Justeru, apabila kedua-dua bertempur, kesudahannya, Barcelona yang menguakkan sayap kegagahan dan kemenangan 2-0 ke atas United dalam final itu.
Ia juga melengkapi kegemilangan kelab dari Sepanyol itu musim ini dari segi pencapaian dan mutu permainan di samping mempamerkan nilai hiburan permainan yang tinggi. Persembahan pasukan Barcelona ibarat pasukan Brazil yang membenam Italy 4-1 dalam final Piala Dunia 1970 di Mexico.
Menjelang pertarungan semalam, United mempunyai pelbagai kelebihan, antaranya dari segi pengurus pasukannya, Sir Alex Ferguson, yang lebih berpengalaman dan telah dua kali memimpin United menjuarai pertandingan ini pada 1999 dan 2008. Tetapi sebijak-bijak Ferguson, pasukannya seperti kebuntuan idea apabila jurulatih Barcelona, Pep Guardiola, meletakkan Lionel Messi bergerak di tengah dan bukan di sayap kanan seperti selalunya.
United seperti terpedaya dengan strategi jurulatih muda Barcelona itu. Bek kiri United, Patrice Evra, yang sepatutnya mengawasi kelincahan Messi kini terpaksa berdepan dengan Eto'o.
Bayangkan, Messi sebagai pemain paling kerdil jika dibandingkan Thierry Henry, yang bergerak di kiri, dan Samuel Eto'o di kanan, bukan sahaja menimbulkan pelbagai masalah ke atas Rio Ferdinand bahkan lebih menarik lagi, menyumbatkan gol kedua pasukannya melalui tandukan pada minit ke-70 selepas Eto'o membuka tirai jaringan pada minit ke-10. Jaringan itu sekali gus melenyapkan tanggapan yang menyebut Messi kebuntuan idea untuk menyumbatkan gol setiap kali menentang pasukan-pasukan dari England.
Tetapi yang lebih menimbulkan tanda tanya ialah bagaimana Ferdinand, yang begitu berpengalaman, gagal membaca dan kemudian memintas hantaran Xavi sehingga Messi, yang tidak terkenal sebagai penjaring gol dengan tandukan, kelihatan mudah memperdayakan Edwin van der Sar. Ketika itu, Ferguson semakin sedar bahawa perjuangan United seperti telah berakhir. Ketika itu, Guardiola seperti yakin bahawa peluang Barcelona menebus duka kekalahan pasukan itu dalam peringkat separuh akhir pertandingan musim lalu, akan tertebus juga.
Pertarungan itu juga disebut-sebut sebagai pertemuan antara dua pemain terbaik dunia, Messi dan Cristiano Ronaldo. Yang jelas, Ronaldo hanya mengancam pada awal permainan tetapi selepas itu beliau terus hilang dalam kesamaran seperti dalam kedua-dua peringkat separuh akhir pertandingan ini musim lalu.
Sesiapa yang mengikuti perkembangan Ronaldo dalam perlawanan-perlawanan penting, termasuk semasa menyarung jersi pasukan Portugal, akan dapati pemain itu jarang menyerlah ketika sumbangannya yang lebih bermakna diperlukan. Ini berbeza dengan Messi yang kali terakhir membantu Argentina memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik Beijing tahun lalu.
Kekuatan Barcelona bukan sahaja pada Messi malah dua pemain midfieldnya, Andres Iniesta dan Xavi. Kedua-duanya selesa bergerak dengan bola, tidak pernah tertekan dan dalam beberapa keadaan membuat United seperti West Bromwich Albion.
Berbanding Barcelona, United berpeluang menggunakan setiap pemain baiknya termasuk memasukkan Carlos Tevez, Dimitar Berbatov dan Paul Scholes. Tetapi United serupa sahaja sebelum pertukaran tersebut. Yang jelas, Barcelona tanpa Daniel Alves dan Eric Abidal tetap bagus dari segi jalinan persefahaman, sentuhan satu gerakan, daya kreativiti, tahap keyakinan dan sentuhan jaringan.
Barcelona, benar-benar BAGUS.




















