al-Fatihah.

Allah memaparkan ciri 'kasih dan sayang' ini bukan untuk-Nya tetapi agar diikuti oleh hamba-hamba-Nya.

Walaupun tanpa Basmallah, sifat pengasih dan penyayang juga adalah sifat Rasulullah yang menonjol dalam surah At-Taubah: 128:

'Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad saw), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang yang beriman.'

Perasaan kasih sayang tidak hanya perlu diberi dan diluahkan kepada pasangan kita, bahkan seluruh ciptaan Allah di semesta alam.

Islam mengajarkan kita agar tidak menyakiti tumbuh-tumbuhan atau binatang. Untuk menyembelih binatang, tajamkanlah pisau atau alat sembelihannya agar tidak menyeksanya atau menyakitkannya terlalu lama dan sebutlah nama Allah.

Islam menyuruh para ibu mengasihi bayinya, yang antaranya dengan menyusukannya selama dua tahun, sebagaimana ditegaskan dalam Surah Al-Baqarah: 233, yang ertinya:

'...dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu...'

Kajian saintifik menunjukkan bahawa susu ibu penjalin kasih sayang anak, selain amat berkhasiat.

Allah memerintahkan anak agar sentiasa hormat, taat serta sayang dan sentiasa mendoakan ibu bapanya yang masih hidup atau telah meninggal dunia:

'...dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kededuanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'Hah', dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

'Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kededuanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berdoa): 'Wahai Tuhanku! Cucurilah kasih sayang-Mu kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.' (Surah Al-Israa': 23-24)

Islam juga menekankan berkasih sayang sesama Muslim.

Daripada Abu Hamzah yang menceritakan Anas bin Malik, khadam Rasulullah yang menukil baginda: 'Tidak dikira sempurna iman seseorang antara kamu sehingga dia mencintai, menyayangi saudaranya (sesama Muslim) seperti dia mencintai, menyayangi dirinya sendiri.' (HR Bukhari dan Muslim).

Jadi, bermula dengan sebutan di bibir dan hati dengan 'Basmallah' sehinggalah menyantuni masyarakat, setiap detik seorang Muslim penuh dengan kasih sayang tidak kira bangsa dan agama.

Wednesday, February 10, 2010

KEMELUT politik di Perak dijangka berterusan kecuali satu pilihan raya baru dijalankan.


Oleh Suhana A.samat

Ini kerana walaupun Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir telah diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah dari segi undang-undang, beliau masih dilihat sebagai belum mendapat mandat politik rakyat setempat.

Diminta memberi pandangannya, Zamil Pelawat Kanan Institut Pengajian Asia Tenggara (Iseas) di Singapura, Dr Johan Savaranamuthu, yang dihubungi, berkata jika Dr Zambry ingin melenyapkan persepsi bahawa beliau bukan pilihan rakyat Perak, langkah seterusnya yang perlu diambil ialah untuk mengadakan pilihan raya peringkat negeri.

'Jika Barisan Nasional (BN) rasa pengaruh politik mereka kini sedang meningkat dan ingin memanfaatkan sokongan penduduk setempat, mereka masih boleh mengumumkan satu pilihan raya kilat,' kata Dr Johan.

Beliau meramalkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin juga tidak akan berdiam diri dan akan terus mendesak kerajaan BN di Perak agar mengadakan pilihan raya tersebut.

Ini kerana Datuk Seri Mohammad Nizar sendiri telah berjanji akan mengadakan pilihan raya itu jika beliau yang sebaliknya diisytiharkan oleh Mahkamah Persekutuan sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Beberapa pengamat politik yang ditukil oleh agensi berita Bernama turut berkongsi pendapat dengan Dr Johan bahawa isu perebutan kuasa di Perak belum berakhir.

Penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian, ditukil sebagai berkata Pakatan Rakyat tentunya akan mempersoal kebebasan badan kehakiman manakala pada waktu yang sama menguar-uarkan BN sebagai kerajaan sementara.

'Jika Zambry menang, beliau mempunyai kira-kira dua tahun untuk membuktikan bahawa kerajaannya adalah kerajaan sah. Apakah pembangkang akan menerima hal itu pada sidang dewan akan datang atau akan terus mencetuskan kacau bilau?

'Perak akan terus berada dalam situasi tidak menentu kecuali kedua-dua pihak bertolak ansur selepas keputusan mahkamah,' kata Dr Sivamurugan.

