Selamat Datang ke ...

Selamat Datang ke ...

Khabar dari Situ Sana Sini

Tuesday, June 30, 2009

Buang tabiat merokok, perkahwinan anda kelak kami tanggung !!!





RIYADH: Slogan kempen yang bermaksud 'Buang tabiat merokok, perkahwinan anda kelak kami tanggung' bertujuan menggalak pengantin lelaki membuang tabiat merokok dengan menawarkan insentif menarik. Nampaknya sambutan begitu menggalakkan dengan beratus orang menyatakan minat kepada kempen antimerokok yang pertama di Arab Saudi.

Seorang lelaki berkata beliau sanggup membuang tabiat merokok dengan harapan dapat memenangi hadiah pertama - perkahwinan yang semua biayanya ditanggung pihak penganjur. Di negara-negara Arab, pengantin lelaki menanggung biaya perkahwinan, termasuk jamuan makan, mas kahwin dan rumah yang lengkap segala peralatannya.

Sebab itulah ramai lelaki menangguhkan perkahwinan sehingga dapat mengumpul cukup wang untuk berumah tangga.

Beberapa pengulas berkata kempen itu menukarkan wanita menjadi komoditi. Tetapi pihak penganjur berkata mereka gembira kerana dapat menyedarkan orang ramai mengenai bahaya merokok. Dianggarkan satu perempat daripada 27.6 juta penduduk Arab Saudi merokok.

Sejak 20 Jun lalu, kain rentang mengenai kempen itu dipasang di jejambat dan jambatan di sepanjang lebuh raya Saudi. Kempen turut diiklankan di pusat membeli-belah, kampus universiti dan majalah.

Nama pemenang akan diumumkan pihak penganjur pada 6 Ogos ini. Pemenang pertama akan dibayar semua biaya perkahwinannya, manakala 20 pemenang berikutnya akan mendapat perabot percuma. -- AP.

Monday, June 29, 2009

1 Malaysia: Diantara realiti dan fantasi

Oleh Amin Iskandar

JUN 29 — Sebaik sahaja diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-enam, Datuk Seri Najib Razak melancarkan gagasan “Satu Malaysia” atau dalam Bahasa Inggeris di panggil “1 Malaysia”. Selain daripada itu, Najib turut melancarkan slogan "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan", mengingatkan kita slogan-slogan di zaman Perdana Menteri terdahulu seperti "Bersih, Cekap dan Amanah" dan "Cemerlang, Gemilang dan Terbilang".

Diantara komponen terpenting dalam gagasan 1 Malaysia yang dibawakan Perdana Menteri ialah rakyat Malaysia tidak kira Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Melanau dan lain-lain bersatu sebagai bangsa Malaysia. Najib mengakui bahawa konsep 1 Malaysia ini bukanlah satu konsep baru. Ia adalah kesinambungan daripada kepimpinan negara yang terdahulu dan bercita-cita untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dari pelbagai latarbelakang kaum dan agama. Dalam Wawasan 2020 yang dicadangkan semasa era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, turut mensasarkan pada tahun 2020, rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama akan hidup sebagai bangsa Malaysia.

Malaysia hanya tinggal 11 tahun sebelum tahun 2020. Jika dilihat keadaan semasa dan politik hari ini, bangsa Malaysia sukar diwujudkan menjelang tahun 2020 nanti.

Setelah lebih 50 tahun Malaysia merdeka, negara masih lagi membicarakan tentang rancangan untuk menyatupadukan rakyat sebagai satu bangsa walaupun itulah perkara yang harus ditekankan dan dilaksanakan diawal penubuhan Malaya dan Malaysia dahulu. Negara jiran kita Indonesia yang merdeka 12 tahun sebelum kita telahpun menyelesaikan permasalahan yang ingin diselesaikan oleh Malaysia pada ketika ini di era Presiden pertama mereka, Sukarno. Di Indonesia, semua rakyat yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang etnik dan agama bersatu sebagai bangsa Indonesia. Mereka bercakap dalam satu bahasa yakni bahasa Indonesia. Mereka sudah selesai dengan isu pokok tersebut dikala jirannya Malaysia masih lagi terkial-kial mencari hala tuju untuk mewujudkan “bangsa Malaysia”. Penulis bersekolah disebuah sekolah yang terletak ditengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Najib dikatakan pernah bersekolah disekolah ini sebelum beliau melanjutkan pelajarannya ke luar negara.

Semenjak berada di bangku sekolah rendah lagi, kami telah diajar untuk menghormati kawan-kawan dari pelbagai kaum dan agama. Pihak sekolah akan mengadakan sambutan perayaan-perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali untuk mendidik anak-anak agar mengenali dan menghormati sesama sendiri. Saya percaya, jika di sekolah tersebut mempunyai pelajar-pelajar Iban dan Kadazan, Hari Gawai dan Tadau Kaamatan pasti akan turut disambut oleh pihak sekolah! Pada ketika itu, tidak pernah terlintas di hati penulis untuk melihat kawan-kawan lain sebagai orang Cina atau orang India sehinggalah kami mula mendapat kad pengenalan. Ini adalah kerana dalam kad pengenalan, kami mula dibeza-bezakan mengikut agama.

Semasa dalam Tingkatan Dua, penulis berpindah ke sekolah lain yang terletak di kawasan pinggir bandar di kawasan bekas perlombongan bijih timah. Masih lagi bersekolah di sekolah kebangsaan yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Apabila di sekolah menengah, jurang diantara kaum sudah mula melebar sedikit demi sedikit. Tambahan lagi dalam usia-usia sebegitu “sifat memberontak” dan melawan begitu tinggi di dalam sanubari pelajar-pelajar.

“Sifat memberontak” ini amat mudah diterjemahkan untuk mencari “pasal” dengan kawan-kawan daripada bangsa-bangsa lain. Telah kelihatan polarisasi mula berlaku dimana pelajar-pelajar Melayu bercampur gaul dengan sesama mereka. Begitu juga dengan pelajar-pelajar Cina dan India. Interaksi diantara kaum yang berbeza hanyalah dalam program-program yang formal dan hanya apabila disuruh oleh guru. Setelah selesai program atau aktiviti yang melibatkan percampuran antara pelajar pelbagai kaum, pelajar-pelajar akan mula mencari kaum masing-masing untuk berbual dan melakukan aktiviti-aktiviti.

Selepas mendapat keputusan SPM, perpisahan antara kaum mula berlaku lagi. Pelajar-pelajar Melayu yang mendapat keputusan cemerlang dapat masuk terus ke IPTA sedangkan teman-teman daripada bangsa lain terpaksa menghabiskan masa dua tahun dalam Tingkatan Enam sebelum diterima masuk ke IPTA awam. Bagi pelajar-pelajar Cina dan India yang datang dari keluarga berada, meraka dapat terus memasuki kolej-kolej swasta atau keluar negara.

Di universiti, polarisasi diantara kaum semakin parah. Jelas kelihatan mahasiswa-mahasiswa terpecah-pecah mengikut kaum dan agama mereka. Di kolej-kolej kediaman juga, mahasiswa-mahasiswa dipisah-pisahkan mengikut kaum dan agama. Pernah ada cadangan daripada sebuah kelompok mahasiswa agar mahasiswa dari pelbagai bangsa dan agama dicampur adukkan didalam setiap bilik di kolej-kolej kediaman.

Cadangan ini mendapat bantahan hebat daripada Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti dengan alasan sukar bagi mahasiswa untuk bersembahyang jika mahasiswa dari pelbagai bangsa dan agama tinggal sebilik. Sedangkan di kolej kediaman tersebut telah mempunyai surau dan daripada apa yang saya perhatikan di kolej kediaman tersebut, hanya lebih kurang 5 peratus sahaja mahasiswa di kolej tersebut yang terdiri daripada golongan beribadat.

Jika pensyarah tidak mewajibkan sesebuah “kumpulan tugasan” agar bersifat Malaysia, kemungkinan besar, penulis sendiri juga tidak mungkin mempunyai kawan-kawan bangsa lain. Persatuan-persatuan mahasiswa dalam universiti pada ketika itu juga didominasi oleh persatuan-persatuan yang berasaskan kaum dan agama. Agak kurang sekali persatuan-persatuan yang mempunyai ahli yang berbilang bangsa dan agama.

Ertinya, sejak mula mengenali politik, mahasiswa telah diajar dengan persatuan-persatuan yang berasaskan kaum dan agama. Tidak kelihatan usaha yang serius daripada pihak pentadbir universiti untuk mencegah perkara ini daripada terus membarah. Lebih tenat lagi apabila persatuan-persatuan mahasiswa yang berasaskan negeri-negeri turut popular dikalangan mahasiswa. Sudahlah dipisahkan mengikut kaum dan agama, mahasiswa kini turut dipisahkan berdasarkan negeri asal mereka! Begitulah parahnya polarisasi antara kaum yang berlaku di universiti ketika penulis dibangku universiti pada akhir 90an sehinggalah diawal-awal abad millenium.

Penulis kadangkala terfikir apakah masa depan Malaysia pada masa akan datang? Jika mahasiswa-mahasiswa universiti yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan datang hidup dengan keadaan polarisasi antara kaum yang serius, apa lagi rakyat diluar sana yang tidak berpeluang untuk mendapat pendidikan tinggi?

Menurut Yunus Ali, salah seorang aktivis mahasiswa tahun 70an, di zaman beliau menuntut di universiti, majoriti mahasiswa universiti yang berbilang kaum dan agama pada ketika itu hidup dalam keadaan harmoni. Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pada ketika itu terdiri daripada pimpinan yang pelbagai bangsa dan agama. Diantara dasar PMUM pada ketika itu adalah mewajibkan setiap mahasiswa yang tinggal dikolej-kolej kediaman agar tinggal bersama bangsa yang berbeza.

Dasar ini telah terbukti merapatkan jurang diantara mahasiswa-mahasiswa pelbagai kaum dan agama. Jika Perdana Menteri serius dengan usahanya untuk mewujudkan bangsa Malaysia, mengapa tidak dilaksanakan kembali dasar ini sekurang-kurangnya di IPTA-IPTA seluruh negara? Selagi rakyat tidak dilatih untuk hidup bersama-sama tanpa mengira bangsa dan agama, tidak mungkin 1 Malaysia, bangsa Malaysia atau Malaysian Malaysia akan berjaya. Retorik tersebut akan terus dikitar sepanjang zaman sehinggalah bumi ini berakhir.

Friday, June 26, 2009

Islam memacu kejayaan


PADA zaman Rasulullah saw dan sahabat, Islam mencapai zaman keemasan sehingga Allah menyifatkan umat Islam ketika itu sebagai sebaik-baik kumpulan manusia.
Mengapakah demikian?

Pertama, Rasulullah saw berhasil membentuk sebuah negara Madinah berdasarkan perlembagaan pertama yang menegaskan keadilan dan mengiktiraf kehadiran kaum bukan Islam yang perlu dilindungi.
Kedua, institusi Islam daripada masjid, madrasah sehingga baitul mal (perbendaharaan) telah dibentuk.

