
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, telah menggesa para pemimpin politik Malaysia supaya membentuk satu kerajaan perpaduan kebangsaan, memandangkan pergolakan politik yang sedang berlaku di negara itu.
Saranan itu dilihat oleh para pengamat politik umumnya sebagai satu lagi isyarat bahawa PAS belum lagi mahu membatalkan hasratnya untuk menjalin hubungan lebih rapat dengan Umno.
Dalam satu wawancara dengan laman berita dalam talian, The Malaysian Insider, Ahli Parlimen (AP) Marang itu berkata Barisan Nasional (BN) tidak mampu membawa negara keluar daripada krisis ekonomi secara bersendirian.
Datuk Seri Abdul Hadi juga dengan yakin menegaskan bahawa PAS tidak akan mengalami nasib yang sama seperti pada 1970 apabila ia diusir daripada BN dan hilang kuasa di Kelantan.
Tahun lalu, parti itu telah berpecah antara puak konservatif yang condong terhadap kerjasama dengan Umno melalui wadah muzakarah (atau dialog) dengan satu lagi puak yang condong ke arah mengukuhkan pakatannya dengan parti pembangkang lain dalam Pakatan Rakyat (PR).
'Kita perlu melihat ke arah titik persamaan dalam menyatukan parti-parti politik untuk menjalankan tanggungjawab.
'Bukannya kita tidak boleh berbeza pendapat, tetapi kita mahu titik persamaan ini diberikan keutamaan sebelum kita menghabiskan waktu kita atas isu-isu yang kita tidak setuju,' jelas Datuk Seri Abdul Hadi.
Pemimpin PAS itu menambah bahawa beliau terdorong dengan usaha yang dilakukan bekas presiden Indonesia, Encik B J Habibie, yang menyatukan dan membaharui negara itu selepas berakhirnya era mantan presiden Suharto.
'Lebih penting lagi, rakyat harus disatukan. Ia harus menjadi keutamaan berbanding kepentingan parti. Marilah kita korbankan beberapa hak kita secara jujur demi menyelamatkan negara kita,' kata Datuk Seri Hadi.
'Saya mahu mengusulkan kepada Perdana Menteri yang bakal diganti untuk membuat beberapa perubahan, sekurang-kurangnya menyelesaikan agenda beliau dalam usaha melakukan pembaharuan kehakiman, membasmi rasuah dan saya percaya BN tidak boleh melakukannya sendirian.
'Untuk melakukannya secara adil ia harus melibatkan semua pihak. Dalam waktu krisis, adalah penting bagi semua untuk menjalankan tugas kita secara bersama,' jelasnya lagi.
Datuk Seri Abdul Hadi mengesahkan bahawa sedang hal itu telah dibincangkan di kalangan anggota PAS, ia masih belum lagi dibawa ke hadapan majlis kepimpinan PR, di mana beliau juga anggotanya.
'Ini satu perkara yang amat besar. Walaupun di peringkat parti, kami masih belum lagi membincangkannya dengan mendalam. Namun, saya boleh melihat bahawa ramai yang bersetuju dengan saya secara prinsip tetapi pelaksanaannya tidak mudah.
'Ia memerlukan masa, sikap yang betul dan keterbukaan daripada semua pihak serta rasa bertanggungjawab,' tegas Datuk Seri Abdul Hadi.


















