
TIADA siapa yang mahu berada di 'kerusi panas' Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau telah diberi tanggungjawab sukar untuk memimpin satu panel disiplin Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang ditugaskan menyiasat beberapa dakwaan yang dilemparkan terhadap PAS Selangor.
Namun, apa yang timbul selepas satu mesyuarat khas PAS Rabu lalu bukan setakat menentukan sama ada PAS Selangor telah bertindak dengan cara yang bercanggah dengan prinsip dan perlembagaan parti.
Ia lebih menjuruskan ke arah hala tuju sebenar parti Islam itu, sedang pakatan pembangkang Malaysia bergerak lebih hampir kepada menginstitusikan Pakatan Rakyat (PR) sebagai satu parti politik alternatif kepada Barisan Nasional (BN) secara rasmi.
Malah, ada sesetengah penganalisis politik berpendapat kemelut dalam PAS, jika tidak dapat diselesaikan dengan betul, boleh menghalang matlamat PR untuk mentadbir kerajaan pusat Malaysia dan negeri-negeri yang dikuasainya, termasuk Selangor.
Mengapa agaknya?
KEPUTUSAN MESYUARAT KHAS PAS
Jawatankuasa pusat PAS lewat malam Rabu lalu sebulat suara memutuskan tidak akan mengadakan muktamar khas atau Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) seperti yang diminta Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, baru-baru ini dan sebaliknya menukar cadangan itu kepada mengadakan satu seminar politik pada 7 November ini.
Seminar politik itu bertujuan membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan usaha memperkasakan PAS, demikian menurut Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Mesyuarat selama empat jam pada Rabu lalu yang berakhir pada 1 pagi itu juga memutuskan agar jawatankuasa disiplin PAS menyiasat pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadap PAS Selangor.
Ia memberi gambaran bahawa satu tindakan disiplin mungkin dikenakan ke atas ketua PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.
PAS mengadakan mesyuarat tersebut atas gesaan Datuk Nik Abduk Aziz, yang mahu parti Islam itu membincangkan isu 'beberapa kerat pemimpin bermasalah', yang menurut beliau masih lagi berminat mahu mewujudkan 'kerajaan perpaduan' dengan Umno.
Para pemimpin yang dimaksudkan oleh Mursyidul Am PAS itu ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali; Timbalan Presiden PAS, Encik Nasharuddin Mat Isa; dan Dr Hassan sendiri.
Ketiga-tiga pemimpin itu didakwa menyokong idea dan usaha mengadakan pakatan dengan Umno bagi mewujudkan kerajaan perpaduan di Malaysia - satu cadangan yang pernah ditimbulkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi tahun lalu.
Gesaan Datuk Nik Abdul Aziz, atau lebih mesra dipanggil 'Tok Guru' oleh penyokongnya, untuk mengadakan mesyuarat khas itu tercetus selepas beliau membaca komentar Dr Abdul Aziz Bari, seorang profesor undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengenai peranan Pakatan Rakyat (PR) dalam akhbar Sinar Harian keluaran 19 Oktober lalu.
Dalam analisisnya, Dr Abdul Aziz turut menegur sikap sesetengah pemimpin PAS, yang dilihatnya boleh menghalang usaha jangka panjang PR.
Keputusan mesyuarat Rabu lalu kelihatan memuaskan hati sesetengah pemimpin PAS, khususnya mereka yang berpendirian lebih sederhana atau prokaryawan, dan menyokong pelibatan PAS dalam PR.
Datuk Nik Abdul Aziz sendiri sempat mengukirkan senyuman semasa beliau bergambar bersama Datuk Seri Abdul Hadi.
Ahli Parlimen (AP) PAS bagi Shah Alam, Selangor, Encik Khalid Abdul Samad, semasa dihubungi akhbar ini kelmarin, kelihatan berpuas hati dengan keputusan mesyuarat itu sambil menyifatkan gesaan Tok Guru sebagai satu 'langkah yang amat baik'.
'Saya gembira ini telah dilakukan. Ia akan membantu menentukan arah yang betul bagi PAS,' ujar beliau.
'Dalam mengarahkan panel disiplin untuk menyiasat PAS Selangor, ia akan menunjukkan bahawa PAS Selangor menyumbang kepada masalah itu. Kami menjangkakan satu tindakan disiplin dijalankan selepas siasatan itu,' katanya lagi.
Encik Khalid memang tidak berkongsi pendirian dengan Dr Hasan Ali. Beliau pernah mengusulkan agar ketua PAS Selangor itu mengundurkan dirinya daripada PAS.
Dalam hal ini, sekurang-kurangnya, PAS berjaya membahaskan isu beberapa pemimpinnya yang 'bermasalah'.
Malah, sumber-sumber yang hadir dalam mesyuarat itu memberitahu akhbar Berita Harian bahawa hampir tiga suku ahli yang hadir mahu Dr Hasan digugurkan.
Encik Khalid pula menyifatkan keputusan PAS mengadakan seminar politiknya sebagai satu langkah wajar dan mencerminkan kesudian kepimpinannya mendengar pandangan 'orang luar'.
PAS dijangka mengundang Dr Abdul Aziz untuk memberikan pandangannya dalam seminar itu.
Namun, sesetengah penganalisis politik berkata mengatasi isu disiplin itu tidak bermakna PAS akan dapat berganding dengan 'lebih selesa' bersama dua rakannya yang lain dalam PR - Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
ISU JANGKA PANJANG
'Saya fikir semua masalah dalam PAS mengingatkan kita bahawa sebanyak mana pun berlakunya perubahan pada sikap kepimpinannya, hakikatnya, pendirian pada peringkat akar umbi parti itu masih belum banyak berubah,' kata Zamil Institut Pengajian Asia Tenggara Singapura (Iseas), Dr Ooi Kee Beng.