Ketiga, semangat menimba ilmu dan peranan ulama terpancar.
Keempat, usaha memelihara akhlak dan kerohanian amat diutamakan lebih daripada kebendaan semata-mata.
Kelima, tamadun Islam terbina sedang Eropah dalam zaman kegelapan.
Walaupun berlaku persaingan siasah sehingga membawa pertumpahan darah umat Islam, termasuk keluarga Rasulullah, namun tamadun Islam berterusan.
Kejayaan Rasulullah dan para sahabat selama 700 tahun didorong dua faktor yang saling berhubungan iaitu kesolehan pemimpin dan masyarakat.

Pemimpin soleh menentukan berhasil atau tidaknya mewujudkan suatu bangsa atau masyarakat yang adil dan makmur, beriman serta bertakwa.
Allah memberi peringatan kepada kita dalam memilih seorang pemimpin dalam firman-Nya (bermaksud):
'Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan bapa-bapa dan saudara-saudaramu pemimpin-pemimpinmu, jika mereka lebih mengutamakan kekafiran atas keimanan dan siapa di antara kamu yang menjadikan mereka pemimpin-pemimpinmu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.' (Surah At-Taubah: 23).

Pemimpin soleh ialah seorang pemimpin yang amanah dalam melaksanakan kepercayaan daripada rakyatnya dan jujur dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.
Kepimpinan itu berpegang teguh pada Al-Quran dan hadis. Selain itu, seorang pemimpin yang soleh boleh dilihat daripada kesederhanaan hidup dalam memimpin rakyatnya.
Jika rakyat lapar, beliau menjadi orang yang pertama lapar dan jika rakyatnya kenyang, beliau orang yang terakhir kenyang. Seorang pemimpin yang soleh akan menjadi teladan bagi rakyatnya. Apa yang beliau perintahkan akan dituruti rakyatnya kerana rakyat percaya pada kepemimpinannya.

Kunci jaya kedua ialah kesolehan masyarakat yang terbentuk dengan adanya rasa persaudaraan yang kuat berdasar iman dan takwa kepada Allah swt, kecerdasan serta rasa kritis untuk mengawal tindak-tanduk pemimpin mereka.
Allah menggambarkan contoh masyarakat yang soleh dalam firman-Nya:
'Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Mereka (kaum Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apaapa yang diberikan kepada kaum Muhajirin. Dan mereka (Ansar) mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka sedang dalam keadaan kesusahan. (Surah Al-Hasyr: 9).

Sikap kritis masyarakat terhadap pemimpinnya bak 'kawal dan imbang' dalam sistem demokrasi - iaitu pemerintah akan ditegur apabila melakukan kesalahan dan akan didukung apabila melakukan kebaikan dan kemaslahatan.

Tuesday, June 23, 2009

Kerajaan Perpaduan dianggap tindakan terdesak untuk gugat kekuatan Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang Malaysia yang mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) selama sejam di sini tengah hari semalam, telah menolak idea penubuhan satu 'kerajaan perpaduan' yang melibatkan Umno-Barisan Nasional (BN), demikian menurut laporan beberapa media di Malaysia. Idea penubuhan kerajaan perpaduan itu pernah dicetuskan oleh Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada hujung tahun lalu. Ia muncul semula dalam muktamar tahunan PAS ke-55 awal bulan ini.

Membacakan kenyataan selepas mesyuarat itu, Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipetik oleh laporan laman berita dalam talian mStar Online sebagai berkata: 'Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno-Barisan Nasional yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan jahat, serta tindakan terdesak Umno untuk menggugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat.' Kenyataan tersebut telah ditandatangani oleh Datuk Seri Anwar sendiri, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Kit Siang.

Datuk Seri Anwar juga berkata pada masa yang sama PR akan mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pimpinan BN bagi membincangkan isu-isu melibatkan kepentingan seluruh Malaysia dan rakyatnya, seperti usaha ke arah pemulihan ekonomi negara itu. Mesyuarat PR itu turut dihadiri timbalan-timbalan presiden, naib presiden dan setiausaha agung tiga parti komponen pakatan pembangkang itu.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS, Encik Nasharudin Mat Isa, yang menjadi tumpuan isu idea kerajaan perpaduan tersebut, khususnya di kalangan ahli PAS, tidak hadir dalam mesyuarat semalam. Malah, beliau, yang juga Ahli Parlimen (AP) Bachok, tidak kelihatan dalam sesi Dewan Rakyat pada hari yang sama. Satu laporan laman berita Malaysiakini berkata Encik Nasharudin dijadualkan bertemu Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, petang semalam berhubung isu kerajaan perpaduan dengan Umno dan meredakan konflik antara mereka berdua berhubung isu tersebut. Minggu lalu, Datuk Nik Aziz menggesa Encik Nasharudin meninggalkan PAS dan menyertai Umno sekiranya timbalan presiden PAS itu masih menyokong cadangan kerajaan campuran dengan Umno.

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, ditukil media Malaysia sebagai berkata bahawa BN masih kuat dan mampu memerintah walaupun PR menolak cadangan satu kerajaan perpaduan. 'Umno hanya bersikap terbuka terhadap cadangan PAS sebelum ini,' katanya kepada pemberita di Putrajaya semalam. - Agensi

Monday, June 22, 2009

Haji Hadi disanjung Gerakan Ihkwan Muslimin


Dalam kunjungan ke Jordan baru-baru ini wakil Harakah, Ustaz Imran b Selamat sempat menziarahi Syeikh Dr.Hammam Said di ibu pejabat pergerakan al-Ikhwan al-Muslimin di ibu negara Amman. Ikuti temuramah yang dapat dirakamkan dalam pertemuan tersebut pada hari Sabtu, 7hb Feb 2009 iaitu sehari selepas kejatuhan kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan.


Sebelum ini tuan lebih dikenali dalam lapangan bidang akademik khususnya dalam bidang ilmu-ilmu hadis. Bolehkah tuan ceritakan serba sedikit mengenai perjalanan semasa menuntut ilmu? Segala pujian bagi Allah.

Selawat dan salam ke atas Saiyidina Muhammad, keluarga dan para sahabat baginda sekalian. Perjalanan hidup saya dalam menuntut ilmu bermula di rumah, di mana ayah saya merupakan salah seorang ulama hadis. Saya terdedah dengan perpustakaan yang secara khususnya mengandungi kitab-kitab hadis semasa usia yang sangat muda. Lebih kurang usia 10 tahun, saya sudah membaca kitab-kitab besar yang berkaitan dengan ilmu hadis, kesusasteraan, bahasa Arab seperti karangan al-Mutanabbi dan lain-lain. Begitu juga buku-buku yang berkaitan dengan biodata para perawi hadis, juga karangan Ibnu Hajar dan lain-lain.


Perkembangan awal ini semua membantu pengajian saya di peringkat universiti. Saya menamatkan pengajian dalam bidang syariah di Universiti Damsyiq pada tahun 1965. Sudah diketahui umum, pengajian syariah di universiti tersebut sangat sukar, yang lulus hanya sekitar 5-6 orang sahaja. Malah kadang kala hanya 3 orang. Antara guru-guru yang mendidik saya ialah Syeikh Mustafa Siba’ie, Dr. Mustafa Zarqa dan ramai lagi ulama yang besar. Kemudian setelah bekerja hampir 5 tahun, saya ke Universiti al-Azhar dan mempelajari ilmu hadis dalam kuliah Usuluddin. Saya berjaya menamatkan pengajian di peringkat M.A dan Phd dengan pangkat pertama. Dengan kurnia dari Allah, tesis yang saya hasilkan sangat jarang dilakukan iaitu mengenai illal hadis merupakan yang pertama pernah ditulis seumpamanya.


Tesis tersebut berbeza dengan yang lain. Kemudian hasil kajian saya itu tersebar dan menjadi subjek yang diajarkan di universiti-universiti, bermula dengan Universiti Jordan di fakulti syariah. Kajian saya itu dianggap sebagai syarah kepada kitab al-‘Ilal karangan Imam al-Tirmizi. Ianya kemudian diajarkan dalam dunia Islam di peringkat pengajian tinggi. Alhamdulillah. Saya juga aktif dalam bidang keilmuan dan selama 25 tahun, saya telah menulis dalam pelbagai displin ilmu. Di antara ialah himpunan hadis-hadis berkenaan fitnah akhir zaman, hukum-hakam kewangan, kesempurnaan Nabi, jihad dan lain-lain. Semua ini sedang dalam proses untuk cetakan. InsyaAllah.


Di manakah tuan menyumbangkan khidmat setelah tamat pengajian?
Saya mengajar di Universiti Jordan hingga tahun 1988 sebelum dipilih menjadi ahli (parlimen) Majlis Perwakilan Jordan pada 1989. Saya dipilih semula menjadi ahli perwakilan pada tahun 1993 dan kekal hingga tahun 1997. Kemudian saya dilantik menjadi penasihat syar’ie bagi Hospital Islam di Jordan. Kemudian saya mengajar di universiti swasta Al-Zarqa selama setahun. Setelah itu, saya dilantik menjadi Muraqib al-‘Am dalam jemaah al-Ikhwan al-Muslimin.

Bilakah tuan menyertai gerakan al-Ikhwan al-Muslimin dan bagaimana tuan memandang tanggungjawab sebagai Muraqib al-‘Am (Jordan) ketika ini?
Saya menyertai jamaah al-Ikhwan al-Muslimin pada waktu yang sangat awal iaitu ketika berumur 12 tahun. Alhamdulillah, saya masih ingat sejarah itu dan kini saya masih berada dalam jemaah ini. Tugas saya sekarang ini sebagai Muraqim al-‘Am sangat berat dan bukanlah tugas yang mudah. Tanggungjawab ini sangat besar kerana ia berkaitan dengan maslahah beratus-ratus ribu para pemuda Islam untuk membawa mereka menuju ke satu matlamat pada masa yang mendatang. Memperbaiki jamaah ini agar dapat berperanan dalam masyarakat. Memimpin jamaah ini untuk memastikan ianya dapat mencapai matlamat-matlamat Islam. Semoga Allah memudahkan segala urusan ini.


Dalam majalah al-Mujtama’ (3-9 Zulkaedah 1429H) tuan pernah menyeru kaum muslimin kepada sistem ekonomi antarabangsa yang baru dengan bersumberkan rujukan Islam. Mengapakah dunia Islam terlalu bergantung pada sistem kapitalisme, seolah-olah sukar sekali untuk keluar daripadanya?


Sistem kapitalisme telah gagal di negara-negara mereka (Barat). Mereka menghadapi kehabisan sumber dengan satu ledakan yang besar. Ledakan ini diibaratkan ia telah meninggalkan satu ruang kosong. Manusia menyangka kegiatannya masih berjalan. Ekonomi yang hanya memaparkan jumlah angka, apabila mereka cuba mendapatkan kepastian mengenai jumlahnya, lalu mereka mendapati tiada jumlah apa pun. Semua ini hanya mempersendakan orang ramai dan permainan yang menipu. Tiada aktiviti ekonomi yang berlaku pada hakikatnya. Kerana ia hanyalah ibarat jaminan yang dibuat tanpa akad yang sah. Begitulah sistem kapitalisme, ia tidak berdiri di atas perkara yang jelas secara hakiki. Ia hanya dibina atas dasar kepercayaan di antara mereka yang terlibat.