Pakar strategi Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Encik Liew Chin Tong, pula ditukil sebagai berkata:

'Tidak ada apa yang akan berubah kecuali diadakan pilihan raya baru. Saya tidak nampak mana-mana jalan lain. Apa juga keputusan mahkamah, ia tidak akan mengubah sentimen rakyat.'

Menurut hasil tinjauan yang disiarkan oleh Merdeka Centre, pada Jumaat lalu sempena ulang tahun pertama BN memerintah Perak selepas pilihan raya umum 2008, 46 peratus daripada mereka yang ditinjau menyokong Datuk Seri Mohammad Nizar sementara Dr Zambry berada di belakang dengan 44 peratus.

Datuk Seri Mohammad Nizar mempunyai kelebihan besar jika ia melibatkan masyarakat Cina dengan 59 peratus penduduk itu menyokongnya berbanding 16 peratus yang menyokong Dr Zambry.

Namun, Dr Zambry mendahului apabila melibatkan sokongan Melayu.

Beliau mendapat 67 peratus sokongan masyarakat Melayu berbanding Datuk Seri Mohammad Nizar yang mendapat 35 peratus.

Friday, February 5, 2010

Kelemahan Orang Melayu?


Oleh Maarof Salleh

GOLONGAN miskin, atau bawahan, nampaknya lebih banyak menjadi sasaran selaran apabila berlaku perbincangan mengenai usaha meningkatkan kemajuan masyarakat Melayu di sini.

Berikut adalah beberapa kelemahan yang sering mendapat pendedahan yang dimaksudkan:

Orang Melayu malas atau kurang bersungguh-sungguh dalam pekerjaan. Ini dibuktikan berdasarkan jumlah kecil pekerja Melayu di sektor yang berkemahiran tinggi, perlu masa bekerja yang panjang, dan harus menunjukkan banyak tumpuan dan kejituan. Mereka juga dikatakan terlalu memilih-milih pekerjaan, memilih kerja yang tidak jauh dari tempat tinggal dan menjadikan kemudahan bersolat satu pertimbangan utama menerima atau menolak pekerjaan.

Akibat kelemahan ini, tidak ramai yang dapat bekerja di sektor yang menawarkan gaji yang tinggi. Ini menjadi antara punca pendapatan purata keluarga Melayu yang rendah. Dengan kedudukan kewangan yang rendah, banyak keperluan kehidupan yang lain sukar dipenuhi, terutamanya biaya persekolahan anak-anak. Pusingan ini akan memburukkan keadaan.

Selain itu, keluarga Melayu juga tidak bijak mengurus kewangan. Bentuk perbelanjaan mereka menampakkan mereka kurang prihatin dengan keutamaan perbelanjaan. Mereka lebih bersedia berbelanja besar bagi barangan pengguna seperti sistem pandang dengar canggih daripada berbelanja bagi pelaburan seperti pendidikan anak-anak. Akibatnya, mereka terperangkap dengan kebiasaan berbelanja melebihi pendapatan yang kerap membawa kepada berhutang.

Orang Melayu berminat besar pada bidang hiburan dan berbakat dalam sukan, tetapi bukan dalam jenis sukan yang perlukan penguasaan kemahiran tinggi dan mendalam, masa latihan yang panjang dan konsisten, serta disiplin tinggi untuk menghasilkan prestasi yang menyerlah.

Contohnya, mereka kurang terwakil dalam sukan seperti golf atau tenis yang menawarkan ganjaran kewangan lumayan kepada pemain profesional. Walaupun terdapat trend kian ramai golongan menengah Melayu bermain golf, tujuannya lebih bersifat sosial atau amal. Demikian juga di bidang pendidikan, masih terdapat pilihan yang lebih besar kepada kursus 'mudah' berbanding kursus 'susah'.

Akibatnya, orang Melayu tidak dipandang sebagai golongan yang serius berusaha mencapai kejayaan dalam bidang yang memerlukan kesungguhan untuk berjaya.

Pasangan Melayu cenderung bernikah pada usia muda. Pada usia muda, mereka dikatakan tidak benar-benar bersedia menjalani kehidupan berkeluarga, baik dari segi kemantapan kewangan, kematangan jiwa mahupun keupayaan berkomunikasi secara berkesan dalam memainkan peranan masing-masing sebagai suami isteri dan kemudiannya sebagai ibu bapa.

