Oleh Suhana A. Samat
APABILA penduduk etnik Uighur mula merusuh di ibu kota Urumqi Ahad lalu, Cik Zhang Aiying, seorang peniaga buah-buahan, tergesa-gesa pulang. Anak lelakinya tidak ada di rumah. 'Telefon beliau di telefon bimbitnya. Suruh beliau pulang segera,' teriak Cik Zhang, 46 tahun, kepada seorang saudaranya. Anak lelakinya, Encik Lu Huakun, bagaimanapun tidak mengangkat telefon.
Tiga jam kemudian, apabila keadaan mula tenang, Cik Zhang keluar rumah untuk mencari Encik Lu. Berpuluh mayat kelihatan bergelimpangan. Cik Zhang akhirnya menjumpai anaknya - kepalanya berlumuran darah, tangan kirinya hampir terputus di tiga bahagian.
Pembunuhan Encik Lu, 25 tahun, merupakan satu tragedi yang memadamkan impian keluarga Cik Zhang untuk membina hidup baru apabila mereka berhijrah ke wilayah Xinjiang lebih sedekad lalu. Encik Lu merupakan antara sekurang-kurangnya 156 orang yang terkorban Ahad lalu di bandar Urumqi, Xinjiang, dalam rusuhan kaum terburuk yang pernah berlaku di China dalam tempoh berdekad. Lebih 1,080 lain cedera.
SALING CURIGA
Keluarga Cik Zhang berasal dari sebuah kampung tani di Zhoukou, wilayah tengah Henan. Kisah mereka serupa dengan ramai pendatang etnik Han lain yang ke Xinjiang atas dorongan pemerintah China.
'Kami mahu berniaga. Pemerintah telah membuat seruan agar wilayah barat dibangunkan. Tempat ini tidak akan ada apa-apa tanpa kaum Han,' kata suami Cik Zhang, Encik Lu Sifeng, 47 tahun. Kehadiran mereka telah merubah wajah wilayah Xinjiang yang majoriti penduduknya terdiri daripada etnik Uighur, yang beragama Islam dan berbahasa Turkic.
Daripada membentuk hanya 6 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Xinjiang pada 1949, kini etnik Han membentuk 41 peratus daripada jumlah penduduk. Penghijrahan itulah yang kini telah mencetuskan ketegangan etnik, dengan golongan Uighur mengadu kehilangan pekerjaan dan budaya mereka sendiri terhakis.
Kini, para penduduk Xinjiang khuatir bagaimana dua kumpulan etnik yang bertelagah itu boleh hidup aman bersama. Encik Shi Guanzheng, seorang guru pesara yang berasal dari Shanghai, tidak berani keluar rumah walaupun jalan-jalan raya dikawal ketat oleh askar.
Beliau menyalahkan pemerintah kerana gagal menghalang rusuhan oleh etnik Han yang ingin membalas dendam ke atas etnik Uighur pada Selasa lalu. 'Perkara itu tidak seharusnya berlaku. Ia sepatutnya dihalang awal-awal lagi. Pembunuhan golongan yang tidak berdosa tidak boleh diwajarkan tetapi sekarang kedua-dua pihak begitu beremosi dan kesannya akan dirasai selama satu tempoh yang lama,' kata Encik Shi.
'Saya takut apa yang boleh berlaku jika pihak polis berundur. Ini bukan berkaitan dengan hari esok atau lusa. Ini mengenai bulan depan dan bulan selanjutnya. Apa yang akan berlaku?' tambah beliau. Di sebuah kejiranan Uighur pula, para penduduk bersiap sedia dengan senjata buatan sendiri.
Seorang wanita bertudung kelihatan berjalan dengan membawa parang dan sebatang kayu yang hujungnya diikat pisau. Di jalan raya berdekatan, empat lelaki Uighur membina sekatan jalan raya sendiri. 'Kami sedang mempertahan diri,' kata salah seorang lelaki di situ.
PERANAN PEMERINTAH
Beijing tidak mampu hilang kawalan ke atas wilayah yang berkongsi sempadan dengan Russia, Mongolia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Afghanistan, Pakistan dan India itu. Wilayah itu mempunyai hasil minyak yang banyak dan merupakan penghasil gas asli terbesar di China.
Para penduduk berkata polis masih lagi meneruskan operasi menahan lelaki Uighur yang terlibat dalam rusuhan pada Ahad lalu. 'Mereka menangkap orang setiap hari. Saya tidak tahu bila perkara ini akan berakhir,' kata seorang penduduk, Encik Turkonate. Laporan media sebelum ini berkata 1,434 orang telah ditangkap.
Ketua Parti Komunis Shanghai, Encik Yu Zhengsheng, berkata: 'Jika keharmonian tidak wujud, kehidupan penduduk tidak akan bertambah baik dan tidak akan ada pembangunan ekonomi.'