Kini sudah jelas dasar kepercayaan ini sebenarnya adalah satu pembohongan. Tiada jumlah dalam simpanan secara realiti. Dalam beberapa bulan, berlaku kejatuhan ekonomi dengan kerugian berbilion-bilion dolar di Amerika.. begitu juga di Britain dan Eropah. Sistem ini telah gagal dan tiada siapa yang mampu untuk mempertahankannya.


Beberapa hari lalu, saya telah mendengar daripada Pengarah Bank Islam Jordan, bahawa negara Britain yang dulunya meletakkan syarat-syarat yang ketat untuk membuka bank-bank Islam di negara itu, kini telah mempelawa perbankan Islam agar datang ke Britain untuk membuka cawangan-cawangannya dan dipermudahkan untuk beroperasi. Ini menunjukkan bahawa ekonomi Islam di negara mereka mempunyai kedudukan yang dihormati. Kita mahu meluaskan ekonomi Islam, tiada riba, tiada penipuan berbentuk spekulasi, tiada monopoli (ihtikar) dan tiada perniagaan atas kertas tanpa kewujudan nilai wang yang jelas. Iaitu ekonomi dengan dokumen yang jelas dan berpijak di bumi yang nyata. Kita perlu memperkemaskan sistem ekonomi Islam di negara kita dan jadikan ia pelindung ekonomi di negara kita. Kemudian menyebarkannya ke peringkat antarabangsa.


Apa pendapat tuan, jika sesetengah pihak menganggap mustahil dunia Islam dapat keluar dari sistem kapitalisme?
Yang menjadi perkara mustahil di sini ialah mustahil sistem ini dapat bertahan di negara-negara barat. Mesti ada alternatif lain sebagai pengganti. Sistem sosialis telah gagal dan sistem kapitalis juga gagal. Yang tinggal hanya sistem Islam.Tuan tentu mengetahui kejayaan parti-parti pergerakan Islam pada pilihanraya tahun lalu (2008). Tuan juga pernah menghadiri negeri Perak pada tahun lepas dan tahu parti gerakan menguasai negeri tersebut. Adakah tuan tahu bahawa kes terbaru ini, kerajaan negeri Perak telah dijatuhkan dengan pengkhianatan 3 orang Adun yang tidak berpegang dengan prinsip Islam. Apa komen tuan berhubung perkara ini?


Perkara paling penting, pergerakan parti Islam mesti memiliki kekuatan dalam menentukan perjalanan(nya) dan kekuatan di kalangan anggota masyarakat. Sekiranya kekuatan ini teguh, inilah yang dapat menjamin satu kerajaan yang kuat. Tetapi pada hakikatnya, kadang-kala bergabung dengan parti-parti lain, kita tidak dapat menjangka apa yang bakal berlaku sekiranya terjadi pertembungan pada kepentingannya atau kaedah ancaman digunakan. Ketika itu bertukarlah haluannya dan kita telah membina hubungan di atas asas yang tidak kukuh. Kita sepatutnya membina kekuatan yang kukuh dan meletakkan pergantungan yang tinggi dalam saf kita, di kalangan para pemuda kita dan parti gerakan Islam mesti memiliki kekuatan kita sendiri. Betulkah kerajaan Perak sudah dijatuhkan? Tiada daya upaya kita melainkan dengan izin Allah (sambil menggelengkan kepala).

Secara peribadi, tuan sudah mengenali Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang sekian lama, apa pandangan tuan pada peribadi, kepimpinan dan kesungguhan usaha beliau dalam lapangan dakwah Islam di negaranya dan di peringkat antarabangsa?
Saya mengenali Syeikh (Tuan Guru) Haji Abdul Hadi bin Awang, sudah melebihi 20 tahun. Ke mana sahaja saya pergi dalam dunia Islam ini pasti saya akan mendapati beliau berada bersama di hadapan saya. Beliau adalah seorang yang memiliki kesungguhan sekian lama dalam dakwah (menyeru manusia) kembali kepada agama Allah dan aktif dalam menjalankan kerja-kerja Islam. Beliau bukanlah seorang tokoh hanya di peringkat negara Malaysia, bahkan ketokohan beliau berada pada peringkat dunia Islam. Saya mengucapkan tahniah kepada negara Malaysia kerana peribadi beliau dan kepimpinannya. InsyaAllah, saya dapat melihat padanya terdapat sifat ikhlas, benar, tsabat (tetap pendirian) dan istiqamah. Semoga Allah sentiasa membantu beliau dan menambahkan keberkatan pada usahanya. Amin.


Tuan pernah menyebut bahawa pergerakan Islam perlu menguatkan tarbiah terhadap ahli-ahlinya, memperbanyakkan kegiatan dakwah Islam dan tidak hanya dalam urusan politik.. boleh tuan jelaskan mengapa tarbiah ini sangat penting?
Tidak syak lagi, bahawa tarbiah adalah satu juzuk asas dalam pembentukan jemaah. Gerakan Islam yang mengambil peranan yang banyak dalam bidang politik dan mungkin aspek tarbiah berkurang. Kita mahu mengambil ruang yang lebih besar dalam aspek tarbiah dan mengambil berat terhadapnya. Jemaah al-Ikhwan al-Muslimun juga mempunyai manhaj tarbiah yang terperinci di semua negara-negara. Inilah yang menjaga jemaah dan menjadikannya kuat. Untuk itu, Parti Islam juga perlu memiliki program tarbiah yang terperinci untuk ahli-ahli dan para pengikutnya.


Apa pandangan tuan tentang masa depan gerakan Islam? Apakah kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya kepimpinan parti Islam ini tidak lagi dipimpin oleh para ulama sebaliknya oleh golongan intelektual dalam parti tersebut?
Kewujudan para ulama pada peringkat tertinggi adalah jaminan paling besar bagi sesebuah gerakan Islam ini. Kerana hubungan umat dengan para ulama adalah satu hubungan yang kuat. Apabila terdapat ulama di situ, maka kepimpinan tersebut berjalan di atas dasar al-Kitab (al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Ini menjadikan orang ramai berasa tenteram dan selesa dengan kepimpinan tersebut. Jika kepimpinan itu hanya semata-mata bersifat politik, pragmatisme dan urusan politiknya datang dari luar (rujukan) Islam, luar dari al-Kitab dan as-Sunnah… akhirnya orang ramai tidak lagi bersatu di bawah kepimpinan sebegitu. Namun, kepimpinan yang ada ini jika berterusan seperti yang dituntut, akan bertambah kekuatannya dengan izin Allah. Masa depan akan menjadi baik. Saya menjangkakan suatu hari nanti, parti ini akan mendapat majoriti kuasa. InsyaAllah.


Akhir sekali, apa nasihat tuan untuk rakyat Malaysia?
Rakyat Malaysia menganggap Islam itu sebagai satu agama dan anutan yang bersifat nasional (dalam negara). Ini tidak terdapat di negara selain Malaysia. Ini adalah satu pealuang untuk menyebarkan agama Islam. Juga saya nasihatkan agar diadakan pembelajaran bahasa Arab dan memperkemaskan kemahiran dalam bahasa Arab. Saya mendapati ada penggunaan bahasa Arab di Malaysia. Namun, saya mahu bahasa Arab menjadi bahasa utama di Malaysia. Ini boleh berlaku dengan usaha orang-orang yang berkebolehan, terpilih dan (sedia) berjihad dengan kurniaan Allah. Kamu berikan keutamaan kepada bahasa Arab dan laksanakan syariat Islam dan hukum hakam Islam dalam segala lapangan kehidupan. Kerana agama kita inilah yang menjaga kehidupan kita di dunia dan akhirat. Semoga Allah memberikan taufik kepada kamu semua. Amin.

Red Bull akhirnya berjaya menamatkan penguasaan Brawn GP.

Oleh Mohd Sani Ali

Ini menyusuli kejayaan Sebastian Vettel dari Jerman dan Mark Webber dari Australia memenangi tempat pertama dan kedua di Lumba Grand Prix Britain di Litar Silverstone, England, malam tadi.

Harapan Jenson Button dari Brawn GP untuk menjulang mahkota Formula Satu yang ketujuh di tanahair sendiri tidak menjadi kenyataan apabila hanya mampu menamatkan perlumbaan 60 pusingan sejauh 308.355 kilometer di tangga keenam.

Inilah buat kali pertama pemandu berusia 29 tahun itu gagal menempatkan diri antara tiga pemenang utama. Dalam masa yang sama, impian Lewis Hamilton dari McLaren mahu mempertahan mahkota kejuaraan yang dimenanginya musim lalu juga tidak menjadi apabila juara dunia itu hanya menamatkan pertarungan ditangga ke-16. Sebaliknya, Rubens Barrichello dari Brazil, menebus sedikit kekecewaan Brawn apabila muncul sebagai pemenang di tempat ketiga.

Kegagalan Button, pemenang enam daripada tujuh perlumbaan musim ini, merapatkan jurang kedudukan mata dengan rakan sepasukannya, Barrichello, kepada 23 mata. Kejayaan Vettel menguasai perlumbaan sejak dari garisan awal, adalah kejayaannya yang kedua musim ini, dan kemenangannya yang ketiga sepanjang kerjayanya dalam Formula Satu.

Sementara itu, pasukan baru Formula Satu yang diberitakan akan berpisah dengan badan induk lumba kereta dunia itu akan memulakan kerja-kerja perancangan sebaik tamat Lumba Grand Prix Britain malam tadi.

Pengerusi Brawn GP, Ross Brawn, difahamkan menyebut lapan pasukan dari Persatuan Pasukan Formula Satu (Fota), kini sedang memberikan tumpuan ke arah pemisahan.

'Suatu mesyuarat akan diadakan minggu depan. Kami tidak mampu menunggu lebih lama lagi sehingga Januari depan,' kata Brawn. 'Kami akan membuat beberapa usulan dan membentangkan secara terperinci rancangan kami itu,' tambah ketua Brawn GP.

Friday, June 19, 2009

Himah bangun solat di tengah malam

DALAM karyanya, Wasiat, Al-Syaikh Al-Akbar Ibnu Arabi meninggalkan pesan mengenai pentingnya solat malam.

Beliau menghujahkan bahawa Allah menyatakan kasih-Nya buat hambanya yang sanggup mengetepikan tidurnya demi berzikir (solat dan ratib pada akhir malam).

Antara amalan Nabi Muhammad swt sebelum menerima perintah solat lima waktu dalam perjalanan Israk dan Mikraj ialah bersolat malam (dipanggil tahajud).

Nasihat Ibn Arabi atau dipanggil Guru Sufi Andalusia atau juga dipanggil Muhyiddin, ini mengisyaratkan agar kita bangun malam, dan memanfaatkan sebagian malam itu untuk beribadah kepada Allah.

Nabi Muhammad saw bersabda,

'Hendaklah kalian menunaikan bangun malam, kerana bangun malam itu adalah kebiasaan orang orang soleh sebelum kalian, yang boleh mendekatkan kalian kepada Tuhan, pelebur kesalahan, penghalang daripada dosa dan pengikis penyakit daripada tubuh.' (Imam Ahmad dan Tirmidzi)

Dalam Islam, istilah bangun malam disebut qiamullail.