Akibat kelemahan ini, berlaku kadar perceraian yang tinggi. Jika tidak ditangani dengan baik, masalah ini dapat mengancam institusi kekeluargaan dalam masyarakat. Bagi perceraian di kalangan pasangan yang mempunyai anak-anak yang masih kecil, akan timbul pula masalah penjagaan dan pengasuhan anak.

Kadar perceraian tinggi dilihat menjadi antara punca anak-anak di sekolah kurang mendapat sokongan ibu bapa di rumah yang seterusnya menjejas prestasi persekolahan mereka. Pasangan Melayu biasanya mempunyai ramai anak atau berkeluarga besar. Ada yang sengaja tidak merancang, ada pula yang menyerahkannya kepada takdir.

Mempunyai ramai anak bukanlah semestinya satu kelemahan. Bagaimanapun, ramai anak boleh menjadi masalah jika persediaan sumber yang cukup tidak dapat disediakan. Apabila potensi setiap anak tidak dapat dibangunkan sepenuhnya, masing-masing akan mewarisi kekurangan apabila membesar termasuk pembangunan dari segi emosi, sosial, kognitif dan sebagainya. Inilah antara permulaan tumbuhnya bibit-bibit keluarga pincang.

Mungkin ada banyak lagi kelemahan yang pernah diketengahkan.

Anehnya, selaran demikian turut datang daripada mereka yang telah mengambil tanggungjawab memimpin dan mengusahakan langkah memajukan masyarakat, terutama dalam meningkatkan taraf kesejahteraan golongan itu.

Aneh kerana golongan yang perlu dibantu itulah yang sering diselar kerana ciri-ciri kelemahan yang mereka punyai. Selaran itu datang pula daripada golongan yang bermaksud membantu mereka keluar daripada kedudukan buruk sekarang. Begitupun, pendedahan itu tidak semestinya bermaksud jahat atau menghina.

Sebaliknya, ia lebih bermaksud menunjukkan dengan jelas ciri-ciri kelemahan golongan itu yang dirumuskan sebagai sebab-sebab mereka terus berada dalam kedudukan yang daif itu.

Kedudukan daif golongan ini pula begitu menonjol dalam menyumbang kepada wujudnya kadar masalah sosial yang kritikal dalam masyarakat Melayu. Kesan keseluruhannya, masalah ini telah menurunkan graf pencapaian keseluruhan masyarakat menerusi kemajuan dalam beberapa aspek kehidupan yang lain.

Misalnya, meskipun terdapat kemajuan memberangsangkan di kalangan beberapa individu dalam bidang pendidikan tinggi dan profesional, seperti kenaikan pangkat dalam sektor kepimpinan tentera, kesan pencapaian itu tenggelam dek besarnya masalah-masalah sosial yang lain seperti kadar perceraian yang tinggi, gejala keluarga pincang, beban hutang sehingga hilang rumah untuk menjadi tempat berteduh dan sebagainya.

Dari satu sudut, pendedahan kelemahan itu mungkin dianggap satu strategi baik bagi menimbulkan keinsafan dalam diri masyarakat itu supaya mengelakkan diri daripada terus terjebak dalam kelemahan yang sama, ataupun dalam usaha membaikpulih kelemahan yang ada itu.

Setelah mengetahui sebab-sebab kelemahan, langkah mengatasinya diandaikan lebih mudah diambil. Inilah suara-suara yang kedengaran dalam gerakan memajukan masyarakat Melayu, baik yang diluahkan secara langsung mahupun yang berupa himbauan.

Itulah sebabnya kedengaran seruan agar masyarakat Melayu menjadi lebih rajin dalam apa pun lapangan pekerjaan yang mereka ceburi. Orang Melayu juga diseru supaya bercermat dan bijak berbelanja agar terhindar daripada beban hutang. Untuk mengurangkan kadar perceraian, langkah diambil bagi menaikkan umur minimum bagi pasangan yang hendak bernikah. Pendidikan umum dilancarkan bagi menyedarkan masyarakat tentang gejala keluarga pincang dan bahaya yang dibawa kepada masyarakat dan negara.

Soalnya: Apakah andaian demikian tepat?