Menurutnya, adanya golongan 'proulama' dan 'prokaryawan' dalam PAS menyebabkan berlakunya 'perpecahan artificial', yang disebabkan atas dasar perbezaan ideologi dan bukannya perbezaan peribadi.
'Ia lebih sukar diatasi,' ujar beliau, sambil menambah bahawa tidak seperti DAP dan PKR, PAS harus menjalani perubahan untuk kekal selesa dalam PR.
'Saya fikir, dalam jangka panjang, jika anda mahu memimpin, anda harus mengambil pendirian yang sederhana. Begitu juga jika PAS mahu memimpin, mereka harus mengambil pendirian sederhana,' jelasnya.
Ini bermakna langkah yang diambil PAS menyusuli mesyuarat khasnya Rabu lalu harus dapat menjangkau keperluan jangka panjangnya dalam satu pakatan pembangkang yang bakal diinstitusikan secara rasmi melalui konvensyen sulung PR pada Disember ini.
Mahu tidak mahu, PAS harus sedar bahawa kehadirannya dalam PR memerlukan keserasian dengan komponen lain dalam pakatan pembangkang itu.
Kegagalan dalam usaha parti Islam itu mahu membaiki kedudukannya - dengan adanya masalah yang menyentuh isu perkauman atau keagamaan - akan melemahkan kedudukan pakatan pembangkang itu, dan, malah, mungkin menggugat kewibawaan parti itu sendiri di kalangan masyarakat bukan Melayu di Malaysia.
PAS pernah menunjukkan minatnya untuk membuka cabang bukan Islam dalam parti itu - diharapkan ia bukan setakat satu retorik.
Ini kerana sebarang tindakan PAS yang ditanggap berbau perkauman oleh masyarakat bukan Melayu, akan melemahkan kedudukannya sebagai parti bagi semua kaum.
'Bagi pengundi Melayu pula, perbezaan antara PAS dengan Umno sedikit sekali. Pagar yang menghalangi kesetiaan mereka daripada melompat dari satu parti ke parti lain tidaklah begitu tinggi,' ujar Dr Ooi.
PAS harus bijak memanfaatkan peluang ini demi memperkasakan kedudukannya dalam PR.
Isu-isu yang membawa kepada mesyuarat khas PAS:
- DR Abdul Aziz Bari, seorang profesor undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), menulis komentar mengenai peranan Pakatan Rakyat (PR) dalam akhbar Sinar Harian keluaran 19 Oktober lalu.
- Beliau turut menegur sikap pucuk pimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang dilihatnya boleh menghalang usaha PR.
- Antaranya, beliau mengusulkan agar PAS 'membuat langkah drastik' untuk sama ada mendisiplinkan ketua PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali, atau menyingkirkan beliau terus.
- Dr Hasan dilihat mewakili golongan pro-Umno dalam PAS, sama seperti Presiden PAS sekarang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan timbalannya, Encik Nasharuddin Mat Isa.
- Datuk Seri Abdul Hadi membisu terhadap kececohan berhubungan isu pengharaman penjualan arak di Selangor dan dakwaan bahawa Dr Hasan dan penyokongnya mahukan pakatan dengan Umno.
- Encik Nasharuddin pula dilihat membela tindakan Dr Hasan secara terbuka.
- Selangor adalah antara empat negeri di Semenanjung Malaysia yang ditadbir PR. PR adalah pakatan antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan PAS.
- Menurut Dr Abdul Aziz, hanya 32 peratus pengundi kini yakin terhadap kemampuan PR mentadbirkan negeri dan hal itu akan bertambah buruk dengan adanya barisan pemimpin PAS seperti yang disebutkan beliau itu.
- Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz, akur dengan pandangan Dr Abdul Aziz.
- Beliau mengusulkan diadakan Muktamar Khas atau Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi mendapatkan mandat baru dan menyingkirkan 'beberapa kerat pemimpin bermasalah' dalam PAS.
- Para pemimpin bermasalah itu antara lain ialah: Dr Hasan sendiri, Encik Nasharuddin, dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.
- Satu mesyuarat khas diadakan untuk membincangkan saranan Datuk Nik Aziz.
- Dalam mesyuarat khas Rabu lalu, usul mengadakan EGM itu ditolak.
- Sebaliknya, ahli PAS sebulat suara menggantikan idea mengadakan EGM kepada satu seminar politik yang dibuka kepada akar umbi PAS pada 7 November ini.
- Dr Abdul Aziz akan diberi peluang memberikan pandangannya kepada para anggota PAS dalam seminar tersebut.
- Seminar itu bertujuan menetapkan hala tuju PAS serta memperkasa parti itu ke arah peranannya dalam PR.
- Mesyuarat khas PAS itu juga mengarahkan agar panel disiplinnya menyiasat dakwaan yang dilempar terhadap PAS Selangor.
- Pengerusi panel disiplin, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sudah pun memulakan siasatan ke atas PAS Selangor, namun tindakan itu dilihat belum dapat meredakan kemelut kepimpinan PAS.
- Beberapa penulis blog dan pengamat yang mengikuti dengan teliti perkembangan terbaru PAS itu menggambarkan sesuatu yang tidak kena dalam mesyuarat selama empat jam pada Rabu lalu.


