Rasulullah juga berpesan:

'Allah menyayangi seorang lelaki yang bangun malam untuk solat, lalu membangunkan isterinya, dan isterinya pun ikut mendirikan solat. Apabila isterinya enggan, dia merenjiskan air ke mukanya.

'Dan, Allah menyayangi seorang perempuan yang bangun malam untuk solat, lalu membangunkan suaminya, dan suaminya pun melaksanakan solat. Jika suaminya menolak, dia merenjis air ke wajahnya.' (Imam Daud dan Ibnu Majah)

Para suami isteri sedemikian, kata Nabi dalam hadis yang dirawikan oleh Abu Daud dan An-Nasa'i, ditulis sebagai lelaki dan perempuan yang berzikir kepada Allah.

Lebih jelas, Allah menegaskan pentingnya bangun malam (Surah Al-Muzzamil: 1-9).

Alim besar, Thaba'thaba'i dalam tafsir, Al-Miizaan, menjelaskan bahawa yang dimaksud ayat itu (qiamullail) ialah solat pada malam hari.

Nabi berkata:

'Solat yang terbaik setelah solat fardu ialah (solat) bangun malam.' (Hadis Riwayat Muslim)

Menurut Muhammad Abdullah Al-Khatib dalam bukunya, Qiyaam al-Layl: Penyegar Jiwa, kita dapat memetik pelajaran daripada ayat-ayat itu. Iaitu, agar kita selalu bangun malam (solat), seperti Allah perintahkan kepada Nabi-Nya.

Sebahagian malam yang kita gunakan beribadah kepada Allah akan mendatangkan pahala besar. Kita juga dituntut supaya membaca Al-Quran dengan tartil - secara perlahan dan merenungkan makna dan kandungannya secara mendalam.

Bangun malam, kata alim besar Al-Khatib, merupakan salah satu piawai bagi mengukur cita-cita yang benar dan lurus, dan sebagai tanda daripada jiwa yang besar.

Biasanya, bangun malam sangat berat dilakukan berbanding bangun tidur dalam waktu lain.

Apabila kita sering bangun malam, maka kita akan terbiasa taat beribadah kepada Allah, dan kita sanggup membiasakan diri menanamkan keimanan dalam hati dan di relung jiwa.

Bangun malam untuk mengingat Allah dapat menciptakan peribadi Muslim yang terpercaya dan mewujudkan masyarakat yang disirami hidayah. -- Republika

Thursday, June 18, 2009

Amaran Tok Guru Mursyidul Am PAS?

KOTA BHARU: Mursyidul Am Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, memberitahu Encik Nasharuddin Mat Isa semalam supaya meletak jawatan sebagai timbalan presiden parti itu serta anggota parlimen Bachok dan menyertai Umno jika beliau hendak meneruskan agenda membentuk kerajaan perpaduan.

'Isu kerajaan perpaduan tidak datang dari PAS, tetapi idea itu dicadangkan orang-orang tertentu. Perkara ini tidak ada hitam putih sebagai agenda PAS atau Pakatan Rakyat,' kata Datuk Nik Aziz, seperti ditukil Bernama semalam. 'Jika benar Nasharuddin setuju (dengan kerajaan perpaduan), lebih baik beliau menyertai Umno. Letak jawatan sebagai timbalan (presiden PAS) dan (AP) Bachok,' kata Datuk Nik Aziz kepada pemberita selepas mesyuarat Exco negeri semalam.

Beliau, yang juga menteri besar Kelantan, berkata demikian semasa mengulas kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin bahawa beliau yakin PAS ikhlas mengenai pembentukan kerajaan perpaduan yang disaran presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Datuk Seri Najib berkata beliau berfikiran terbuka dan bersedia menimbang cadangan PAS itu jika ia membawa kebaikan kepada negara. 'Kita kena risik-risik dulu. Macam kita nak kahwin, kena risik- risik dulu. Jadi tak jadi, itu takdir menentukan. Apa bentuk tak tahulah,' kata Datuk Seri Najib.

Sebagai reaksi, Encik Nasharuddin berkata PAS bersedia berbincang mengenai perpaduan dan bukan kerajaan perpaduan.

Namun setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata: 'Jika Perdana Menteri hendak mengadakan rundingan mengenai kerajaan perpaduan dengan PAS, beliau mesti sertakan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Jika tidak, tiada rundingan.'

Datuk Nik Abdul Aziz berkata beliau kesal akan pendirian Encik Nasharuddin. Menurutnya, PAS dan Pakatan Rakyat telah jatuh ke dalam perangkap Umno kerana ia mencetus perpecahan di kalangan mereka. 'Orang Umno gembira kerana PAS berpecah dan Pakatan Rakyat berpecah,' ujarnya. Beliau berkata jika agenda kerajaan perpaduan benar-benar hendak dilaksana, Barisan Nasional (BN) harus melantik pemimpin pembangkang sebagai menteri.

'Jika semua orang setuju, (pemimpin) PAS jadi menteri, DAP jadi menteri dan Parti Keadilan Rakyat jadi menteri,' kata beliau. - Agensi

Monday, June 15, 2009

Lawatan Lee Kuan Yew ke Kelantan

Oleh Hisham Hambari


Dari Kota Bharu, Kelantan: MENTERI Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, semalam dengan kedua-dua pemimpin itu antara lain membincangkan usaha meningkatkan hubungan Singapura dengan Kelantan. Pertemuan selama sejam di pejabat Mursyidul Am PAS di Kota Darul Naim itu disifatkan sebagai bersejarah kerana inilah kali pertama mereka bertemu sejak Datuk Nik Aziz menerajui Kelantan 19 tahun lalu.

Setiausaha Akhbar Encik Lee, Cik Yeong Yoon Ying, berkata dalam pertemuan itu Encik Lee turut berkongsi pengalaman Singapura dalam melaksanakan dasar bahasa Inggeris dan pentingnya bahasa tersebut dalam ehwal global.


Datuk Aziz pula berkata Singapura boleh menjadi contoh baik dalam dasar antirasuah dan dalam soal kebersihan bandar. 'Saya ucapkan terima kasih kepada Encik Lee Kuan Yew atas kesudian beliau datang ke mari,' katanya, yang turut menambah Encik Lee mengunjungi Kelantan untuk mengetahui lebih lanjut perkembangan negeri itu. Pertemuan mereka diadakan dalam bahasa Melayu. Encik Lee, yang sedang dalam rangka lawatan lapan hari ke Malaysia sejak Isnin lalu, tiba di sini malam kelmarin.

Antara yang mengiringi beliau ialah Menteri Kewangan, Encik Tharman Shanmugaratnam; Menteri Pendidikan, Dr Ng Eng Hen; Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pendidikan), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad. Bercakap kepada media selepas pertemuan itu, Datuk Aziz berkata beliau dijemput Encik Lee melawat Singapura. Meskipun melahirkan keinginan untuk berkunjung ke Singapura, tetapi atas sebab-sebab kesihatan beliau mungkin tidak dapat memenuhi pelawaan itu.

Selepas pertemuan tersebut, rombongan Singapura diundang menghadiri majlis jamuan tengah hari yang menyajikan masakan tempatan Kelantan seperti nasi kerabu dan ayam percik. Datuk Nik Aziz berkata kehadiran dan kesudian rombongan Singapura melawat Kelantan sekurang-kurangnya dapat menggerakkan lagi hubungan dua hala. 'Selain terkenal sebagai negara maju, saya difahamkan Singapura turut terkenal dari segi amalan antirasuah dan menjadi juara demokrasi. 'Di samping itu, Singapura juga tegas dalam soal kebersihan bandar, dan aspek-aspek ini adalah perkara-perkara mulia yang boleh dicontohi,' ujarnya.

Encik Tharman berkata rombongannya gembira berada di Kelantan dan kagum dengan perkembangan dan pembangunannya, serta berharap hubungan baik kedua-dua pihak dapat diperkukuh 'Kelantan secara tradisi bukanlah pusat utama bagi hubungan dengan Singapura. Kami mempunyai hubungan kukuh dengan Johor, Melaka, Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang, terutama daerah barat semenanjung,' katanya.

Namun, minat terhadap Kelantan di kalangan penduduk Singapura, baik dari sektor niaga mahupun warga Singapura yang gemar bercuti di Kelantan semakin meningkat, kata beliau. 'Saya sendiri bersama Encik Masagos berpeluang mengun- jungi pasar di Kota Bharu dan temui ramai rakyat Singapura yang sedang berbelanja. Jadi, saya rasa hubungan kita akan semakin kukuh melalui hubungan masyarakat dan juga antara pegawai kerajaan dan pemerintah. 'Walau apa pun terjadi di Malaysia secara politik, kita ingin kekalkan hubungan baik antara Singapura dan kesemua parti di Malaysia,' kata Encik Tharman, yang kali terakhir mengunjungi Kelantan ketika berusia 21 tahun.

Islamic Action Front Announces Death of Sheikh Dr. Fathi Yakan



13/06/09 Head of Islamic Labor Front in Lebanon Fathi Yakan passed away Saturday afternoon after he was hospitalized for serious health problems on Friday night. Yakan was announced dead Saturday morning, but an Islamic Action Front statement later denied the Sheikh was dead, but acknowledged he was in serious condition.

Dr. Fathi Yakan is a prominent Islamic scholar and caller. He was born in Tripoli, north of Lebanon, on the 9th of February 1933.
With a Ph.D. in Arabic and Islamic Studies, Sheikh Yakan was among the pioneers of the Islamic movement in the 1950s. He was also the General Secretary of the Lebanese Al-Jamaa Al-Islamiya from 1962 until 1992 when he won his seat in the Lebanese parliament. He is a key activist on the political stage, which was very clear during the 1996 elections.

Sheikh Yakan initiated a political effort between PM Fouad Saniora and his allies on the one hand and the opposition in a bid to end the rule crisis in the wake of the 2006 Israeli war on Lebanon. As a key figure in the Lebanese National Opposition, he headed prayers for Sunnis and Shiites on Friday, December 8, 2006 and called in his speech for the unity of Muslims against Israeli plots and schemes.

Dr. Yakan was married to Mrs Mona Haddad with whom he had established a private Islamic university (Al-Jinan University). He has four daughters and a son.
Sheikh Yakan was known for his support for resistance movements in Lebanon and the Arab and Islamic worlds.
He described the 2006 victory as one for Lebanon and the whole nation, Sunnis before Shiites,
“because the project of the resistance is not only Lebanese project but a global one.”

The Islamic scholar also played a significant role in mending fences between political parties in the region. He was the mediator between the Islamic brotherhood in Syria and President Bachar Assad. He also played the same role between Syria and Turkey between 1998 and 1999, in the wake of the Syria-Turkey crisis.

He is the author of more than 35 books, some of them were translated into many languages, including:
How do we call for Islam? Towards a unified global Islamic Movement. What does “I’m a Muslim” mean?

RUJUKAN DISINI

Sunday, June 14, 2009

ASIA tidak boleh bergantung kepada AS


ASIA tidak boleh bergantung kepada eksport ke Amerika Syarikat bagi pertumbuhan jangka panjang kerana pengguna Amerika akan kurang membeli barangan eksport kerana mereka perlu membayar hutang dan meningkatkan simpanan, menurut Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB), Encik Haruhiko Kuroda.