Apakah kelemahan yang didedahkan itu dapat diterima sebagai faktor mutlak yang menghasilkan situasi daif yang merundung nasib golongan miskin? Atau, tidak mungkinkah ada punca lain kelemahan itu yang belum lagi atau kurang diteliti? Jika ini tidak dapat dipastikan, bagaimana kita boleh yakin bahawa ramuan pengubatan atau penghuraian yang hendak dipakai tepat dan berkesan?


Misalnya, masalah 'malas' orang Melayu telah diteliti oleh Profesor Syed Hussein Alatas dalam bukunya Mitos Pribumi Malas. Kekata 'Melayu (atau peribumi) malas' itu rupa-rupanya dicipta pemerintah penjajah kerana menyamakan keengganan peribumi bekerja di sektor perladangan komersial yang dimiliki penjajah dengan kemalasan. Padahal itu satu pilihan biasa kerana peribumi lebih suka bekerja secara bebas di ladang-ladang sendiri. Dan di sana pun mereka bekerja dengan rajin dan penuh kesungguhan.


Adakah sikap memilih-milih pekerjaan juga tanda pekerja Melayu malas?

Tidak semestinya. Mungkin sikap itu timbul lantaran pilihan mereka terbatas akibat kurangnya pelajaran dan pendedahan kepada kepelbagaian kemahiran untuk mudah masuk ke pelbagai alam pekerjaan. Mungkin juga kerana wujudnya unsur diskriminasi dan prejudis dalam pekerjaan. Jadi, aspek ini harus menjadi fokus penghuraian, bukan dengan melemparkan tuduhan malas.

Juga, bolehkah sikap memilih pekerjaan di tempat yang dekat dengan rumah serta mudah mengerjakan solat tanda pekerja Melayu malas? Mungkin bukan, sebaliknya ini lebih berupa kesalahan memahami tanggungjawab sosial (keperluan dekat dengan keluarga dan jiran-jiran) dan tanggungjawab agama (mengerjakan solat) sesetengah pekerja Melayu.

Jika tafsiran ini betul, masalahnya bukan kelemahan akibat malas, tetapi lebih disebabkan kesalahan memahami dan menghayati nilai. Mungkin kesalahan itu harus dipikul bersama oleh golongan elit atau pemimpin masyarakat, termasuk guru-guru agama yang tidak peka mengisi keperluan membaiki kelemahan yang sebenarnya itu.

Demikianlah seterusnya dengan beberapa kelemahan lain yang didedahkan. Setiap kelemahan itu tidak berlaku seadanya tetapi ada punca lain. Misalnya, perceraian di kalangan pasangan baru bernikah tidak semestinya kerana mereka berusia muda, tetapi lebih disebabkan mereka tidak cukup persediaan. Jadi, mengukuhkan persediaan ini lebih merupakan langkah yang strategik, bukan menghadkan umur minimum pernikahan.

Fakta juga menunjukkan adanya keluarga bahagia yang mempunyai ramai anak dan bukan daripada golongan kaya-raya. Sebaliknya masalah keluarga pincang turut terjadi di kalangan golongan lebih berada yang tidak mempunyai ramai anak. Sudah tentu ada jawapan lebih munasabah kepada situasi ini daripada sekadar merumuskannya sebagai satu kelemahan berpunca daripada keluarga yang mempunyai ramai anak.

Pendedahan kelemahan golongan miskin, atau bawahan, sahaja tidak banyak membantu usaha menghuraikan persoalan yang ada. Sebaliknya, perlu ada pembedahan yang teliti ke atas setiap aspek kelemahan yang didedahkan itu untuk memastikan kemungkinan adanya punca lain mengapa kelemahan itu berlaku.

Berdasarkan pembedahan ilmiah Profesor Alatas, masyarakat menyedari bahawa gambaran pribumi atau 'Melayu malas' hanyalah momokan penjajah marah kerana peribumi hanya mahu bekerja di ladang sendiri dan enggan bekerja di ladang-ladang komersial milik kuasa penjajah. Hasilnya, masyarakat tidak akan terus terbawa-bawa dengan tambah mengukuhkan prejudis yang ada - melemparkan selaran malas kepada diri sendiri.

Hasil pembedahan seperti inilah yang akan lebih membantu dalam usaha memajukan masyarakat seterusnya.

Thursday, February 4, 2010

Malaysia akan maju melalui inovasi.


Oleh MOHD FAIZAL AZIZ


KITA telah memasuki tahun baru 2010 selepas 2009 melabuhkan tirai. Kedatangan tahun baru kebiasaannya memberi semangat dan azam baru kepada manusia untuk berubah dan melakukan anjakan dalam kehidupan.