Pada awal kurun ke-20, etnik Uighur di Xinjiang pernah mengisyitiharkan kemerdekaan. Namun, wilayah itu kembali berada di bawah kawalan parti Komunis China pada 1949. Secara rasmi, Xinjiang kini merupakan sebuah wilayah yang autonomi, sama seperti Tibet.
Pemerintah telah menyalahkan kumpulan pemisah etnik Uighur yang kini hidup dalam buangan sebagai bertanggungjawab atas rusuhan Ahad lalu. Golongan itu dikatakan cuba memperjuang kemerdekaan Xinjiang.
Beijing, malah, mendakwa anggota militan Uighur ingin mencapai matlamat itu melalui keganasan dan telah merancang pengeboman, sabotaj dan kekacauan. Sejak serangan pengganas ke atas Amerika Syarikat pada 11 September 2001, China menggambarkan golongan itu sebagai sekutu kumpulan pengganas Al-Qaeda.
Golongan itu dituduh telah menerima latihan daripada kumpulan pengganas di Afghanistan walaupun tiada bukti yang dibentangkan untuk menyokong dakwaan itu. Menjelang Sukan Olimpik di Beijing tahun lalu, pemerintah malah berkata ia telah mematahkan dua serangan yang dirancang oleh anggota militan Uighur.
Seorang penyelidik badan hak asasi kemanusiaan, Human Rights Watch, Encik Nicholas Bequelin, berkata taktik yang digunakan pemerintah China itu memang sudah dapat diduga tetapi ia merbahaya. 'Ia seakan melempar minyak ke dalam api. Dengan menyalahkan anasir luar, pemerintah tidak mengiktiraf beberapa sebab utama etnik Uighur marah,' katanya.
Pemerintah China malah dikatakan menggunakan operasi antipengganasan sebagai alasan untuk menindas etnik Uighur. Tuduhan itu bagaimanapun dinafikan Beijing.
KESAN RUSUHAN
Benarkah etnik Han diberi lebih peluang ekonomi dan lebih makmur berbanding dengan etnik Uighur?
Hakikatnya, bukan semua golongan Han yang hidup senang. Bagi keluarga Cik Zhang, mereka menyara hidup dengan menjual buah-buahan di sebuah pasar berdekatan Dawan North Road, di bandar Urumqi.
Mereka berniaga dari 8 pagi hingga tengah malam. Jika perniagaan laris, mereka boleh mendapat untung AS$300 sebulan.
'Beliau tidak puas hati dengan kehidupan di sini. Beliau sangat letih dan wang yang diperolehi pun tidak banyak,' kata Cik Zhang mengenai anak lelakinya, Encik Lu, yang terbunuh dalam rusuhan Ahad lalu.
Keluarga Cik Zhang tinggal di tingkat bawah sebuah apartmen berdekatan dengan pasar. Rumah mereka tidak mempunyai banyak perkakas.
Sebelum ini, hubungan keluarga Cik Zhang dengan penjual daging dan buah-buahan daripada etnik Uighur adalah baik.
'Hubungan kami dengan kaum Uighur baik. Ada pegerai jual daging bersebelahan gerai buah anak saya. Ada malam apabila anak saya tidak mahu membawa pulang buah-buahannya, beliau akan meminta bantuan pegerai Uighur itu untuk simpankan buah-buahan itu di gerai beliau,' kata Cik Zhang.
Tetapi sekarang, segalanya sudah berubah.
Wilayah Xinjiang bukan lagi tempat bagi keluarganya meneruskan kehidupan. 'Selepas kami membakar mayatnya (Encik Lu), kami akan pulang ke Henan bersama abunya. Kami tidak akan kembali ke sini lagi,' kata Cik Zhang, yang impiannya mahu menjalani kehidupan lebih baik dengan berhijrah telah berakhir dengan mimpi buruk.
WILAYAH AUTONOMI XINJIANG
- Seluas 1.6 juta kilometer persegi dan membentuk satu perenam daripada keseluruhan wilayah China. Begitu luas sehingga bersempadankan lapan negara - Mongolia, Russia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Afghanistan, Pakistan dan India.
- Mempunyai hasil minyak yang banyak dan merupakan penghasil gas asli terbesar China. Sekitar 45 peratus daripada 20 juta penduduknya daripada etnik Uighur, sementara 41 peratus daripada etnik Han.
- Etnik Uighur beragama Islam dengan budaya dan bahasa mereka lebih mirip dengan penduduk Asia Tengah. Ketegangan antara penduduk etnik Uighur dan pemerintah China pernah dilaporkan dari masa ke masa, namun keadaan agak tenang dari lewat 1990-an hingga pertengahan 2006.
- Wilayah ini kembali menjadi tumpuan apabila beberapa serangan pengganas berlaku menjelang Sukan Olimpik Beijing. Pihak berkuasa China menyalahkan anggota militan Uighur atas serangan itu.