Ekonomi sedang membangun di Asia dijangka tumbuh lebih perlahan kepada 3.4 peratus tahun ini, daripada 6.3 peratus tahun lalu akibat kemerosotan eksport. Tahun depan, ekonomi Asia dijangka tumbuh sebanyak 6 peratus kerana Amerika, Jepun dan Eropah dijangka pulih pada separuh tahun kedua.

Tetapi, prospek selepas itu dijangka kurang menggalakkan kerana nisbah eksport negara-negara Asia kepada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) masih tinggi.

'Saya optimis tentang prospek jangka pendek Asia tetapi pesimis terhadap prospek jangka panjang,' menurut Encik Kuroda dalam ucapannya di Tokyo yang ditukil Reuters semalam.'Kadar simpanan di Amerika boleh meningkat setinggi 10 peratus dan mengekang perbelanjaan. Ini menjadi sukar bagi Asia bergantung kepada pengguna Amerika,' jelasnya.

'Pemerintah Asia perlu membaiki pendidikan, penjagaan kesihatan dan keselamatan sosial bagi menggalakkan perbelanjaan dalam negeri dan mengurangkan simpanan,' tambahnya lagi. - Agensi

Saturday, June 13, 2009

TIDAK WAJAR membina jambatan ketiga antara Malaysia dengan Singapura


JOHOR BAHRU: Anggota Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad, menyifatkan langkah pembinaan jambatan ketiga antara Malaysia dengan Singapura di Timur Johor sebagai tidak wajar. Datuk Shahrir berkata, pembinaan jambatan antara Singapura dengan Pengerang seterusnya Mersing itu bukan keperluan mendesak bagi rakyat negara ini dan pelancong dari republik itu.

'Pandangan saya, pembinaan jambatan itu bukan satu keperluan yang mendesak sebaliknya kerajaan perlu meningkatkan kecekapan perkhidmatan feri atau menggalakkan penggunaan kapal dan bot bagi menghubungkan kedua-dua negara,' katanya yang ditukil agensi berita Bernama. 'Sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan untuk membina jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor di pusat bandar raya sebagai mengatasi masalah kesesakan,' kata Datuk Shahrir kepada pemberita selepas program gerak mesra parlimen Johor Bahru, di sini kelmarin.

Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin mengenai minat Singapura membina jambatan ketiga bersama Malaysia. Datuk Seri Najib berkata minat Singapura itu dilahirkan oleh Menteri Pembimbing Singapura, Encik Lee Kuan Yew, pada pertemuan mereka di Putrajaya, beberapa hari lepas.

Menurut Datuk Seri Najib, Singapura menyatakan pembinaan jambatan ke Timur Johor itu berpotensi menjadi satu lagi pusat pelancongan terkenal seperti di Bali, Indonesia, iaitu Nusa Jaya. 'Beliau (Encik Lee) menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan Malaysia membina jambatan ketiga itu. Jambatan itu boleh membangunkan Johor dan daerah seperti Mersing, Desaru dan seterusnya ke Kuantan di Pahang. 'Saya sudah mengarahkan pihak terbabit untuk menyediakan kajian kemungkinan dan perunding untuk projek itu. Ia ada kaitan dengan pembangunan koridor Iskandar,' kata Datuk Seri Najib.

Encik Lee kini dalam rangka lawatan lapan hari ke Malaysia mulai Isnin lalu.

Datuk Shahrir berkata penggunaan feri dan bot di perairan Pengerang berbanding jambatan ketiga juga menepati imej Pengerang sebagai pusat riadah dan peranginan pantai. Katanya, kos pembinaan jambatan ketiga itu lebih baik digunakan untuk membina jambatan baru menggantikan Tambak Johor. -- Agensi.

Friday, June 12, 2009

Pandangan Seorang Penyokong Bukan Melayu Pakatan Rakyat Untuk PAS

Saya juga tertanya-tanya:
  1. Kenapa PAS sanggup merosakan sistem demokrasi 2 parti yang sudah hampir wujud di Malaysia?
  2. Kenapa PAS sanggup bekerjasama dengan mereka yang merampas pentadbiran Negeri Perak?
  3. Kenapa PAS sanggup bekerjasama dengan mereka yang merampas royalti minyak ketika PAS memerintah?
  4. Adakah PAS sudah terima ideologi sebegini?
  5. Kenapa PAS tidak mahu tunggu sampai pilihan raya umum ke 13 baru menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan Pakatan Rakyat?
PAS, sebuah parti yang memperjuangkan prinsip Agama Islam kini menjadi sebuah parti politik pembangkan yang penting dan utama di Malaysia selepas pilihan raya umum 08 March 2008. Untuk menubuhkan Kerajaan di beberapa negeri yang dimenangi PAS, PKR dan DAP, PAS telah bersama-sama dengan PKR dan DAP untuk menubuhkan Pakatan Rakyat (PR). Kewujudan Pakatan Rakyat ini telah memberikan suntikan penting kepada arena politik negara kerana Malaysia kini melangkah ke arah Negara Demokrasi yang berlandaskan sistem 2 parti (supaya check and balance dapat diwujudkan).

Masyarakat bukan Melayu kini mula melihat dan menilai PAS (Negara Kebajikan) kerana mereka beranggapan PAS sudah wujud sebagai parti politik yang penting di Malaysia. Kini, media massa cina telah mula memberikan sedikit sebanyak laporan mengenai PAS, malah ada yang memaparkan berita PAS di muka surat pertama mereka. Hal ini menunjukkan PAS semakin mendapat tempat dalam hati pengundi Cina. Tambah pula dengan masalah kenaikan harga minyak dan situasi negara, maka kita telah memberikan peluang kepada PAS (undi) pada pilihan raya yang lepas supaya mereka dapat memerintah di beberapa buah negeri.

Pandangan bukan Melayu tehadap PAS semakin bertambah baik disebabkan pemerintahan adil dan saksama yang diamalkan oleh Nizar di negeri Perak dan Nik Aziz di Negeri Kelantan (maaf, saya tidak menyatakan Kedah di sini). Malah ada orang yang menyatakan sokongan orang cina terhadap PAS adalah jauh lebih tinggi daripada sokongan kepada UMNO pada masa kini. Bukit Gantang adalah contohnya, hampir 80% pengundi bukan Melayu telah memberikan peluang kepada PAS (peratusan ini adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan peratusan pengundi Cina yang mengundi DAP atau MCA di sesuatu kawasan). Ya, pemerintahan adil dan saksama serta jaga rakyat yang diamalkan oleh Nizar telah mendorong kepada senariotersebut. Saya adalah salah seorang daripada kategori 80% tersebut. Sehingga kini, undi saya masih di PAS selagi BN tidak faham kenapa saya tidak mengundinya.

Akan tetapi sebaik saja selepas pilihan raya umum, wujud berita di mana Presiden PAS Hadi Awang telah berbincang dengan UMNO, malah akan menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO. Pada ketika itu, kepercayaan saya terhadap PAS masih teguh malah saya telah memperjelaskan kepada kawan-kawan saya yang telah mengundi PAS pada ketika itu bahawa ini mungkin merupakan taktik mereka untuk merengankan hubungan dalam PR, Kita harus percaya kepada pendirian PAS sebelum pilihan raya.

Tetapi, Presiden PAS dan Timbalan Presiden PAS yang sekali lagi mengungkitkan isu Kerajaan Perpaduan ini telah menjadikan pendirian saya terhadap PAS semakin goyah. Kini, ramai kawan-kawan saya (peyokong PAS) telah tertanya-tanya sama ada mereka mengundi parti yang salah pada pilihan raya yang lepas?

Baca Seterusnya

Man: sekadar berkongsi ...

Thursday, June 11, 2009

Apa sebenarnya Ibadah


Dizaman sekarang ini banyak orang salah tafsir tentang pengertian ibadah yang sebenarnya. Banyak di kalangan mereka berperidapat bahwa ibadah itu hanya menghendaki manusia shalat, herpuasa, menunaikan haji, berdoa dan berzikir semata-mata.Apakah hanya itu ruang lingkup pengertian ibadah? Akan terbatas segala syariat Islam sekiranya hanya itu yang meliputi bidang ibadah.


Sebenarnya ibadah mencakup seluruh aspek kehidupan manusia sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam. Itulah yang kita amalkan dalam hidup kita sehari-hari asalkan tidak bertentangan dengan A1 Quran dan Sunnah. ALLAH menginginkan segala yang kita lakukan dalam hidup menjadi ibadah, yaitu cara kita berpakaian, cara kita mengatur rumah tangga, bentuk perjuangan kita, pergaulan kita, percakapan dan perbincangan kita, semuanya menjadi ibadah, sekalipun kita berdiam diri juga dapat berbentuk ibadah.


Di samping itu aspek-aspek lain seperti pendidikan dan pelajaran, perekonomian dan cara-cara menjalankan ekonomi, soal-soal kenegaraan dan perhubungan antar bangsa pun, semua itu mesti menjadi ibadah kita kepada ALLAH. Itulah yang dikatakan ibadah dalam seluruh aspek kehidupan kita baik yang lahir maupun yang batin.


Ibadah-ibadah itu dihuraikan menjadi tiga peringkat ibadah yang mencakup seluruh aspek kehidupan manusia, iaitu : Ibadah asas, Ibadah cabang-cabang dan ibadah yang lebih umum Ibadah yang asas merangkum soal-soal akidah dan keyakinan kita kepada ALLAH, para malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari pembalasan, ketentuan dan ketetapan ALLAH baik ataupun buruk. Itulah yang kita sebut rukun iman. Termasuk dalam uraian ibadah yang asas itu ialah rukun Islam yaitu syahadat, shalat lima waktu, puasa, zakat fitrah dan rukun haji (bagi mereka yang mampu)


.Kedua bentuk ibadah yang asas itu yaitu rukun iman dan rukun Islam adalah wajib ain atau fardhu ain bagi setiap muallaf. Berarti sebelum kita dapat melaksanakan ibadah-ibadah yang lain, kedua perkara itu perlu ada pada diri kita dan telah dapat kita tanarnkan dalam jiwa kita.


Tanpa keduanya, semua aktiviti yang lain tidak akan dinilai sebagai ibadah.Adapun ibadah yang menjadi cabang-cabang dari ibadah asas tadi meliputi perkara yang berkaitan dengan mentajhizkan (menyelenggarakan) jenazah, menegakkan jihad, membangun gelanggang pendidikan dan pelajaran atau mewujudkan perancangan ekonomi Islam seperti mewujudkan perusahaan-perusahaan yang melayani keperluan asas urnat Islam. Termasuklah di dalarnnya perusahaan yang dapat menghasilkan makanan wajib seperti gula, tepung, garam, kecap dan perusahaan minuman seperti susu, kopi, teh dan bentuk-bentuk minuman ringan lainnya.


Selain dari itu di dalam bidang tersebut, termasuk juga penggalakan usaha-usaha pertanian yang akan menghasilkan beberapa makanan asas bagi umat Islam seperti beras, gandum, ubi dan sebagainya serta perikanan yang dapat menghasilkan ikan basah atau ikan kering.Kalau kita tilik dari satu sudut, pasti kita akan merasakan bahwa ha1 itu merupakan persoalan asas dalam perjuangan kita menegakkan ibadah kepada ALLAH.