Selain itu, ada yang berpendapat bahawa diri mereka sendiri perlu melakukan inovasi dalam segenap aspek kehidupan untuk mencapai cita-cita yang diimipikan. Istilah inovasi berkait rapat dengan perkataan seperti ciptaan, kreativiti dan imaginasi.


Inovasi bermaksud sesuatu yang baru diperkenalkan atau dimulakan. Dengan kata lain ia bermaksud menghasilkan sesuatu ciptaan yang berbeza daripada kebiasaan dengan idea baru yang mencorakkan perubahan.


Di zaman ini inovasi menentukan siapa yang berjaya atau pun tidak. Produk dan barangan yang inovatif yang terhasil dari proses inovasi akan mendahului yang lain. Kelebihan sesuatu produk yang inovatif boleh mengubah sesebuah industri. Idea yang kadang kala kecil dan dipandang ringan namun setelah melalui inovasi yang betul menjadikkannya hebat dan berkesan.


Hari ini inovasi bukan sahaja menjadi kunci dan rahsia kejayaan bagi sesebuah syarikat, malah ia juga berperanan melonjakkan negara-negara yang dahulunya kecil dan mundur menjadi negara maju.


Lihat sahaja negara-negara seperti Singapura, Finland, Denmark dan Ireland yang suatu masa dahulu merupakan negara-negara kecil namun meningkat maju dengan mendadak dan menduduki carta negara maju dengan keupayaan inovasi dan pembaharuan yang dilakukan oleh mereka.


Bagi negara membangun, cabaran utama untuk kekal bersaing menjadi negara maju ialah melalui inovasi. Ia perlu dipastikan supaya berada ditahap yang terbaik. Falsafah inovasi bagi sesebuah negara membangun perlu menjadi tulang belakang yang dapat mengubah sistem pentadbiran, hala tuju sains dan teknologi serta keupayaan saintis dan penyelidik di dalam negara tersebut.


Malaysia juga tidak terkecuali. Dunia pada masa akan datang amat bergantung kepada keupayaan untuk melakukan inovasi dalam setiap aspek bagi mengekalkannya di tahap terbaik. Kita telah memasuki tahun baru 2010. Sepuluh tahun yang lalu, Internet baru sahaja mula berkembang di Malaysia.


Pada waktu itu, masih belum ramai individu yang memiliki talian Internet melainkan di pejabat-pejabat kerajaan atau sektor industri. Teknologi Internet merupakan satu contoh inovasi yang mengubah dunia pada hari ini.


Internet boleh dianggap sebagai sungai besar yang mengalirkan sebarang ilmu dan maklumat berguna atau pun sekadar sampah sarap di dalamnya.


Sebelum teknologi Internet dapat dinikmati oleh seluruh penduduk di dunia, ia merupakan teknologi yang digunakan oleh pihak ketenteraan Amerika sekitar tahun 1940-an sewaktu Perang Dunia Kedua untuk menghubungkan jaringan sistem pertahanan mereka.


Selepas perkembangan pesat Internet bermula lewat tahun 1990-an, banyak produk-produk berasaskan web dimajukan dan dijadikan alat untuk menghubungkan masyarakat di seluruh dunia.


Bayangkan dunia pada hari ini tanpa kemudahan Internet seperti 15 tahun yang lampau, tentunya kehidupan sangat berbeza dengan apa yang kita alami kini. Internet memenuhi segala-galanya dalam dunia moden hari ini yang merangkumi aspek penyebaran maklumat, kemudahan emel, hiburan, tayangan video, audio dan perniagaan.


Lihat sahaja bagaimana enjin carian Internet terkenal Google mendominasi dunia. Google yang mula menemui pengguna pada tahun 1998 memperkenalkan kaedah pencarian maklumat di Internet dengan cara yang begitu unik melalui inovasi dan kreativiti dua anak muda dari Stanford University, California Amerika Syarikat (AS) iaitu Sergei Brin dan Larry Pages.


Kedua-dua mereka ini menjadi jutawan ketika usia belum mencapai 30 tahun. Sehingga kini, Google terus berkembang pesat dan terus melakukan inovasi dengan memperkenalkan produk-produk terbaru mereka.