Tentulah kita tidak mau darah daging kita berasal dari zat yang bertentangan dengan syariat ALLAH, yang pasti bisa merusak ibadah asas kita.Dalam menegakkan bentuk pendidikan dan pelajaran, kita semestinya menitikberatkan hasil mutlak dari acuan pendidikan kita pada jiwa anak-anak yang dibina mulai dari peringkat taman kanak-kanak, sekolah menengah sampai universitas. Sehingga lulusannya nanti dapat menyambung perjuangan menegakkan syariat ALLAH.


Selain dari itu ibadah yang tergolong dalam cabang-cabang itu ialah membangun klinik dan rumah sakit Islam, soal-soal politik serta pembentukan dan penyusunan sistem organisasi dalam negara Islam.Hal-hal yang termasuk dalam jenis ibadah yang kedua ini dinamakan fardhu kifayah, yaitu fardhu yang menitikberatkan pada soal kemasyarakatan Islam yang juga merupakan urat saraf dan nadi penghubung antara sesama Islam.Hal itu sangat besar artinya untuk selunih individu Islam karena bila tidak ada satu orang pun yang mengerjakannnya maka seluruh masyarakat itu akan menerima beban dosa dari ALLAH.


Namun seandainya ada satu pihak melaksanakan tuntutan fardhu tersebut maka pihak itu telah melepaskan tanggungan dosa bagi seluruh masyarakat Islam. Karena itulah fardhu kifayah merupakan urat nadi penghubung antara sesama Islam.Cuma masyarakat Islam tidak memahami peranan fardhu kifayah tersebut, karena itu hubungan ukhuwah Islamiah tidak begitu menonjol di zaman sekarang.


Seandainya fardhu kifayah itu dapat memberi makna, sudah pasti kita merasa bersyukur sekiranya ada di kalangan kita yang telah melepaskan tanggungan dosa umum dan sudah pasti kita akan memberikan dukungan kepadanya. Kerana itu tidak akan ada istilah gagal dalam melaksanakan fardhu kifayah.Termasuk dalam ibadah cabang adalah ibadah-ibadah yang disebut sunat ain. Kecil timbangannya tetapi besar maknanya. Tergolong di dalamnya yaitu shalat sunat rawatib, shalat witir, shalat tahajud, sh'alat dhuha, puasa syawal, puasa Senin dan Kamis, bersedekah dan membaca Al Quran.


Pelaksanaan ibadah itu mendatangkan pahala sedangkan jika tidak dilakukan tidak akan mendatangkan dosa. Namun karena ibadah itu memberikan manfaat maka lebih baik jika dikerjakan.Dan ibadah ketiga yaitu ibadah yang lebih umum yaitu hal-hal yang merupakan pelaksanaan mubah saja tetapi bisa menjadi ibadah dan mendatangkan pahala. Amalan seperti itu dapat menambah bakti kita kepada ALLAH agar setiap perbuatan dalam hidup kita ini tidak menjadi sia-sia. Tergolong dalam amalan-amalan itu seperti makan, minum, tidur, berjalan-jalan dan sebagainya.

Kekejaman terbaru terhadap umat Islam Selatan Thai.

NARATHIWAT: Serangan bersenjata yang mengorbankan 12 jemaah yang sedang menunaikan solat isyak di Masjid al-Furqan di Kampung Air Tempayan di daerah Cho Airong malam Isnin lalu disifatkan sebagai kekejaman terburuk selepas Tragedi Masjid Krisek dan Tak Bai pada 2004.

Jurucakap Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (Pulo), Encik Kasturi Mahkota, mendakwa kekejaman terbaru terhadap umat Islam itu adalah angkara perbuatan balas dendam anggota keselamatan Thailand. Ini ekoran serangan bom yang mencederakan sembilan rakan mereka sehari sebelumnya di kawasan Yingo, Narathiwat. 'Serangan kejam ini perbuatan pihak berkuasa Thailand dan ia tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan pejuang pemisah di selatan Thailand. 'Pulo mengutuk keras perbuatan yang kejam ini kerana mereka menjadikan umat Islam yang sedang bersolat sebagai sasaran balas dendam. 'Pulo dan mana-mana kumpulan pejuang di wilayah selatan tidak akan melakukan perbuatan kejam ini kerana kami berjuang untuk menegakkan syariat Allah. Ini angkara balas dendam serta usaha pihak tertentu mengeruhkan suasana di wilayah selatan ketika kami berusaha mencari penyelesaian berkekalan. 'Dalam kalangan pihak berkuasa Thailand ketika ini, ada beberapa kumpulan menyokong proses damai di wilayah ini, dan ada pihak yang kami dapati menentang proses damai. Mereka inilah yang bertanggungjawab terhadap serangan kejam ini,' katanya.

Ahli Parlimen Narathiwat, Che Amin Tok Tanjung, daripada Parti Demokrat, turut melahirkan keraguan terhadap dakwaan yang mengatakan kumpulan pejuang pemisah wilayah itu terbabit dalam insiden pengeboman dan tembakan terbaru. 'Ramai Ahli Parlimen di selatan ketika ini berasa sangsi memandangkan insiden keganasan ini berlaku ketika rang undang-undang belanjawan hendak dibahaskan di Parlimen. 'Kami melihat serangan ini mungkin dilakukan beberapa pihak yang berselindung di sebalik matlamat tertentu dan bukannya kumpulan pemisah,' katanya kepada media tempatan.

Keganasan dilaporkan meningkat di selatan Thailand sejak beberapa minggu lalu. Sejak Januari 2004, lebih 3,500 orang terbunuh dalam pelbagai siri keganasan di tiga wilayah yang mempunyai majoriti penduduk Islam iaitu Yala, Narathiwat dan Pattani. Wan Nasir Wan Abdullah, 30 tahun, anak imam Wan Abdullah Wan Latif yang terkorban dalam serangan itu, berkata sejak tiga tahun lalu Kampung Air Tempayan aman daripada kejadian tidak diingini.

'Kali terakhir, kes tembakan berlaku di kampung ini kira-kira tiga tahun lalu, membabitkan serangan menyebabkan seorang penduduk mati. Sejak itu, kampung ini kelihatan aman,' katanya. -- Agensi.

Wednesday, June 10, 2009

Hentikan Isu Kerajaan Perpaduan Secara Rasmi, Segera Dan Kolektif!

Teguran Oleh: BayangDiAir

Sampai bila isu kerajaan perpaduan ingin dipolemikkan? Siapakah yang akan menutupnya secara rasmi? Walaupun isu ini telah cuba ditutupbukukan oleh Presiden PAS, namun ia hangat kembali apabila dari kalangan pemimpin PAS terus mendebatkan isu ini. Isu ini nampaknya menjadi lunak pula bagi UMNO apabila beberapa orang pemimpin UMNO dan Perdana Menteri sendiri memberi respon ‘manis’ terhadap cadangan idea ini.

Oleh kerana UMNO tidak pernah jujur pada PAS, maka keterbukaan DS Najib dan juak-juaknya untuk menilai idea ini memberi mesej yang jelas bahawa isu ini mesti dimatikan segera demi menyelamatkan PAS dan Pakatan Rakyat.


Sekilat ikan di air, sudah tahu jantan betinanya. Awas, UMNO akan menangguk di air yang keruh.

Keterbukaan para pemimpin UMNO bukan kerana kesediaan mereka untuk meredakan kemelut politik glokal, bersama-sama menangani masalah ekonomi global, apalagi untuk berkongsi kuasa. Sebaliknya terhidu oleh mereka bahawa isu kerajaan perpaduan ini mampu memecahkan kesatuan di dalam PAS dan meruntuhkan kesepakatan dalam Pakatan Rakyat. Mereka melihat bahawa penerimaan di kalangan ahli dan pemimpin PAS sendiri tidak padu malah berbelah bagi di dalam isu ini. Malah para pemimpin PAS nampaknya saling ‘hentam-menghentam’ manakala di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat sendiri lebih banyak tidak selesa dengan pendekatan ini. Para pemimpin UMNO melihat inilah lubang yang boleh ditembusi oleh jarum beracun mereka dengan ampuh untuk menghancurkan musuh politik mereka. Sebab itulah jelas kelihatan para pemimpin hatta Presiden mereka sendiri begitu berminat dan ghairah untuk menyambutnya dan mengapikannya agar terus didebatkan.


PAS jangan terperangkap sekali lagi. Sebelum kekecohan di dalam PAS dan Pakatan Rakyat menjadi lebih parah, maka cara untuk meredakan kegelisahan penyokong, ahli dan pemimpin PAS serta Pakatan Rakyat, maka isu ini mesti dimatikan segera secara ‘rasmi’ oleh Presiden, Majlis Syura dan Dewan Harian PAS. Ingatlah bahawa UMNO tidak pernah jujur kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Sudahkah dilupai bagaimana mantan Presiden UMNO, DS Abdullah Haji Ahmad Badawi (kini Tun), memecahkan rahsia pertemuan sulit antara beliau dengan beberapa orang pemimpin kanan PAS selepas pilihanraya Mac 2008? Tidak mampukah kita mengambil ikhtibar dan menginsafi peristiwa itu? Mustahil kita tidak terbaca permainan politik licik UMNO dalam kes itu. Kini mereka cuba mematuk kita dari lubang yang sama bagi kali kedua. Apakah pemimpin PAS akan merealisasikan ‘pisang berbuah dua kali’?

Ingatlah kerana peringatan amat berguna. Agama itu nasihat. Isu ini begitu tidak kondusif untuk diangkat buat masa ini. Selesaikan isu ini dengan kadar yang segera, secara kolektif dan rasmi."

Man : aku pun dah bosan !!!

Masjid diserang lagi?

NARATHIWAT: Panglima tentera Thailand semalam melawat wilayah selatan negara itu, sehari selepas sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati 11 orang di sebuah masjid di daerah Cho-ai-rong, dalam wilayah Narathiwat.

Kerajaan Thai mengarahkan Jeneral Anupong Paojinda berkunjung ke wilayah yang mempunyai majoriti penduduk Islam dan membawa suspek serangan itu ke muka pengadilan, kata Timbalan Perdana Menteri Thailand yang bertanggungjawab atas keselamatan dalam negeri, Encik Suthep Thaugsuban. Sekumpulan lelaki bersenjata merempuh masuk ke sebuah masjid di wilayah Narathiwat yang bersempadankan Malaysia semasa solat maghrib kelmarin dan menembak ke arah jemaah yang sedang mengerjakan ibadah mereka. Serangan itu turut mencederakan 12 orang, kata polis dan tentera Thai.

Para saksi berkata penyerang melepaskan tembakan senapang automatik selama dua minit sebelum melarikan diri. Serangan berlaku selang beberapa jam selepas Perdana Menteri Thai, Encik Abhisit Vejjajiva, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, bersetuju bekerjasama dalam menangani masalah di wilayah selatan Thailand.

'Saya telah mengarahkan Anupong ke selatan memantau suasana dan mencari mereka yang melakukan kesalahan itu. 'Saya tidak akan mengatakan apa-apa sehingga saya menerima laporan rasmi kerana ia isu yang amat sensitif,' kata Encik Suthep. Beliau enggan membuat spekulasi berhubung alasan serangan itu atau siapa yang bertanggungjawab walaupun pemerintah Thai menyalahkan kumpulan pemisah Islam atas kebanyakan keganasan yang berlaku di wilayah selatannya.

Para penduduk kampung bagaimanapun menyalahkan askar-askar Thai di atas pembunuhan itu sambil berkata bahawa kumpulan pemisah tidak akan menyerang sebuah masjid. Sejak Jumaat lalu, 19 orang terbunuh, dan 40 lagi cedera, termasuk sembilan askar yang cedera akibat serangan bom Isnin lalu.

'Kami bimbang dan kesal kerana serangan telah membunuh dan mencederakan ramai mangsa sejak beberapa hari lalu. Kami akan melakukan yang terbaik bagi memulihkan keadaan keselamatan di sana,' kata Encik Abhisit kepada pemberita di Bangkok. Penduduk kampung mempersalahkan pasukan keselamatan di atas serangan itu.

Namun, Jeneral Anupong mempersalahkan kumpulan militan di atas serangan ke atas masjid di Cho-ai-rong itu yang bertujuan mencetuskan kemarahan terhadap kerajaan. 'Mereka mahu membawa isu ini ke peringkat antarabangsa, dengan menjadikan seolah-olah pihak berkuasa yang melakukan keganasan terhadap penduduk kampung,' kata beliau kepada pemberita di Bangkok sebelum berlepas ke Narathiwat. -- Agensi.

KERAJAAN PERPADUAN gugat Pakatan Rakyat?

Oleh Darwis Said

MASA depan pakatan pembangkang di Malaysia kini menjadi tanda tanya.

Ini berikutan adanya usul dibentuk satu 'kerajaan perpaduan' PAS-Umno yang dibuat semasa Muktamar ke-55 Parti Islam SeMalaysia (PAS) itu yang berakhir Ahad lalu dan pendirian keras dua pemimpin utama PAS bahawa 'parti itu terbuka kepada rundingan' dengan sebarang pertubuhan, termasuk Umno. Spekulasi mengenai masa depan Pakatan Rakyat itu juga telah mendorong Presiden Parti Keadilan Rakyat's (PKR), Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, kelmarin, meminta penjelasan daripada PAS perihal pendiriannya berhubung dengan rundingan dengan Umno itu.

Para pemerhati politik yang dihubungi berkata usul PAS itu jika dilakukan sendirian oleh parti berkenaan mampu menghakis kepercayaan di kalangan anggota pakatan pembangkang itu. 'Soal utamanya sekarang ialah di manakah PAS melihat parti itu dari segi hubungannya dengan Umno pada satu pihak dan dengan PKR dan DAP (Parti Tindakan Demokratik) pada pihak yang lain?... Ia sedang menghadapi satu keadaan yang sukar,' kata Zamil Institut Pengajian Asia Tenggara Singapura (Iseas), Dr Ooi Kee Beng.

Beliau berkata PAS berpotensi 'melemahkan paras kepercayaan secara dramatik' dalam PR jika ia mengadakan rundingan dengan Umno secara bersendirian, sedangkan langkah seperti itu seharusnya lebih wajar dilakukan di bawah bendera PR. Mengulas lanjut, seorang ahli sains politik Malaysia, Dr Farish A Noor, berkata pakatan pembangkang itu sedang menghadapi ancaman perpecahan yang semakin ketara. 'Sebagaimana yang anda nampak sekarang, (usul) rundingan perpaduan PAS-Umno kelihatannya sedang diusahakan dan saya fikir ini akan menandakan berakhirnya Pakatan tidak lama lagi,' kata beliau.

Di kalangan dua anggota pakatan yang lain, PAS telah diminta menjejaskan kedudukannya berhubung rundingannya dengan Umno dan isu kerajaan perpaduan yang ditimbulkan presiden parti itu dalam muktamar tahunannya minggu lalu. 'Pendirian PKR ialah bahawa adalah lebih baik bagi kami menunggu penjelasan daripada para pemimpn PAS berhubung dengan isu kerajaan perpaduan atau sebarang bentuk rundingan dengan Umno,' kata Dr Wan Azizah dalam satu kenyataannya yang diperolehi akhbar Berita Harian kelmarin. Namun, beliau berkata PKR tidak akan menghalang atau mempersoalkan hasrat sebarang parti yang mahu membincangkan isu-isu kepentingan negara.

Setiausaha Agung DAP, Encik Lim Guan Eng, juga menggesa PAS menjelaskan pendiriannya perihal rundingan membentuk kerajaan perpaduan itu pada mesyuarat PR pada minggu depan. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam muktamar PAS lalu berkata DAP dan PKR telah bersetuju terhadap saranan rundingan kerajaan perpaduan itu tetapi Encik Lim menekankan bahawa perkara tersebut tidak pernah ditimbulkan dalam PR.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, pula Ahad lalu berkata beliau mengambil sikap terbuka terhadap saranan membentuk sebuah kerajaan perpaduan seperti yang diusulkan oleh Datuk Seri Hadi itu, sementara menunggu lebih banyak maklumat mengenainya. Sesetengah perwakilan PAS yang hadir dalam muktamar parti itu minggu lalu bagaimanapun, membidas usul tersebut dan sebaliknya menggesa para pemimpin PAS meningkatkan lagi kerjasamanya dengan PR.

Tuesday, June 9, 2009

Kerajaan Perpaduan idea PAS?

KUALA LUMPUR: Sebarang rundingan dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengenai pembentukan sebuah kerajaan perpaduan akan diputuskan para pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN), kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin. 'Ini satu isu besar. Saya tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian,' tegas Datuk Seri Najib seperti ditukil New Straits Times semalam.

Menurut Datuk Seri Najib, beliau bersikap terbuka berhubung cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan seperti disarankan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kerana masih belum mengetahui maksud sebenar di sebalik cadangan itu. Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian kerana ia satu keputusan yang besar dan perlu dirujuk kepada kepemimpinan tertinggi Umno dan BN.

'Saya berterima kasih kepada Presiden PAS, Datuk Seri Hadi (Awang) yang mengutarakan (usul) kerajaan perpaduan. Namun, saya belum tahu lagi apa yang dimaksudkan, jadi saya bersikap terbuka dalam hal ini,' tegasnya ditukil Berita Harian Malaysia semalam. 'Terpulang kepada Datuk (Seri) Hadi menggambarkan apa yang dimaksudkan' kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Parti Progresif Penduduk (PPP) Ke-56 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini kelmarin.

Datuk Seri Hadi membuat saranan mengenai kerajaan perpaduan itu pada muktamar ke-55 PAS di Shah Alam. Di Melaka, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal, berkata Umno perlu meneliti terlebih dulu niat PAS sama ia berdasarkan kepentingan negara atau cuma satu siasat politik.

Usul Datuk Seri Hadi itu disokong ketua Dewan Pemuda PAS, Encik Nasaruddin Hassan, tetapi ditolak Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Azik Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan. 'Idea itu mengarut. Orang lain tak tahu macam mana kami berhadapan dengan Umno di Kelantan,' kata Nik Aziz kelmarin.

Ketua PAS Shah Alam, Encik Khalid Abdul Samad, yang mewakili kumpulan 'Erdogan' turut mengecam cadangan itu kerana mendakwa kerjasama itu boleh membawa kepada perpecahan PAS. 'Kononnya Umno hendak berdamai kembali dengan kita (PAS). Kita perlu berwaspada dengan taktik licik mereka,' katanya. Encik Khalid yang juga Anggota Parlimen Shah Alam sebaliknya berkata PAS harus memberi keutamaan untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan Parti Keadilan Rayat (PKR). - Agensi

Monday, June 8, 2009

Presiden PAS gagal ketengah idea kepada perwakilan

SHAH ALAM: Para perwakilan Parti Islam SeMalaysia (PAS) mungkin telah memilih satu kepimpinan yang dianggap konservatif dalam pemilihan pemimpinnya kelmarin. Namun, mereka terus mengkritik usul menubuhkan satu 'kerajaan perpaduan' di Malaysia hingga ke hari terakhir muktamar ke-55 parti itu di Stadium Malawati Shah Alam semalam, dalam apa yang disifatkan para pengamat sebagai kegagalan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mempengaruhi perwakilannya dengan idea beliau itu.

Para perwakilan PAS menyuarakan pandangan mereka dan membidas idea bekerjasama dengan Umno, sambil berkata bahawa mereka boleh bertahan tanpa pesaing politik mereka itu, lapor laman berita dalam talian yang sering diikuti ramai di Malaysia, The Malaysian Insider. Mereka juga menggesa para pemimpin mereka agar meningkatkan lagi kerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR).

Salah seorang daripada perwakilan itu, malah dipetik oleh laporan The Malaysian Insider sebagai memberi amaran supaya PAS usah menerima tajaan daripada syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan Umno, sambil merujuk kepada tajaan daripada syarikat perbekalan air raksasa Malaysia, Puncak Niaga. 'PAS tidak boleh menjadi hamba Umno. Rancangan untuk berbincang dengan Umno dan membentuk kerajaan perpaduan harus dikaji dengan berhati-hati,' kata Ahli Parlimen (AP) Rantau Panjang, Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff, apabila mendebatkan usul menubuhkan satu badan penyiasatan diraja bebas bagi menyiasat rampasan kuasa oleh Barisan Nasional (BN) di Perak Februari lalu.

Wakil Dewan Pemuda PAS, Encik Zulkifli Ahmad, pula berkata cabang pemuda PAS itu tidak akan berkompromi terhadap isu berkerjasama dengan Umno dan menekankan 'tidak seorang pun daripada kami mahu bekerjasama dengan Umno'. Ketua PAS Shah Alam, Encik Khalid Samad, pula mengingatkan para perwakilan muktamar itu supaya usah melupakan peristiwa Umno menggulingkan kerajaan pimpinan PAS di Perak pada Februari lalu. Beliau juga menyelar sekretariat muktamar PAS kerana menerima tajaan daripada Puncak Niaga.

Kelmarin, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menolak pembentukan kerajaan perpaduan seperti yang disyorkan Datuk Seri Abdul Hadi. 'Idea itu mengarut. Orang lain tak tahu macam mana kami berhadapan dengan Umno di Kelantan,' kata beliau semasa berucap dalam satu ceramah sempena muktamar PAS.

Datuk Nik Abdul Aziz berkata beliau sendiri tidak faham bagaimana cadangan seumpama itu timbul sedangkan PAS telah mengambil ketetapan untuk menyokong PR, yang dianggotai parti itu bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Beliau juga membantah sebarang usaha sama atau rundingan dengan Umno yang bertujuan membincangkan perkongsian kuasa. 'Nak berunding untuk tubuh kerajaan tak usah, tapi nak bincang dengan Umno untuk benda lain boleh,' tegas beliau, yang dipetik dalam laporan laman berita mStar Online. - Agensi

Wednesday, June 3, 2009

Menjelang Muktamar PAS ke-55

Oleh Nahar Azmi Mahmud

SAMA ADA Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan muncul lebih kukuh sebagai sebuah parti politik di Malaysia akan ditentukan hujung minggu ini apabila parti itu mengadakan pemilihan pucuk pimpinannya. Beberapa isu baru telah timbul sehingga ada pengamat politik merumuskan isu-isu ini boleh menggugat perpaduan parti itu jika tidak ditangani secara betul oleh kepimpinan parti itu. Satu kontroversi timbul selepas seorang pegawai kanan parti itu, Datuk Mohamed Daud Iraq, menyatakan dua jawatan tertinggi parti iaitu presiden dan timbalan presiden hanya akan disandang golongan ulama dan sarjana Islam.