Majalah Forbes melaporkan bahawa Google merupakan sebuah syarikat teknologi berasaskan Internet yang paling pesat berkembang dan paling berpengalaman dalam sejarah dunia. Ketika diwawancara dalam sebuah program temu bual Internet, pemilik Google, Sergei Brin dan Larry Pages menyatakan bahawa mereka tidak mencipta sesuatu yang baru, tetapi melakukan inovasi terhadap produk yang sedia ada. Sebelum kemunculan Google, enjin carian Internet yang paling terkenal ialah Yahoo!, Excite dan Altavista.


Selain Google, pengguna Internet terus dihidangkan dengan aplikasi laman interaksi sosial yang begitu fenomena pada hari ini iaitu Facebook. Ia dicipta oleh seorang remaja iaitu Mark Zuckerberg ketika masih bergelar penuntut di University Harvard.


Bermula pada tahun ia dilancarkan iaitu pada tahun 2004 sehingga kini, ia mencatatkan bilangan pengguna aktif yang berjumlah 350 juta orang. Zuckerberg kini menjadi jutawan muda hasil daripada pelancaran laman Facebook tersebut.


Ketika ditanya tentang idea ciptaaannya, beliau menegaskan bahawa ia terhasil daripada keinginan untuk melakukan inovasi terhadap laman-laman web Internet sosial yang sedia ada seperti Friendster, Orkut, MySpace dan sebagainya.


Salah satu lokasi yang paling terkenal dan subur melahirkan syarikat-syarikat gergasi dunia yang kreatif dan inovatif dalam bidang teknologi, komunikasi dan teknologi maklumat ialah Silicon Valley di California.


Di sanalah tempat berkembangnya syarikat gergasi dunia seperti Oracle, Sun Microsystem, Intel, AMD, Yahoo!, Cisco, Apple, eBay, YouTube,, Twitter, Google, Facebook dan sebagainya.


Kejayaan Silicon Valley yang muncul sejak lebih 50 tahun yang lampau menjadi contoh dan teladan kepada negara-negara lain yang ingin membangunkan ekonomi mereka berasaskan inovasi dan kreativiti.


Google dan Facebook adalah antara dua contoh di antara puluhan produk-produk yang tercipta hasil dari kreativiti dan inovasi di dalam dunia Internet. Dalam bidang-bidang lain seperti sistem pengangkutan, perniagaan, penyelidikan dan penyampaian maklumat manusia terus melakukan inovasi bagi memperbaiki kualiti dan produk yang sedia ada..


Malaysia berada di landasan yang tepat apabila mengisytiharkan 2010 sebagai Tahun Inovasi Negara. Jelas bahawa masa hadapan negara terletak kepada sejauh mana budaya inovasi diamalkan dalam setiap aspek kehidupan daripada pentadbiran negara sehinggalah kepada pengurusan diri.


Fakta-fakta ringkas


  1. Inovasi bermaksud menghasilkan sesuatu ciptaan yang berbeza daripada kebiasaan dengan idea baru yang mencorakkan perubahan.
  2. Apple Inc. merupakan sebuah syarikat pengeluar komputer dan gajet elektronik yang banyak melakukan inovasi terhadap produk mereka.
  3. Syarikat pengeluar perabot dan peralatan rumah terkenal IKEA merupakan sebuah syarikat yang kreatif melakukan inovasi.
  4. Silicon Valley yang terletak di California merupakan sebuah kawasan yang paling terkenal dengan syarikat-syarikat gergasi di dunia yang banyak melakukan inovasi untuk produk mereka seperti Intel, Google, Yahoo!, Facebook,YouTube, eBay dan Twitter.
  5. Istilah silikon merujuk kepada kawasan di mana banyak pereka cipta dan pengeluar cip silikon yang kemudian membentuk jaringan perniagaan berteknologi tinggi.
  6. ARPANET yang pada mulanya digunakan dalam sistem pertahanan ketenteraan di Amerika dalam Perang Dunia ke-2 telah melahirkan INTERNET pada hari ini setelah inovasi dilakukan ke atas sistem rangkaian tersebut selama lebih 30 tahun.
  7. Google merupakan laman web yang paling ramai dikunjungi oleh pengguna Internet di abad ini.
  8. Pengguna aktif Facebook sehingga Disember 2009 direkodkan berjumlah 350 juta orang dan dijangka akan terus meningkat dengan mendadak di masa akan datang.


Penulis ialah Pegawai Sains di Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), Universiti Kebangsaan Malaysia.