Ulasan ini telah pun menghangatkan perdebatan di kalangan anggota dan kepimpinan PAS sendiri yang sekarang mempunyai hubungan rapat dengan beberapa parti berbilang kaum dalam Pakatan Rakyat (PR) yang dianggotainya. Menyokong pandangan Datuk Mohamed Daud, ada sebilangan pemimpin PAS berkata parti itu akan menghadapi masalah jika ia tidak dipimpin golongan ulama kerana asas parti itu bercorak Islam. Hanya pemimpin yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang Islam akan tahu hala tuju parti itu pada masa depan.

Namun ada pihak yang kurang bersetuju dengan pendapat itu sambil menambah bahawa perlembagaan parti itu tidak menyebut presiden dan timbalan presiden mesti terdiri daripada golongan ulama. Tambah mereka, faktor penting seseorang pemimpin parti adalah kebolehan memimpin, mendapat kepercayaan rakyat dan dirinya dihormati. Perdebatan dijangka terus hangat kerana sebahagian besar daripada sejuta anggota parti itu merupakan orang Melayu beragama Islam.

Cuma apakah PAS akan terus mendapat sokongan Melayu jika parti itu terus kekal menjadi anggota PR yang merangkumi berbilang kaum dan agama? Apakah jaminan mereka yang bukan Melayu akan turut menyokong parti itu? Tidak syak lagi para pemimpin parti itu berasa khuatir bahawa ulasan Datuk Mohamed Daud itu hanya menimbulkan perpecahan di kalangan anggota PAS menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti.

Seyogia, PAS pernah menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) semasa parti itu di bawah pimpinan Datuk Asri Haji Muda. Tetapi parti itu keluar daripada BN kerana para pemimpin PAS mendapati penyertaan parti itu tidak menguntungkan. Mereka mendakwa apa saja kebaikan yang dilakukan parti itu, terutama dalam memajukan agama Islam di Malaysia, Umno yang mendapat nama baik, bukan PAS.

Dalam pada itu masih ada sesetengah pihak dalam PAS yang mahu mengadakan rundingan dengan Umno dari masa ke masa. Usaha ini dilakukan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan timbalannya, Encik Nasharuddin Mat Isa. Kerana rundingan itu, ada pihak yang bertanya sama ada PAS berminat kembali menyertai BN. Sementara itu, ada sebilangan golongan profesional dalam parti itu yang berpendapat walapun parti itu berasaskan Islam, pucuk pimpinan parti itu mestilah terdiri daripada mereka yang benar-benar layak sama ada mereka daripada golongan ulama atau profesional. Kriteria ini dianggap jauh lebih baik daripada hanya menetapkan bahawa jawatan tertentu dalam parti dikhaskan untuk golongan ulama semata-mata.

Golongan profesional dalam PAS juga berpendapat bahawa dalam konteks menyatupadukan rakyat Malaysia sebagai satu bangsa, tanpa kira agama atau keturunan, parti politik di tanah air, sama ada yang bercorak Islam atau tidak, perlu mengamalkan dasar lebih liberal sesuai dengan kehendak masyarakat majmuk di negara itu. Golongan itu juga berpendapat masa depan PAS terletak pada kebijaksanaan para pemimpinnya dalam menjalin hubungan kerjasama dengan dua parti politik berbilang kaum iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Tidak hairanlah jika golongan konservatif dalam PAS menggelarkan golongan liberal itu dengan nama julukan Erdogans - sempena nama Perdana Menteri Turkey Recep Tayyip Erdogan yang dianggap sebagai seorang pemimpin Islam yang liberal. Sementara itu, terdapat laporan ada penduduk beragama Hindu di kawasan Pantai Timur turut membantu kempen PAS dalam pilihan raya kerana mereka percaya para pemimpin parti itu jujur dan bersih daripada rasuah. Orang bukan Muslim berpendapat jika PAS berkuasa, ia tentu dapat mentadbir negara dengan lebih berkesan kerana sikap para pemimpinnya yang jujur dan tidak rasuah.

Berbalik kepada isu kepimpinan PAS, sebahagian besar anggota dan penyokong PAS berharap perdebatan sekarang tidak akan melemahkan perpaduan parti itu sehingga boleh menjejas prestasi parti tersebut. Ini selain memainkan peranan penting sebagai anggota PR.

Mereka juga berharap isu itu tidak harus diperbesar sehingga menjejas perpaduan parti. Mereka masih percaya dengan sokongan yang diterima parti itu sekarang, ada harapan parti itu mampu memberi saingan hebat kepada BN dalam pilihan raya umum akan datang, yang dijangka menjelang 2013.

Tuesday, June 2, 2009

Pilihanraya Negeri Perak?



PULAU PINANG: Selepas sahaja menang pilihan raya kecil Penanti kelmarin, Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini membuat persediaan bertanding dalam pilihan raya negeri yang dijangka diadakan di Perak dan Sarawak, menurut satu laporan laman berita dalam talian Malaysia semalam. Naib presiden PKR, Encik Azmin Ali, laman berita The Malaysian Insider sebagai berkata bahawa parti beliau percaya Barisan Nasional (BN) akan mengadakan satu pilihan raya baru di Perak, sebuah negeri yang menghadapi pergolakan politik, sebaik sahaja satu rayuan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat (PR) di Mahkamah Persekutuan berhubung isu menteri besar Perak yang sebenarnya.

'Kami sedang mempersiapkan diri kami bagi pilihan raya negeri yang dijangka diadakan tidak lama lagi di Perak dan juga di Sarawak. Daripada maklumat yang kami kumpulkan, mereka (BN) tiada pilihan lain kecuali kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baru (di Perak),' kata Encik Azmin kepada The Malaysian Insider selepas meraikan kemenangan di Penanti. 'Saya percaya mereka akan mengadakan pilihan raya negeri dengan segera selepas keputusan mahkamah persekutuan kerana mereka tidak mahu kemarahan rakyat Perak tertumpah ke negeri-negeri lain pada pilihan raya akan datang,' katanya lagi. Menurut Encik Azmin, strategi PR ialah bagi semua parti pakatannya memulakan tugas memperkukuhkan kedudukan masing-masing untuk menjadi satu kekuatan yang kukuh.

Krisis di Perak telah berjalan sejak lima bulan lalu, dengan kedua-dua BN dan PR mendakwa pihak masing-masing adalah kerajaan sah negeri itu, selepas BN mengambil alih PR setelah mendapat sokongan daripada bekas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pakatan pembangkang itu bertukar menjadi Adun Bebas. Bagi Sarawak pula, pilihan raya negeri harus diadakan menjlang 2011 tetapi terdapat spekulasi semakin meningkat bahawa ia akan diadakan lebih awal.

Sementara itu, dalam satu perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, percaya jumlah pengundi kecil pada pilihan raya kecil Penanti kelmarin membuktikan BN masih popular walaupun tidak menawarkan sebarang calon dalam pilihan raya itu. Beliau memberitahu pemberita bahawa jumlah kecil penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang keluar mengundi adalah isyarat jelas bahawa para pengundi sudah bosan dan tidak berminat dengan taktik PKR.

'Mereka dengan tidak secara langsung memberikan isyarat protes,' kata Tan Sri Muhyiddin yang dipetik laporan The Malaysian Insider semalam. 'Calon yang menang... undian beliau adalah lebih rendah berbanding calon sebelum ini. Jika mereka pernah mendapat 7,000 undian sebelumnya, mereka seharusnya mendapat 10,000 atau lebih. Saya berharap PKR tidak akan mengatakan bahawa mereka perkasa tetapi mereka seharusnya menunjukkan bahawa tanpa calon BN, jumlah undian mereka seharusnya lebih tinggi dari segi peratusannya,' jelas beliau.

Calon PKR, Dr Mansor Othman, kelmarin memenangi pilihan raya Penanti setelah meraih 6,052 daripada sejumlah 7,100 undian. Penyandang kerusi DUN itu sebelum ini, Encik Mohammad Fairus Khairuddin, menang 7,346 undi dalam pilihan raya umum Malaysia ke-12 pada 8 Mac lalu dan mengalahkan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, yang meraih 2,219 undi. Tan Sri Muhyiddin juga menafikan bahawa BN bertindak meminta pengundi DUN Penanti supaya tidak keluar mengundi kelmarin, kata satu laporan agensi berita Bernama kelmarin. - Agensi

Monday, June 1, 2009

Penanti - PRK majoriti 6,052 undi, 3 calon bebas hilang deposit

BUKIT MERTAJAM: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Mansor Othman, semalam menang dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dalam satu pertandingan empat penjuru.

Beliau memperolehi 6,052 undi dan menang dengan majoriti sebanyak 5,558 undi. Tiga calon bebas iaitu bekas ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Encik Nai Khan Ari, mendapat 494 undi; bekas ketua wanita PKR Pulau Pinang, Cik Aminah Abdullah, mendapat 392 undi, dan pakar motivasi, Encik Kamarul Ramizu Idris, mendapat 56 undi. Ketiga-tiga calon bebas itu hilang wang deposit RM5,000 ($2,069).

Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calonnya bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Penanti kali ini. Dalam pilihan raya umum lalu, calon PKR, Encik Mohamad Fairus Khairuddin, mendapat 7,346 undi untuk menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Majid, dengan majoriti 2,219 undi. Datuk Abdul Jalil mendapat 5,127 undi.

Kerusi DUN Penanti kosong ekoran daripada peletakan jawatan Encik Mohammad Fairus pada 16 April lalu, selepas melepaskan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang seminggu sebelumnya. BN memutuskan tidak meletakkan calonnya bertanding dalam pilihan raya kecil tersebut atas alasan kekosongan kerusi tersebut adalah usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya. BN juga mendakwa pilihan raya kecil itu satu permainan politik pembangkang.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah penduduk yang keluar mengundi dalam pilihan raya kecil DUN Penanti ialah 46.15 peratus atau 7,100 orang daripada 15,384 pengundi. Ini berbanding dengan 82.1 peratus yang mengundi dalam pilihan raya umum lalu. Awal dari itu, pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata peratusan pengundi yang rendah semalam adalah rekod paling buruk dalam sejarah pilihan raya Malaysia. Menurutnya, rekod terendah yang dicatatkan sebelum ini adalah 52.6 peratus bagi kerusi DUN Telang Usan, Sarawak, pada pilihan raya umum negeri kelapan pada 2006 lalu.

'Ini rekod terburuk dalam sejarah pilihan raya negara ini dan SPR akan mengkaji punca peratusan keluar mengundi yang amat rendah walaupun kami sudah membuat pelbagai kempen bagi menggalak orang ramai menunaikan tanggungjawab mereka dalam memilih wakil rakyat. 'Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian awal kami, saya rasa ia berpunca daripada keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil ini,' katanya. -- Agensi.